bismillahirrahmanirrahim
Jujur perkataan-perkataan yang saya tuliskan hari ini sudah lama bersarang dalam kepala. Cuma saya masih butuh ruang dan waktu untuk mengadaptasi dengan suasana baru. Oh, juga gara-gara kekangan waktu dan kemudahan internet menyebabkan penulisan saya terbantut! Hari ini genap seminggu. Terlalu banyak warna baru yang menghiasi ruang mata, maka ini saya cuba tumpahkan satu per satu.
(i) Rak buku
"Awak nak saya tolong pegang?"
"Oh, awak tak sibuk ke?"
"Tak pe, boleh."
Saya cuma memerhatikan tingkah dua orang asing yang baru berkenalan maghrib tadi. Penyangkut baju berwarna merah itu kelihatan lebih mudah dipasang bila ada seseorang lain yang memegangnya. Tidak sampai 5 minit, ketiga-tiga besi sudah teguh tercantum antara satu sama lain.
"Awak nak pasang apa-apa lagi?"
"Rak buku, tapi saya perlukan pemutar skru."
"Kalau kita cuba guna gunting boleh tak Mar?"
Ya, saya mula mencelah mereka berdua. Maka malam itu bermula lah episod pemasangan rak buku menggunakan gunting kertas dan gunting baju. (hahaha!) Sebenarnya dalam diam, saya cukup kagum dengan Fara, teman sebilik baru. Walau lebih senior sebulan dari kami berdua (kerana Fara masuk lebih awal iaitu pada September), Fara sangat meraikan dan tidak kekok membantu. Terlalu kagum! Fara tidak kisah meninggalkan ruang waktu yang sepatutnya digunakan untuk mengemas barang-barang peribadinya. Maha Pengasih Tuhan, mengurniakan saya dua teman sebilik yang sangat prihatin dan tidak kisah berkongsi beberapa keperluan seperti penggantung baju dan plug penyambung.
(ii) Tentang Zainuddin
"Awak memang suka baca buku? Banyak buku awak dalam container tu."
Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck milik ayah itu, saya angkat dari muka. Buku cetakan ketiga di Tanah Melayu, sudah lusuh dan kekuningan. Bagi menjawab pertanyaan Mar, saya sengih-sengih sambil mengangguk. Ya, Mar adalah teman sebilik yang baru. Empunya rak buku yang dipasang dengan gunting baju. (hahaha!) Tidak dapat membayangkan ruang kosong yang saya ada tanpa ada buku di tangan. Serasa seperti pokok yang ketandusan tanpa baja, cahaya dan air. Cukup bulan akan mati kekeringan. Dulu, cuma tahu beli dan susun pada kotak atau rak. Jika mahu baca, ada sahaja perkara lain yang menyekat. Di rumah sewa baru, saya banyak menghabiskan masa dengan beberapa hutang buku yang tidak tertunaikan.
Sengaja memulakan kehidupan baru di sini dengan membaca karya Hamka, kerana saya tahu ada kekuatan dari sana. Sosok Zainuddin yang mampu berdiri semula setelah rebah kerana cinta sangat mengagumkan!
"Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat." - halaman 151.
"Saya lihat guru pandai mengarang. Mengapa itu tidak guru teruskan?""Kalau fikiran tertutup bagaimana hendak mengarang?" keluh Zainuddin."Kalau orang ketika ditimpa hal-hal yang seperti ini lah terbuka fikiran membuat karangan" jawab Muluk. - halaman 152.
Jika kerana 'kegagalan cinta' menyebabkan saya terduduk dan rebah, maka saya harus bangkit dengan jiwa baru! Lebih realistik dan jujur dalam menulis. Jika menulis cuma satu-satunya kekuatan yang saya ada, maka saya mesti bangun menegakkan pena saya dari terus asyik melayan remuk-redam jiwa. Saya tidak akan toleh ke belakang lagi melihat jiwa lama yang sudah hancur. Cukup sudah sesi mengutip sisa jiwa yang lunyai. Moga segala perit yang menebal, Allah ganti dengan hati lebih kental. Terima kasih Buya Hamka! Terima kasih Zainuddin!
(iii) Petaling Jaya
Masih ingat tentang dua minggu lalu? Saya masih terbayang-bayang kali pertama menaiki kereta sejauh itu ke Petaling Jaya. Ya, saya diterima bekerja dan hari ini saya bernafas dengan udara kota. Memulakan suasana baru selalu sahaja menyesakkan jiwa saya, tetapi saya tahu bahawa saya perlu. Saya perlu menempuh ke medan sumber rezeki.
Mengajar bukan jiwa saya, kerana saya tahu kekurangan saya bila berhadapan dengan banyak mata. Bila mengajar al-Quran, saya berperang dengan jiwa dalaman. Amanah tetap amanah. Jika ini jalan yang Tuhan lorongkan, maka saya perlu terima dengan jiwa yang lapang.
Rakan-rakan baru banyak membantu. Sering sahaja saya lihat mereka tidak berkira kerja. Terngiang-ngiang kata-kata salah seorang penasihat, "Di sini kami macam satu keluarga. Saya suka tengok bila anak-anak ini tiada rasa cemburu dan dengki."
Jalan sudah terbuka, tinggal saya sahaja berani atau tidak menempuhnya. Moga ikhlas selamanya ada, moga dapat menemukan jiwa semula dan moga selalu sahaja memberi tanpa putus asa. Mungkin benar dibilang Jessie Pavelka,
"My journey through life has led me through both light and dark places, and it's because of those experiences that I have learned how to work through my character defects and to help others do the same."
Perpustakaan sudah hampir ditutup dan perut sudah berbunyi. Maka, cuma ini yang berjaya dimuatkan buat Umy dan Kak Syida. Bunga Oktober baru menguntum, saya menulis berteman senyum. Sekian, pantun dua kerat saya, harapnya dibalas. (hahaha!)
No comments:
Post a Comment