17 May 2015

"What happened to you?" "I grew up" -- Jeet

Bismillahirrahmanirrahim

Sebenarnya, terlalu banyak yang aku ingin tumpahkan di sini, tetapi tetap sahaja dikalahkan waktu. Bungkam sendiri seperti mahu 'membeli saat dan minit' jika ada ditawarkan di mana-mana Kedai Dua Ringgit. Masa yang ada lebih banyak terluang sewaktu menunggu bas, pergi dan balik dari tempat kerja. Hampir 3 jam sahaja diperuntukkan buat menunggu bas yang aku tidak pernah tahu waktu tepat ia akan menjengah di ruang perhentian bas. Maka yang kau sedang baca sekarang ini adalah ayat-ayat yang berjaya aku perap hampir dua minggu dalam ruang memo telefon genggam.

Ketika entri ini ditulis, sudah genap minggu ketiga berada di tempat kerja baru. Tidak pasti disebabkan karakter dalaman aku memang seorang pemerhati atau disebabkan suasana alam pekerjaan baru yang menjadikan aku lebih banyak sepi dari 'mengeluarkan bunyi', lebih peduli pada kualiti kerja yang dihasilkan berbanding mengambil kira bisik-bisik keliling dan lebih banyak meletakkan keutamaan pada tanggungjawab kerja tanpa menghiraukan cakap-cakap manusia. Mudah bahasa, "Janji kerja aku siap dan ketua puas hati, lain cerita belakang kira!"

Semakin menginjak dewasa, aku makin tidak ambil pusing dipanggil 'sombong', jika itu yang aku dapat kerana kurang bergaul. Sebenarnya bukan kurang bergaul, cuma aku mahu menapis hidup aku dari sifat hipokrit manusia yang suka bermuka-muka dan lebih banyak 'menyediakan waktu' buat orang-orang yang menghargai aku. Aku tahu yang aku lebih banyak memilih diam dengan orang yang aku kurang 'ngam', lebih banyak bersuara dengan mereka yang sejiwa. Mungkin dengan cara itu menampakkan diri sendiri sombong. Oh, bukan! Itu bukan sombong, aku yakin sifat semulajadi itu datang kerana aku selalu memaknakan;

"Speak only when your words are more beautiful than silence"

Aku bercakap perkara sama pada seorang kawan rapat tentang 'kesombongon' yang aku sudah buat di pejabat. Dia bilang, "Itu bukan sombong kawan. Itu adalah tahap di mana kau sudah capai titik kematangan. Dalam usia kita macam ini, ada lebih banyak perkara penting yang perlu kita fikirkan berbanding sibuk mengambil hati orang yang tidak tahu menghargai kita." Terdiam. Aku tidak tahu sama ada seseorang itu boleh berubah menjadi manusia pencinta sepi atau manusia yang lebih banyak bersuara bila sudah mencapai titik dewasa dalam hidup dia, tetapi kata-kata Ricky Williams ini seolah-olah mengiyakan;

"I don't think people change. I think they definitely mature. But I think the essence of what I am today is the same as when I was five years old. It's just maturity, I've become a healthier, fuller expression of that essence." 

No comments: