18 June 2015

Moga berjaya menemukan juzuk jiwa

Bismillahirrahmanirrahim

Jenis perahsia. Tidak gemar berkongsi atau bercerita melainkan dengan orang yang benar-benar selesa. Banyak drama yang berlaku dalam hidup, aku lebih suka diamkan. Pendam. Entah. Kadang-kadang jika ringan sahaja mahu bercerita, rasa macam membuka pekung orang atau bagai sibuk mengemis simpati. Dipujuk, dirayu kukuh mana pun tetap pilih jalan selamat, diam.

"She thinks she's all alone and all her hopes are gone and so I wrote this song so she can move along." -- Yuna

Tetapi tangan gatal juga mahu menulis. Bergaduh-gaduh huruf yang tersekat dalam minda minta dikeluarkan. Aku kira dengan menulis, orang yang merasa hal sama tidak pernah berseorang. Dia tidak akan merasa sepi sendiri. Kawan aku selalu cakap aku wujud dalam kategori penyabar. Walhal tidak, sewaktu kecil dulu emak selalu sahaja minta kakak mengalah supaya aku tidak memberontak di khalayak ramai. Penyabar sungguh yang bernama ibu.

Pernah kau rasa seperti selalu dibuli dan teraniaya gara-gara sikap kau sendiri yang mampu bersabar? Hakikatnya bukan itu perkara sebenar. Kau bukan dianiaya kerana mampu menahan amarah dan sabar.

"INFPs have the ability to see good in almost anyone or anything. Even for the most unlovable the INFP is want to have pity." - INFP Personality

Aku yakin bukan aku sahaja yang selalu merasakan tentang ini. Sesetengah orang daripada kita gemar memandang kebaikan pada seseorang. Gemar mengira perkara-perkara yang baik walau ia cuma wujud sebesar kuman. Mungkin atas sebab itu, dalam keadaan ranap mana pun kita masih mampu untuk sabar bertahan. Ibarat kau sedang dihanyut arus deras, cuma wujud satu akar kayu yang buat kau tegak tidak berganjak. Ya, akar kayu itu adalah sikap sabar kau sendiri.

Dulu sewaktu semester awal kuliah sarjana, aku dapat sama kumpulan dengan seorang senior bagi menyelesaikan tugasan akhir. Dia mengulang semula subjek itu kerana mahu dapat keputusan lebih tinggi. Apa yang kau terfikir kalau kau sekumpulan dengan seorang senior? Pengalaman? Lebih matang? Lebih berilmu? Ya, dia senior, jadi aku fikir dia lebih banyak pengalaman. Jadi gerak kerja kumpulan kami bertiga nanti akan lebih mudah.

Disebabkan kami cuma bertiga dan kandungan pembentangan juga terbahagi kepada 3 kupasan utama, jadi kami ambil keputusan supaya setiap ahli siapkan setiap isi. Dengan ada nya pembahagian tugas dan masing-masing punya pengalaman mengendali tugasan, kerja akan jadi lebih mudah. 

"But at all times we too are 100% perfectly imperfect. At every moment we are absolutely perfect for what is required for our journey." - Steve Maraboli

Namun manusia selamanya manusia, tiada yang sempurna. Telahan aku silap. Aku masih ingat. Giliran pembentangan kami Hari Rabu jam 2 petang, tetapi senior hanya menyerahkan bahagian hasil kerjanya pada kami berdua pada jam 12.30 tengah hari. Itu pun setelah dihubungi dua tiga kali bertubi-tubi. Mesej pula langsung tidak dibalas.

Tidak pasti apa punca dan masalahnya, walhal beberapa hari sebelum pembentangan masing-masing sudah sama-sama berpesan untuk menyiapkan pembentangan sebelum hari pembentangan. Yang merana kami berdua. Kelam-kabut mahu perbetul slide pembentangan. Geram? Ya. Tipu kalau tidak ada rasa sakit hati. Tetapi mengherdik secara berdepan bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Mujur kawan sekumpulan sangat memahami, jadi kami berdua saling menguat.

"Be kind to unkind people. They need it the most." - Ashleigh Brillliant

Jadi apa yang kami berdua buat sewaktu giliran pembentangan jam 2 petang itu? Profesional pada tugasan. Berlakon seperti tiada apa-apa. Masing-masing bentang bahagian yang diamanahkan. Sesak juga dada menahan amarah berdepan dengan seseorang yang pernah buat onar dengan kita. Tawakkal, itu jalan yang ada setelah berusaha terbaik. Tetap percaya pada indah hikmah yang Allah kurnia meski tak terlihat lagi cahaya nya. Hikmahnya? Kami dapat Gred A untuk subjek itu.

Jadi, adakah kita rasa teraniaya dan seperti dibuli kerana mampu sabar bertahan? Tidak! Tetap sahaja kita adalah orang yang gemar memandang pada kebaikan walau yang wujud cuma sehalus zarah.



["The sign of a beautiful person is that they always see beauty in others". - Sheikh Omar Suleiman]
Ya, macam Fynn Jamal bilang;

"Mereka manusia biasa. Ada banyak cela. Tapi manusia ni, cela mana sekali pun, mesti ada hebatnya. Maka cari."

Kadang-kadang kita terkurang untuk melihat sesuatu dengan mata hati. Apa yang ternampak di mata zahir, itu yang ditafsir. Ramadhan ini, moga kita lebih belajar untuk koreksi kekurangan diri, berusaha untuk lebih memuliakan dan menghargai orang sekeliling, dan semoga kita berjaya menemukan juzuk-juzuk jiwa kita yang 'hilang'. Selamat mengenal makna hidup!


No comments: