02 January 2016

Entri-entri Tertangguh Hujung Tahun.

Bismillahirrahmanirrahim

Masih lagi kekok antara ganti nama 'aku' dan 'saya'. Jadi jangan kau tanya kenapa ayat aku terlalu kaku dengan campuran 'aku' dan 'saya'. Aku sejujurnya tidak pasti mahu bermula dari mana. Terlalu banyak huruf yang bersarang dalam kepala sejak tidak lagi punya kesempatan menulis. Hujung minggu juga dipenuhi dengan jadual bekerja di luar kawasan.  Maka ini 'hasil tabungan huruf' selama 2 bulan:

(i) Tesis
Saya tahu perjalanan masih panjang, tetapi hari ini akan terus dikenang tentang indahnya firman Tuhan,
"Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." - (Al-Insyirah, 6)
Tak akan pernah dilupa, hari-hari jatuh yang membuat diri asyik dihujani dengan kenapa. Bermula dengan sukar mendaftar sebagai calon sarjana syariah kerana tiada asas degree syariah. Ya, saya kelulusan Sains Gunaan dan Pengajian Islam. Sedikit kontroversi di pihak pentadbiran, ada pelajar 'berani melawan arus' sistem pengajian. Berulang kali turun naik pejabat fakulti dan siswazah hingga naik jemu. Di minggu ke-4 akhirnya diterima, namun saya perlu mengikuti beberapa subjek degree sebagai syarat penerimaan. Pernah juga 'sangkut' setahun gara-gara sukar mendapat penyelia dari fakulti sains komputer.
Ujian tetap sahaja menjengah, tipu kalau tak pernah nangis, tetapi memang diri jenis 'degil' yang tidak akan toleh ke belakang untuk kutip sisa-sisa hari hancur. Hari ini setelah selesai pembentangan akhir, bila dimaklum penyelia bahawa examiner candidature defence mengatakan tesis saya diselesaikan dengan baik, pass with excellent they said, cukuplah Tuhan jadi saksi bahawa jiwa saya penuh dengan rasa syukur. Alhamdulillah 'ala kulli hal.
"If you have the courage to begin, you will have the courage to succeed." - (David Viscott)

------

Dan petang itu,  tanpa berkira-kira sama ada mahu atau tidak mahu, terus sahaja menunggu Bas Rapid T631. Lokasi, MPH dan Noodle Station. Kononnya mahu rasa bebas dan mencari ruang untuk diri sendiri. Melihat buku dan tomyam kung sahaja sudah terlalu membahagiakan! (Hahaha)

19 Oktober 2015, Bukit Kerinchi yang sudah hilang seri menjadi Bangsar South, Vista Angkasa, KL.

(ii) Pantau-pantau

Terlalu lama menghirup udara kota mungkin. Ditugaskan ke Pulau Bum Bum bersama beberapa teman satu pejabat seolah-olah meniupkan nafas baru. Namun, air laut membiru dan bayu dingin yang menyapa tetap tidak mampu mengabur pandangan bahawa pulau ini serba dhaif. Tiada sumber elektrik pada waktu siang, yang ada cuma bekalan generator menyuluh lantai-lantai rumah pada waktu malam. Bekalan air perlu diangkut sejauh 1 kilometer kerana tangki utama terletak jauh dari kawasan rumah. Anak-anak kecil berjalan tanpa selipar di kaki. Sayu.
Untuk sampai ke Kg. Pantau-pantau, memakan waktu 15 minit menaiki bot dan van 12 tempat duduk selama 30 minit. Ruang waktu dan logistik memaksa saya dan teman sepejabat untuk tidak membungkus barang-barang sumbangan terlebih dahulu. Setiap kelengkapan persekolahan tersimpan berasingan dalam kotak besar masing-masing. Doa saya akan terus tersemat buat seorang anak muda lelaki yang berperwatakan matang. Kagum melihat karakternya yang tidak kekok membantu sewaktu kami kalut-kalut membungkus barang sumbangan untuk dimuatkan ke dalam beg sekolah berlabel. Benar-benar matang sebelum usianya.  Terngiang-ngiang reaksi mukanya saat kami pulang menuju ke jeti.
"Belajar rajin-rajin kau dik."
"Baik."
Saya tahu dan saya yakin. Walau dengan hanya sepatah kata dan cuma senyuman yang memenuhi air mukanya, dia akan membesar sebagai pria yang budiman. Moga-moga Tuhan makbul mimpi-mimpi besarnya!
----------------
“People think dreams aren't real just because they aren't made of matter, of particles. Dreams are real. But they are made of viewpoints, of images, of memories and puns and lost hopes.” - Neil Gaiman
29 November 2015, Pulau Misi Mencari Calon Suami HAHAHA, Pulau Bumbum, Sampoerna, Sabah.

(iii) 10 sen

Pagi itu, sedikit kalut walhal jam di tangan menunjukkan jam 8.07 pagi. Masih awal kerana lazimnya saya perlu berada di pejabat lebih kurang setengah jam lagi ke pukul 9. Mungkin dengan suasana sekeliling yang terlalu asyik berkejaran ke kawasan platform. Sesak melihat manusia yang tidak jemu berasak-asak memenuhi ruang mesin pembelian token automatik. 
Terlupa bawa Kad Touch 'N Go  adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan ketika suasana genting begini. Bertambah drama bila wang saku yang tinggal dalam beg duit adalah not RM50 dan beberapa ketul syiling. Sejak kenaikan harga tambang kenderaan awam meningkat, RM5 untuk membiayai tambang pergi balik destinasi adalah tidak lagi relevan dan mencukupi. Hidup di kota terlalu menjerat dengan kadar sara hidup yang memerlukan perut sentiasa diikat.
Entah kenapa yakin sahaja kaki mengikut barisan di sebelah kiri ruang mesin pembelian token, sedangkan kemungkinan besar syiling-syiling yang mengisi beg duit tidak cukup untuk menampung pembelian token ke LRT Asia Jaya. 50 sen warna emas, 20 sen warna perak, 10 sen dan segala jenis syiling yang tersusun dalam beg duit dimasukkan ke dalam mesin. Ada sesuatu yang Tuhan mahu tunjukkan pagi ini, kurang lagi 10 sen untuk menggenapkan nilai tambang. Syiling 50 sen yang masih berbaki dalam tangan pula tidak mahu diterima oleh mesin.  Buntu. Sekilas memandang ke belakang melihat barisan yang terlalu panjang menunggu giliran masing-masing.
"Sorry, do you have 10 cents?"
"Let me check first"
"Here 50 cents as replacement, sorry for making you in trouble."
"No, I don't want to take it."
Berulang kali dia menggeleng tanda tidak mahu menerima. Cepat-cepat urusan pembelian token diselesaikan setelah berhasil mendapatkan 10 sen dari jejaka yang berada di belakang saya.
"Thank you so much sir. May God bless you."
Saya ucap dengan penuh yakin sebelum meninggalkan ruang drama lintas langsung dari Stesen LRT KL Sentral. Dia menggangguk dan senyum sekilas. Pagi ini 10 sen menjadi bukti bahawa masih wujud manusia berhati indah sepertinya. Kita tidak perlukan nama dan harta untuk melalukan kerja-kerja mulia. Cukup sahaja dengan menghargai perkara-perkara kecil, sensitif dengan sekeliling, kaya dengan budi pekerti dan tahu erti common sense.
-------------
Carry out a random act of kindness, with no expectation of reward, safe in the knowledge that one day someone might do the same for you - Princess Diana

(iv) Kau Perempuan Terunggul. Eh, bukan. Kau Gadis Berjiwa Besi dengan Hati Seindah Sakura. (Lullssnya tajuk!)

Saya perlu terlebih selalu mengucapkan syukur dan lafaz hamdallah apabila Tuhan tidak pernah putus menghantarkan saya dengan gadis-gadis berjiwa mulia sepanjang saya memulakan hidup baru di hutan batu.
Bermula dengan seorang Mardhiah yang ringan tulang membantu saya menyelesaikan urusan mencari pengganti di rumah sewa lama. Ketiadaan saya di Semenanjung kerana perlu bertugas di Sabah menjadikan saya terbatas untuk menyantuni orang yang bakal menggantikan saya. Mardhiah, tidak teragak-agak menghulurkan pertolongan walau jadual sehariannya terlalu padat dengan kuliah sarjana dan perbincangan kerja kumpulan. Cukuplah Tuhan menjadi saksi bahawa Mardhiah ini adalah seorang yang kaya dengan nilai mulia, meski baru sebulan mengenalinya sepanjang sama-sama menyewa sebilik di Vista Angkasa.
Begitu juga Afifah, gadis yang terlalu tabah di mata saya. Kehilangan ibu ayah sewaktu usia masih setahun jagung. Jika saya sewaktu umur 15 tahun hanya tahu memikirkan tentang perihal siang malam di asrama, tentang kawan-kawan sekelas yang kuat menyakat dan juga tentang bagaimana mahu pintar ilmu kira-kira apabila bersaing dengan rakan-rakan di kelas pertama. Tetapi seorang Afifah ketika usia itu sudah matang untuk menguruskan lima adik-adik di bawah jagaannya.
Afifah adalah rakan sekerja yang sama-sama mendaftar di yayasan tempat saya bekerja pada Oktober lalu. Kami juga merangkap teman serumah dan teman sebilik. Malah kami sering mendatangkan kekeliruan buat teman sepejabat yang lain apabila penampilan, ketinggian dan muka berkaca mata hampir sama! Pernah sekali pengurus melontarkan soalan, "Korang tak jemu ke mengadap orang sama tiap-tiap hari?"  Kami senyumkan. Bosan langsung tidak, tetapi sebenarnya setiap hari ada sahaja yang saya belajar dari Afifah. Tolak-ansur, matang, ringan membantu, bijak menyelesaikan masalah dan tegas buat keputusan. Oh, terlalu banyak untuk dimuatkan!  Maka benar dibilang Andrea Hirata;

“Di sekitar kita ada kawan yang selalu hadir sebagai pahlawan.”  ― Andrea Hirata, Edensor

(v) Dua Puluh Enam dan Saatnya Mendewasa

"Aku rasa tahun ni hari jadi paling bermakna."
"Maksud kau? Hari jadi sebelum ni tak sama?"
"Entah. Susah nak terang macam mana. Perasaannya macam kau dapat nafas baru. Sama macam perasaan kau sampai kat puncak gunung lepas kau dah penat tercungap-cungap nak daki ke atas."
"Kau cuba straight to the point weh, susah aku nak hadamkan."
"Sebab aku mendewasa dengan semula jadi tanpa perlu faktor atau pengaruh lain. Kalau dulu aku macam paksa diri aku mendewasa untuk orang lain. Kononnya sebab nak 'melangkah ke alam baru'. Aku tak jadi diri sendiri pun. Kau ingat lagi kan aku pernah rancang nak tamatkan zaman bujang aku masa hari jadi ke-26? Tapi Allah Maha Hebat merancang. Ada hikmah kenapa Allah jauhkan aku dengan sesuatu yang terang-terang bukan milik aku. Lepas hati aku remuk sama macam kaca dilempar dari tingkat 10, Allah bagi aku nyawa lagi rupanya."
"Faham. Allah nak kau benar-benar mendewasa."
"Yup, itu yang aku maksudkan beb."
-----------
2015 adalah seperti air terjun, jatuh menghempas lubuk peribadi, kemudian tenang seketika sebelum sampai ke tebing seterusnya. Apabila menghadapi tebing tinggi, ia menjadi momentum untuk air terus mengalir, membasuh segala sampah dan lumpur, lalu menjernihkan diri. Moga-moga. - Shafiq Said
14 Disember 2015


Maka sekian entri-entri tertangguh sehingga ke tahun baru. Maafkanlah ayat-ayat kekok, tidak bernyawa, jemu, kaku dan lesu. Bluerghhh. Bak kata seorang Umairah seperti penulisan tesis. Haha, besar sungguh pengaruh tesis yang tidak siap-siap ini! Doakanlah saya, moga-moga tahun ini bakal naik pentas graduasi sekali lagi. Ameen!


2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum.
Ey kak nusrah. Rindunya kt akk. Sy tau akk sibuk. Moga sgla urusan akk dipermudahkn. Selalu menjadi pengunjung blog, kdg teringin sekali nk borak2 pnjg dgn akk. Cerita psl byk benda. Moga ada saatnya Allah izinkan. Jaga diri selalu, tlg jgn bosan menginspirasi.

Anonymous said...

assalamualaikum anon,
sorry for the late reply. dari gaya cara awak menulis, saya dapat rasa yg awak selalu datang blog ni. i know u are a regular reader who always stumbled upon my writings. terima kasih sebab tak pernah jemu baca penulisan akak dari zaman penulisan macam kanak-kanak hingga dah macam gaya penulisan mak-mak. lullss. sincerely, big thanks from bottom of my heart. jazakillah khayr.

come off as anon, and directly contact me via my personal email -- atiyahsuratem[at]gmail[dot]com (i put a high risk that people will recognize me when i mention my personal email. hahahah, please do contact me)

so we can talk more, curhat more, and getting know more. cant wait to see you in my mail box. talk to you soon and take care!

sincerely,
tuan punya blog ;)