Bismillahirrahmanirrahim
Masih lagi kekok antara ganti nama 'aku' dan 'saya'. Jadi jangan kau tanya
kenapa ayat aku terlalu kaku dengan campuran 'aku' dan 'saya'. Aku sejujurnya
tidak pasti mahu bermula dari mana. Terlalu banyak huruf yang bersarang dalam
kepala sejak tidak lagi punya kesempatan menulis. Hujung minggu juga dipenuhi
dengan jadual bekerja di luar kawasan.
Maka ini 'hasil tabungan huruf' selama 2 bulan:
(i) Tesis
Saya tahu perjalanan masih panjang, tetapi hari ini akan terus dikenang
tentang indahnya firman Tuhan,
"Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." -
(Al-Insyirah, 6)
Tak akan pernah dilupa, hari-hari jatuh yang membuat diri asyik dihujani
dengan kenapa. Bermula dengan sukar mendaftar sebagai calon sarjana syariah
kerana tiada asas degree syariah. Ya, saya kelulusan Sains Gunaan dan Pengajian
Islam. Sedikit kontroversi di pihak pentadbiran, ada pelajar 'berani melawan
arus' sistem pengajian. Berulang kali turun naik pejabat fakulti dan siswazah
hingga naik jemu. Di minggu ke-4 akhirnya diterima, namun saya perlu mengikuti
beberapa subjek degree sebagai syarat penerimaan. Pernah juga 'sangkut' setahun
gara-gara sukar mendapat penyelia dari fakulti sains komputer.
Ujian tetap sahaja menjengah, tipu kalau tak pernah nangis, tetapi memang
diri jenis 'degil' yang tidak akan toleh ke belakang untuk kutip sisa-sisa hari
hancur. Hari ini setelah selesai pembentangan akhir, bila dimaklum penyelia
bahawa examiner candidature defence mengatakan tesis saya diselesaikan dengan
baik, pass with excellent they said, cukuplah Tuhan jadi saksi bahawa jiwa saya
penuh dengan rasa syukur. Alhamdulillah 'ala kulli hal.
"If you have the courage to begin, you will have the courage to
succeed." - (David Viscott)
------
Dan petang itu, tanpa berkira-kira
sama ada mahu atau tidak mahu, terus sahaja menunggu Bas Rapid T631. Lokasi,
MPH dan Noodle Station. Kononnya mahu rasa bebas dan mencari ruang untuk diri
sendiri. Melihat buku dan tomyam kung sahaja sudah terlalu membahagiakan! (Hahaha)
19 Oktober 2015, Bukit Kerinchi yang sudah hilang seri menjadi Bangsar
South, Vista Angkasa, KL.
(ii) Pantau-pantau
Terlalu lama menghirup udara kota mungkin. Ditugaskan ke Pulau Bum Bum
bersama beberapa teman satu pejabat seolah-olah meniupkan nafas baru. Namun,
air laut membiru dan bayu dingin yang menyapa tetap tidak mampu mengabur
pandangan bahawa pulau ini serba dhaif. Tiada sumber elektrik pada waktu siang,
yang ada cuma bekalan generator menyuluh lantai-lantai rumah pada waktu malam.
Bekalan air perlu diangkut sejauh 1 kilometer kerana tangki utama terletak jauh
dari kawasan rumah. Anak-anak kecil berjalan tanpa selipar di kaki. Sayu.
Untuk sampai ke Kg. Pantau-pantau, memakan waktu 15 minit menaiki bot dan
van 12 tempat duduk selama 30 minit. Ruang waktu dan logistik memaksa saya dan
teman sepejabat untuk tidak membungkus barang-barang sumbangan terlebih dahulu.
Setiap kelengkapan persekolahan tersimpan berasingan dalam kotak besar
masing-masing. Doa saya akan terus tersemat buat seorang anak muda lelaki yang
berperwatakan matang. Kagum melihat karakternya yang tidak kekok membantu
sewaktu kami kalut-kalut membungkus barang sumbangan untuk dimuatkan ke dalam beg sekolah berlabel. Benar-benar matang
sebelum usianya. Terngiang-ngiang reaksi
mukanya saat kami pulang menuju ke jeti.
"Belajar rajin-rajin kau dik."
"Baik."
Saya tahu dan saya yakin. Walau dengan hanya sepatah kata dan cuma senyuman
yang memenuhi air mukanya, dia akan membesar sebagai pria yang budiman.
Moga-moga Tuhan makbul mimpi-mimpi besarnya!
----------------
“People think dreams aren't real just because they aren't made of matter,
of particles. Dreams are real. But they are made of viewpoints, of images, of
memories and puns and lost hopes.” - Neil Gaiman
29 November 2015, Pulau Misi Mencari Calon Suami HAHAHA, Pulau Bumbum, Sampoerna,
Sabah.
(iii) 10 sen
Pagi itu, sedikit kalut walhal jam di tangan menunjukkan jam 8.07 pagi.
Masih awal kerana lazimnya saya perlu berada di pejabat lebih kurang setengah
jam lagi ke pukul 9. Mungkin dengan suasana sekeliling yang terlalu asyik
berkejaran ke kawasan platform. Sesak melihat manusia yang tidak jemu
berasak-asak memenuhi ruang mesin pembelian token automatik.
Terlupa bawa Kad Touch 'N Go adalah
sesuatu yang tidak boleh dimaafkan ketika suasana genting begini. Bertambah
drama bila wang saku yang tinggal dalam beg duit adalah not RM50 dan beberapa
ketul syiling. Sejak kenaikan harga tambang kenderaan awam meningkat, RM5 untuk
membiayai tambang pergi balik destinasi adalah tidak lagi relevan dan
mencukupi. Hidup di kota terlalu menjerat dengan kadar sara hidup yang
memerlukan perut sentiasa diikat.
Entah kenapa yakin sahaja kaki mengikut barisan di sebelah kiri ruang mesin
pembelian token, sedangkan kemungkinan besar syiling-syiling yang mengisi beg
duit tidak cukup untuk menampung pembelian token ke LRT Asia Jaya. 50 sen warna
emas, 20 sen warna perak, 10 sen dan segala jenis syiling yang tersusun dalam
beg duit dimasukkan ke dalam mesin. Ada sesuatu yang Tuhan mahu tunjukkan pagi
ini, kurang lagi 10 sen untuk menggenapkan nilai tambang. Syiling 50 sen yang
masih berbaki dalam tangan pula tidak mahu diterima oleh mesin. Buntu. Sekilas memandang ke belakang melihat
barisan yang terlalu panjang menunggu giliran masing-masing.
"Sorry, do you have 10 cents?"
"Let me check first"
"Here 50 cents as replacement, sorry for making you in trouble."
"No, I don't want to take it."
Berulang kali dia menggeleng tanda tidak mahu menerima. Cepat-cepat urusan
pembelian token diselesaikan setelah berhasil mendapatkan 10 sen dari jejaka
yang berada di belakang saya.
"Thank you so much sir. May God bless you."
Saya ucap dengan penuh yakin sebelum meninggalkan ruang drama lintas
langsung dari Stesen LRT KL Sentral. Dia menggangguk dan senyum sekilas. Pagi
ini 10 sen menjadi bukti bahawa masih wujud manusia berhati indah sepertinya.
Kita tidak perlukan nama dan harta untuk melalukan kerja-kerja mulia. Cukup
sahaja dengan menghargai perkara-perkara kecil, sensitif dengan sekeliling,
kaya dengan budi pekerti dan tahu erti common sense.
-------------
Carry out a random act of kindness, with no expectation of reward, safe in
the knowledge that one day someone might do the same for you - Princess Diana
(iv) Kau Perempuan Terunggul. Eh, bukan. Kau Gadis Berjiwa Besi dengan Hati Seindah
Sakura. (Lullssnya tajuk!)
Saya perlu terlebih selalu mengucapkan syukur dan lafaz hamdallah apabila
Tuhan tidak pernah putus menghantarkan saya dengan gadis-gadis berjiwa mulia
sepanjang saya memulakan hidup baru di hutan batu.
Bermula dengan seorang
Mardhiah yang ringan tulang membantu saya menyelesaikan urusan mencari pengganti
di rumah sewa lama. Ketiadaan saya di Semenanjung kerana perlu bertugas di
Sabah menjadikan saya terbatas untuk menyantuni orang yang bakal menggantikan
saya. Mardhiah, tidak teragak-agak menghulurkan pertolongan walau jadual
sehariannya terlalu padat dengan kuliah sarjana dan perbincangan kerja
kumpulan. Cukuplah Tuhan menjadi saksi bahawa Mardhiah ini adalah seorang yang
kaya dengan nilai mulia, meski baru sebulan mengenalinya sepanjang sama-sama
menyewa sebilik di Vista Angkasa.
Begitu juga Afifah, gadis yang terlalu tabah di mata saya. Kehilangan ibu
ayah sewaktu usia masih setahun jagung. Jika saya sewaktu umur 15 tahun hanya
tahu memikirkan tentang perihal siang malam di asrama, tentang kawan-kawan
sekelas yang kuat menyakat dan juga tentang bagaimana mahu pintar ilmu
kira-kira apabila bersaing dengan rakan-rakan di kelas pertama. Tetapi seorang
Afifah ketika usia itu sudah matang untuk menguruskan lima adik-adik di bawah
jagaannya.
Afifah adalah rakan sekerja yang sama-sama mendaftar di yayasan tempat saya
bekerja pada Oktober lalu. Kami juga merangkap teman serumah dan teman sebilik.
Malah kami sering mendatangkan kekeliruan buat teman sepejabat yang lain
apabila penampilan, ketinggian dan muka berkaca mata hampir sama! Pernah sekali
pengurus melontarkan soalan, "Korang tak jemu ke mengadap orang sama
tiap-tiap hari?" Kami senyumkan.
Bosan langsung tidak, tetapi sebenarnya setiap hari ada sahaja yang saya
belajar dari Afifah. Tolak-ansur, matang, ringan membantu, bijak menyelesaikan
masalah dan tegas buat keputusan. Oh, terlalu banyak untuk dimuatkan! Maka benar dibilang Andrea Hirata;
“Di sekitar kita ada kawan yang selalu hadir sebagai pahlawan.” ― Andrea Hirata, Edensor
(v) Dua Puluh Enam dan Saatnya Mendewasa
"Aku rasa tahun ni hari jadi paling bermakna."
"Maksud kau? Hari jadi sebelum ni tak sama?"
"Entah. Susah nak terang macam mana. Perasaannya macam kau
dapat nafas baru. Sama macam perasaan kau sampai kat puncak gunung lepas
kau dah penat tercungap-cungap nak daki ke atas."
"Kau cuba straight to the point weh, susah aku nak
hadamkan."
"Sebab aku mendewasa dengan semula jadi tanpa perlu faktor atau
pengaruh lain. Kalau dulu aku macam paksa diri aku mendewasa untuk orang lain.
Kononnya sebab nak 'melangkah ke alam baru'. Aku tak jadi diri
sendiri pun. Kau ingat lagi kan aku pernah rancang nak tamatkan
zaman bujang aku masa hari jadi ke-26? Tapi Allah Maha Hebat merancang. Ada
hikmah kenapa Allah jauhkan aku dengan sesuatu yang terang-terang bukan milik
aku. Lepas hati aku remuk sama macam kaca dilempar dari tingkat 10, Allah bagi
aku nyawa lagi rupanya."
"Faham. Allah nak kau benar-benar mendewasa."
"Yup, itu yang aku maksudkan beb."
-----------
2015 adalah seperti air terjun, jatuh menghempas lubuk peribadi, kemudian
tenang seketika sebelum sampai ke tebing seterusnya. Apabila menghadapi tebing
tinggi, ia menjadi momentum untuk air terus mengalir, membasuh segala sampah
dan lumpur, lalu menjernihkan diri. Moga-moga. - Shafiq Said
14 Disember 2015
Maka sekian entri-entri tertangguh sehingga ke tahun baru. Maafkanlah
ayat-ayat kekok, tidak bernyawa, jemu, kaku dan lesu. Bluerghhh. Bak
kata seorang Umairah seperti penulisan tesis. Haha, besar sungguh pengaruh
tesis yang tidak siap-siap ini! Doakanlah saya, moga-moga tahun ini bakal naik
pentas graduasi sekali lagi. Ameen!
2 comments:
Assalamualaikum.
Ey kak nusrah. Rindunya kt akk. Sy tau akk sibuk. Moga sgla urusan akk dipermudahkn. Selalu menjadi pengunjung blog, kdg teringin sekali nk borak2 pnjg dgn akk. Cerita psl byk benda. Moga ada saatnya Allah izinkan. Jaga diri selalu, tlg jgn bosan menginspirasi.
assalamualaikum anon,
sorry for the late reply. dari gaya cara awak menulis, saya dapat rasa yg awak selalu datang blog ni. i know u are a regular reader who always stumbled upon my writings. terima kasih sebab tak pernah jemu baca penulisan akak dari zaman penulisan macam kanak-kanak hingga dah macam gaya penulisan mak-mak. lullss. sincerely, big thanks from bottom of my heart. jazakillah khayr.
come off as anon, and directly contact me via my personal email -- atiyahsuratem[at]gmail[dot]com (i put a high risk that people will recognize me when i mention my personal email. hahahah, please do contact me)
so we can talk more, curhat more, and getting know more. cant wait to see you in my mail box. talk to you soon and take care!
sincerely,
tuan punya blog ;)
Post a Comment