12 September 2012

Tawar

Bismillahirrahmanirrahim

Isnin. Minggu lepas. Fakulti. Niat asal mahu ambil pengesahan dokumen sebagai lampiran pendaftaran Kos K esok, tapi aku balik dengan tawaran diselia bawah khidmat Prof S (bukan nama sebenar). Pergi dengan niat A tapi pulang dengan rezeki B. Prof S bagi jurnal untuk aku buat rumusan, mana tahu dapat idea baru untuk tajuk katanya. Esok datang jumpa balik bincang semula tajuk. Aku sudah senyum-senyum kambing. Gembira dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu. Jarang ada kes orang atas tawarkan khidmat pada orang bawah. Kes-kes biasa, orang bawah terkocoh-kocoh cari khidmat orang atas untuk diselia.

Esok. Selasa. Masih minggu lepas. Fakulti. Patutnya aku sudah mendaftar di Kaunter Pendaftaran dengan Kos Sarjana K, tapi dengan janji dalam tangan mahu jumpa Prof S; bincang tajuk dan khidmat nasihat, jadi jam 11.30 sudah terpacak tunggu. Bincang sahaja tajuk, Prof. S sarankan aku tukar kos sebab tajuk di bawah seliaan beliau melibatkan Kos Sarjana L, bukan K. Aku angguk, terus ucap jazakillah. Lari-lari naik pejabat, aku kejar masa.

"Kak, ada masalah untuk pertukaran kos."
"Jumpa dengan Puan M di Pusat Pendaftaran. Puan M yang menguruskan perihal daftar-mendaftar pelajar baru."
Angguk. Senyum. Jazakillah.

Tunggu bas. Intai-intai jam di telefon genggam. Hampir waktu rehat tengah hari. Kalau waktu-waktu genting memang masa bergerak dengan laju ke? Sampai sahaja Pusat Pendaftaran, orang-orang yang aku kenal semua sudah selesai daftar. Bila tanya tentang aku, aku senyumkan. "Ada hal kecil yang perlu dilunaskan dahulu." Cari Puan M, merata. Tanya kiri kanan, akhir-akhir aku dapat tahu Puan M sudah balik ke pejabat. "Waktu dia berkhidmat sudah selesai di sini.", kata kakak baju hitam merah. Pejabat aku telefon, aku kisahkan kondisi aku. Puan M suruh aku datang Pejabat Fakulti belah petang.

Petang Selasa. Hari yang sama. Pejabat Fakulti. Dalam fikiran aku, perihal tukar kos ini akan selesai petang ini juga. Puan M akan terus tukarkan secara atas talian di sistem dan perihal ini selesai. Jumpa Puan M, kena buat surat kepada Timbalan Pengarah Fakulti pula bilangnya. Aku turutkan. Waktu-waktu genting memang saraf neuron bereaksi dengan pantas ke? Sebab aku terasa kepala aku sakit. Malas layan. Lari-lari cari makmal komputer. Terus buat surat dan cetak. Jumpa Puan M lagi sekali, fikir aku terus boleh selesai dengan adanya surat bukti pertukaran kos. Puan M cakap lagi sekali, nanti dia akan beri tahu lewat panggilan telefon jika sudah selesai. Kena berbincang dengan Timbalan Pengarah Fakulti dahulu. Lepas surat, bincang pula? Senyum tawar.

Petang Rabu. Aku telefon Pejabat Fakulti, tanya khabar permohonan tapi natijahnya kosong. Timbalan Pengarah sibuk bilangnya. Nanti dia akan telefon aku jika sudah selesai. Senyum tanpa gula.

Pagi Khamis. Aku sudah risau, esok hari akhir mendaftar. Berita kelulusan pertukaran kos belum dapat lagi. Bungkam. Kawan yang menumpangkan bilik, tawarkan khidmat jadi peneman ke Pejabat Fakulti.

Petang Khamis. Muka aku lagi yang jumpa Puan M. Aku kata dekat Puan M, esok hari terakhir mendaftar. Puan M kata jumpa Puan Y di Pusat Pendaftaran. Minta khidmat nasihat Puan Y bagaimana. Angguk. Senyum. Jazakillah. Terus jalan kaki pergi Pusat Pendaftaran. Bas selalunya lambat kalau waktu awal-awal semester begini, sebab tidak punya ramai pelajar lagi. Sana sini cari Puan Y, jumpa dekat Tingkat 3. Puan Y tidak banyak karenah. Cerita kondisi. Puan Y hubungi Puan M. Puan Y senyum, masalah aku akan dibawa ke mesyuarat Fakulti. Sistem akan muat naik Surat Tawaran yang baru hari Isnin depan, usai Ahli Tertinggi Fakulti dan Timbalan Pengarah Fakulti bermesyuarat. Nanti Selasa minggu depan sudah boleh daftar dan hantar lampiran dokumen. "Jangan risau, tarikh tutup 21 hari bulan sebenarnya. Sengaja tidak mahu pelajar tangguh-tangguh perihal pendaftaran.", itu yang Puan Y bilang untuk tenangkan aku. Puan Y siap beri nombor telefon peribadi, mesej dia sahaja kalau ada masalah lagi. Waktu ini, senyum aku ada gula. Alhamdulillah. Ini, kira selesai.

Petang Isnin. Minggu baru. Semak Sistem Pendaftaran. Masih surat tawaran yang lama.

Pagi Selasa. Minggu baru yang sama. Semak Sistem Pendaftaran. Masih surat tawaran yang lama. Macam ini rupanya rasa orang kecewa. Aku malas layankan. Buat tenang.

Petang Selasa. Minggu baru. Hubungi Puan Y, Puan Y mesej minta nombor kad pengenalan. Mungkin mahu muat naik surat tawaran yang baru. Tidak sampai 5 minit, Puan Y mesej lagi. Timbalan Pengarah Fakulti mahu Transkrip Ijazah Sarjana Muda aku pula. Aku turutkan, hantar cepat-cepat. Moga perihal ini akan selesai cepat-cepat juga. Sudah seminggu genap, tapi natijahnya masih serupa. Bila aku beritahu lewat telefon genggam yang transkrip aku sudah sampai di Pejabat Fakulti, Puan M akui yang  dia sudah terima dan masalah aku akan dibawa dalam perbincangan bersama Timbalan Pengarah Fakulti. Lepas buat surat mahu bincang. Lepas hantar transkrip mahu bincang. Bincang. Lagi sekali? Puan M suruh aku masuk kelas di bawah Program Kos K. Ada kena-mengena ke Kelas Kos K dengan Kelas Kos L? Kabur.

Hari ini. Pagi Rabu. Jujur, aku masih belum masuk kelas. Aku sudah macam hilang rasa. Bila kecewa aku selalu malas layankan, nanti menjadi-jadi. Bila aku malas layankan, jadilah macam ini. Tawar, tiada rasa. Sedih pun tidak. Gembira pun tidak. Duduk senyap-senyap dalam bilik. Baca buku yang dibeli tak terbaca. Selalu, bila jadi dekat orang lain senang sahaja aku keluarkan kata, "Sabar, pertolongan Allah itu dekat. Doa banyak-banyak. Sudah usaha, tawakkal." Tapi, bila jadi dekat diri sendiri, mahu keluarkan rasa tabah itu memang sukar. Nanar aku dibuatnya.

Aku kisahkan bukan mahu minta simpati kau yang membaca. Tapi satu sahaja aku mahu sisipkan buat kau yang mungkin sedang dalam musibah, malah mungkin ujian kau lagi teruk dari aku;

[ehsan]
"Untuk semua yang menderita dengan kesedihan atau tekanan hidup, percayalah yang penderitaan itu datang bukannya atas kesalahan kau. Itu bukan sebab kau lemah. Itu bukan sebab kau kurang rasa bersyukur. Itu bukan sebab kau kurang mengamalkan agama sepenuhnya. Itu bukan sebab paras iman dalam jiwa kau kurang. Itu bukan sebab Tuhan sedang murka dengan kau. Bukan. Untuk semua kata-kata seperti ini yang ditujahkan buat kau, senyumkan sahaja. Dan ketahuilah dari lubuk hati kau yang dalam, bahawa ujian dari Tuhan ini datangnya pelbagai buat orang yang berbeza-beza. Setiap pertolongan dari Tuhan adalah satu cara untuk kita mendekatkan diri kita denganNya. Sungguh, selepas kesukaran akan datang kesenangan dan ujian ini akan berlalu pergi seperti mana berlalunya perkara-perkara lain." - Sis Yasmin Mogahed.
"Untuk melewati suatu badai, kita harus berjalan. Bukan berhenti. Dan untuk terus berjalan, hanya ada dua hal yang perlu kita bawa; kekuatan dan cinta." - Di Bawah Lindungan Kaabah, Buya Hamka.

Nota Pendek : Sematkan nama aku dalam doa kau teman, moga kau Allah kurniakan nikmat yang lebih baik dari yang aku rasa. Jazakumullah. :')

2 comments:

Umairah. said...

Allahhu, bertimpa-timpa. tapi, umy tgk ada semangat dalam diri tya, mashaAllah. inspiring!

mungkin untuk percubaan kali ke-100, Allah akan makbulkan doa tya. jadi, teruskan semangat, jangan berhenti di tangga 99, ok!

moga Allah permudahkan urusan tiya, amin3. :)

sayang,
umy~

Izzati Hashim said...

Salam alaik.

Rabbuna Yusahhil. InsyaAllah.

Tiap orang, lain ujiannya.
Mungkin sekarang tiya tgh alami situasi begini.
Dan dalam masa yang sama saya dalam krisis sendiri.

Allah tak uji kita lebih dari kemampuan kita kan?
Allah uji kita sebab Allah sayang kita kan?
Allah uji kita supaya kita tahu mana nak letak pergantungan tu kan?

Buat kamu Tiya, dan buat saya juga,
sabar yer?
Moga Allah mudahkan segala urusan kita. InsyaAllah.
('=

p.s : Sayang kamu. Sangat.