08 September 2014

Keyakinan untuk Jujur

Bismillahirrahmanirrahim

[Jazakillah khair Mira untuk ini. Bunyi pelik tapi sebenarnya memang betul.]

Bukan, entri kali ini bukan puisi atau susunan aksara yang saya tumpahkan kononnya dalam bentuk puisi atau apa sahaja yang senada dengan puisi. Sekadar kemas-kini ruang blog yang ditinggalkan lebih kurang dua minggu (atau lebih sebenarnya). Setiap hari banyak sahaja perkara yang mahu saya tuliskan dan kongsi. Terlalu banyak sampaikan saya sendiri celaru mana satu yang mahu ditulis! Memang sebenarnya itu adalah masalah utama saya. Buat yang selalu ternanti-nanti saya muncul di ruang ini (oh, perasannya!), mohon dimengerti kenapa asyik sahaja saya menghilangkan diri. Saya masih sama yang dahulu seperti mana keadaan saya ketika Surat Untuk Bunga ditulis.

Menulis tentang kelemahan diri bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan masa yang panjang untuk mendapat sebuah keyakinan. Setiap kita ada mimpi ngeri yang tersendiri. Mimpi ngeri yang pada mengenangnya, kita boleh terbangun pada tengah malam, berpeluh-peluh, ada kalanya sesak nafas, dan malu untuk ia diketahui orang. Saya tidak terkecuali.
Namun di celah perjalanan itu, ada kesepian yang belum terungkap. Sepi yang memerlukan masa yang panjang untuk saya bangkit dengan sebuah keyakinan. Keyakinan untuk jujur kepada diri. - Hasrizal Abdul Jamil, Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama-Mu.

Jujur, saya seorang perahsia. Terlalu berahsia. Berahsia hinggakan kebanyakan teman-teman sekuliah dahulu tidak mengetahui wujudnya blog ini. Jika ada pun yang mengetahui, mungkin itu zaman ketika blog ini masih dalam umuran seorang bayi yang mana saya pernah memuatkan pautan blog saya di peribadi Mukabuku. Malah ketika entri ini ditulis, saya menulisnya separuh jalan di Microsoft Word dengan motif utama tidak mahu diketahui teman sebilik tentang kewujudan blog.

Kenapa berahsia? Mungkin saya merasakan bahawa saya seorang yang pelik, punya perangai berbolak-balik dan sukar untuk difahami. Jadi saya tidak mahu mendatangkan rasa tidak selesa kepada orang-orang sekeliling gara-gara perangai saya sebegitu. Dalam erti kata lain, saya kerap kali tidak menjadi diri sendiri dengan orang luar yang saya kurang rapat. Mahu dikira mudah, saya akan kekal berahsia. Ya, saya tahu dengan membacanya sahaja sudah kedengaran janggal apatah lagi jika kita belum saling mengenal.

Cuma entah kenapa hari ini dan detik ini saya tergerak untuk menulis sesuatu yang orang lain tidak tahu. Seingatnya saya bertekad untuk berkongsi tentang ini gara-gara perbualan dengan seseorang di ruang aplikasi Whatsapp dua bulan lalu (oh, lamanya saya perap!). Mungkin sahaja di luar sana dan jauh dari kelompok yang kita saling kenal, masih terdapat ramai insan seperti ‘kita-kita’. ‘Kita-kita’ yang kerap berahsia kerana tidak mahu terlihat pelik. ‘Kita-kita’ yang selalu merendah diri kerana minat dan gerak-geri tidak seperti orang-orang di sisi. Lalu kita menulis untuk saling menguatkan bahawa kita tidak berseorangan. Bahawa sebenarnya masih ramai lagi dalam kelompok ‘kita-kita’. 




Jika ada ramai yang berlumba-lumba untuk kelihatan sempurna, maka saya tidak tahu kenapa saya sendiri suka dilihat sebagai orang yang penuh cela. Saya sejujurnya tidak tahu. Saya lebih senang orang memandang kekurangan saya dahulu dan melihat saya sebagai seorang yang bukan siapa-siapa. Saya seperti mahu menumpahkan kekurangan yang tersimpan. Ini antara perangai pelik yang saya tidak pernah bilang dengan orang walau hakikatnya terbias juga kadang-kadang. Bunyinya aneh sehinggalah Umairah berkongsikan tentang ini. SubhanaAllah! Bahawa kita sebenarnya bukanlah aneh dan kalau benarlah juga terlihat aneh dengan kekurangan-kekurangan yang ada, moga kita boleh baiki dan lorongkan untuk jalan-jalan yang Allah cinta.

Buat insan-insan yang selalu dilihat aneh dan kerap merasa janggal, assalamualaikum dan salam kenal! Mari kita saling berkongsi dan menguatkan dengan tulisan, meski ia sering sahaja terbina dari dinding yang tidak kukuh dan rapuh. 

5 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum..
Saya antara org yg selalu menanti entry baru akk. Kalau blog ni sepi 3 hari pun, sy dah rasa sepi. Tercari2 mana akk pergi.
Akk, kita sama. Seolah2 entry ini meluahkan setiap apa yg sy rasa. Ah, selalu sj tulisan2 akk kena pada jiwa sy. Dekat d hati. Terima kasih kak..

nusrah said...

anon,
waalaikumussalam warahmatullah. teringin benar akak mahu jumpa awak, duduk semeja dan kita berkongsi cerita. atau saling diam saat sama-sama mendengar bisik alam.

haihhhh lah adik, perkhabaran awak lewat ruang komen juga selalu akak nantikan di sini. whoever you are, know that you are my beautiful stranger. Please grow up beautifully..

dr.adilahhebat :) said...

betul , sama dengan comment anon tu.

mencari-cari and kalau belum ada update akk akan selak balik post2 yang lalu ,

dan kadang akan baca balik meski dah baca.

sebab ada something yang terasa sangat dekat dengan jiwa.

please keep on writing k.nusrah :')

nusrah said...

adilah,
u too beautiful stranger, please keep writing and inspiring people surrounds you. jazakillah khayr for being beautiful..

dr.adilahhebat :) said...

:')

insyaAllah,moga Allah terus-terus memberi ilham :')

dan moga saja bisa sampai kepada pembaca tapi takut tak boleh sampai disebabkan dosa-dosa yang menghijabkan TT