06 April 2015

Surat Untuk Bunga (iii)

bismillahirrahmanirrahim

Bunga,
Maaf, kali ini tidak aku kepilkan gambar buku atau secawan kopi seperti selalu. Tidak tahu seperti apa rasanya untuk kembali menulis semula di sini. Janggal. Mungkin persis seorang buta yang baru bisa melihat dengan kedua-dua matanya, gembira dengan nikmat yang wujud tapi masih kekok menerima tiap kilas cahaya yang menerjah kornea. Kekok hingga tidak pasti sama ada mahu memperkenal diri dengan 'aku' atau 'saya'. Selesai ditaip 'saya', dipadam semula. Selesai ditaip 'aku', serasa kasar dan kaku. Ya, jelas janggal.


[Mungkin sahaja kata-kata itu yang paling terkena dengan aku Bunga]

Tidak tahu juga sama ada janggal kerana sudah lama tidak menulis atau mungkin kerana pertambahan usia atau mungkin lebih tepat lagi sudah menginjak dewasa. Bukan kerana dewasa, tetapi mungkin masalah aku sahaja yang seperti tidak tahu menyesuaikan diri dengan usia dewasa. Kadang-kadang rasa ironi, mahu menginjak ke ruang dewasa dengan lebih matang tetapi dalam masa yang sama masih mahu duduk lama-lama dengan segala keburukan waktu dulu. Jadi dewasa, kita lebih perlu memikirkan kebaikan untuk orang sekeliling dan sama-sama saling berbahagi. Selalu sahaja rasa tidak mampu kerana sikap sendiri yang selfish, lebih sering mementingkan kebaikan diri sendiri. Mungkin juga kerana kata-kata di bawah ini sedikit sebanyak menakutkan aku. 

You will never be truly ready. You will never be ready to go through another job interview. You will never be ready to relocate. You will never be ready to attend that high school reunion. You will never be ready for family life. You will never be, what with your very idealistic expectations from yourself and from the world. But you’ve learned that fact so even if it’s as scary as hell, you learn to brave the chance and pray with all your heart that it will be worth it. -- The 10 Things Every Woman Must Have Realized at 25

Sewaktu menitipkan 'puisi tanpa huruf' yang lalu, aku berkampung seminggu di kampus demi melunaskan analisa tesis yang terakhir. Besar sungguh penangan tesis, hingga berjaya menghilangkan diri tanpa khabar lebih dua bulan. Sengih. Aku tetap sahaja seperti hari-hari dulu yang kau kenali, seorang pemerhati dan selalu sahaja mencintai perihal-perihal kecil. Senyuman nipis seorang gadis Yaman di pintu masuk perpustakaan atau  e-mail kiriman seseorang yang asing misalnya.


Di saat sedang serabut mencari responden bagi memenuhi kuota kaji selidik, Maha Suci Tuhan yang indah menyusun memori. Menerima email dari seseorang yang tidak dikenali dan berkongsi bahawa beliau juga pernah merasa susahnya mengumpul data, benar-benar membekas dalam jiwa. Hari itu, semua serabut hilang. Seperti angin yang datang menghembuskan dingin, hari itu aku lebih tenang dan mengerti bukan aku seorang sahaja yang pernah merasa sesaknya mahu menghabiskan sisa-sisa akhir tesis. 

Bunga,
Cukupkah aku khabarkan, indahnya random kindness hanya dengan sebuah perkongsian lama atau dengan video 3 minit atau mungkin dengan kalimah manis dari Princess Diana ini?

Carry out a random act of kindness, with no expectation of reward, safe in the knowledge that one day someone might do the same for you. -- Princess Diana

Aku rasa tanpa cinta Tuhan yang menyedarkan insan-insan tertentu tentang mulianya random kindness, aku bukanlah siapa-siapa. Lebih lagi bila memikirkan bahawa kecuaian, keserabutan, kekalutan yang sering datang menghantui hidup aku akan selalu sahaja diganti dengan kebaikan dan kasih-sayang orang lain. Susah daftar pengajian sarjana, dibantu staff mulia dari mula hingga selesai. Terlupa kunci motorsikal, disisip nota tepi bakul bahawa kunci masih selamat. Tertinggal tas duit, dipinjamkan teman sebilik sejumlah ringgit.

Terima kasih Bunga untuk 'surat' yang tidak pernah putus. Juga, terima kasih mengingatkan tentang bagaimana suatu hari kita menulis.  Sekian, surat  panjang dan janggal dari aku yang masih merangkak meniti ruang dewasa.


----

Untuk pembaca yang tidak pernah jemu (terutama Anonymous yang masih misteri hingga hari ini), moga ini mengubat rindu.

3 comments:

Anonymous said...

suka.

moga dipermudah semua urusan akak. all the best!

nusrah said...

chad, jazakillah khair. moga Allah mudahkan urusan awak juga, take care!

Anonymous said...

Kakak yang selalu dan tak pernah gagal menginspirasi.
*senyum.

Semoga Allah memudahkan setiap urusan kakak. Fi hifzillah. ❤