30 May 2012

Realiti? Tidak.

Bismillahirrahmanirrahim..

#Arca Satu

"Kau tahu Uwais, aku cukup terkesan."

Uwais berkerut, "Dengan?"

"Kata-kata kau tadi."

"Oh, banyak sangat! Kau tahu burung murai pun kalah dengan mulut aku."

Umar sudah tertunduk, "Yang ukhuwah kita kadang-kadang tidak realiti."

Air yang Uwais minum tersembur keluar. Sudah, kau jangan mula buat gila Uwais, "Kau bernafas dekat bekas air masa kau meneguk, sebab itu kau tersedak. Habis basah jeans aku."

Uwais tayang gigi. Segaris. "Entah. Aku rasa kita gagal menggambarkan ayat 67, Az-Zukhruf."

"Pada hari itu, sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain."

"Kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal salih).", Uwais senafas menyambung. Keluh mengakhiri kosa kata.

"Kadang-kadang kita risau macam syurga tidak muat. Hanya untuk kita-kita sahaja. Habis semua orang kita mahu letakkan label. Sudah macam Mr. Potato dengan Jacker dekat Mydin. Pada hal, dua-dua sama. Kerepek kentang!"

"Patutnya, aku yang perlu lebih terkesan dengan kata-kata aku sendiri Umar. Aku yang tamak. Tengok, kasihan Ukasyah pening-pening. Mahu pilih usrah kau atau bulatan gembira aku."

"Eh, kau! Aku yang syok sendiri. Aku fikir macam usrah yang aku bawa bagus sangat. Pada hal, matlamat kita sama Uwais."

"Kita mahu berdakwah kerana Allah. Sampai tertegak kalimah Illah."

"Aku rasa macam aku yang melengahkan kemenangan Islam."

"Aku rasa macam aku yang membantutkan kerja-kerja Islam."

"Kita sama-sama salah!" Uwais dan Umar sudah macam koir tak terlatih. Seiringan tapi nada sumbang.

"Orang tua-tua kata, kalau ada dua orang tercakap benda yang sama lebih kurang serentak.."

Uwais belum habis air liur lagi. Umar laju memangkah, "Salah seorang yang macam tercakap lebih awal dua tiga saat itu yang kahwin dahulu kan?"

Umar punya muka Uwais pandang. Satu kilas cuma. Aneh!
"Apa? Kau ingat aku tidak tahu kau punya kiasan yang kau simpan setempayan. Kalah perempuan!"

Uwais mengekek. Kepala tidak gatal digaru.

"Uwais...."

"Hmmm..."Uwais pandang Umar yang sudah terlongo.

"Itu. Kita ada mad'u baru!"Tangan Umar tertuding pada seorang lelaki yang terjatuh. Gagal kawal kasut beroda itu, mungkin.


[Gagah mana pun kau, kalau mahu solat jemaah tidak akan jalan kalau seorang-seorang. Ehsan gambar]



#Arca Dua

"Awar.!" Cepat sahaja tangan Khalisa menyiku. Titik bicara mereka hilang dibawa angin petang.

"Ya." Tangan sudah hilang kawal. Habis aiskrim meleleh keluar dari kon.

"Itu. Ada orang terjatuh."

Mata tertegun pada kasut roda yang terlintang di kiri tuan punya badan. Otak laju buat congak. Mahu tolong atau tidak.

"Kita tolong dia Awar. Kita berdua. Dia lelaki, seorang. Kalau tidak tolong angkat pun, kita hulurkan tisu buat tutup sel-sel darah yang tersembur keluar."

Langkah mereka mati. Ada yang lebih laju membantu.

"Apa yang mulut awak kumat-kamitkan tadi?"

"Moga Allah mudahkan urusan mereka."

Khalisa punya mata tetap selari pada sudut yang sama. Masih, pada sudut lorong kecil tepi tasik. Ya, moga Allah mudahkan mereka bertiga.

"Kita ini kadang-kadang punya ukhuwah palsu kan? Tidak realiti. Tidak jejak."

Kon aiskrim digigit lambat-lambat. "Awar terasa dengan kata-kata saya tadi?", titik bicara tadi rupanya belum bernoktah. Khalisa resah. Sudah, aku tersalah masuk lorong ke?

"Betul Khal cakap. Kita nama sahaja ukhuwah, tapi masa makan kita sempat sahaja mengumpat."

"Awar tahu, masa kita duduk makan ramai-ramai hari itu, Khal doa-doa Allah datangkan apa sahaja yang boleh buatkan bicara kita semua terhenti."

"Dan hujan tiba-tiba turun kan masa tu. Pada hal beberapa minit sebelum itu panas terik.", subhanaAllah. Khal, maafkan Awar. Awar lemah sahaja bab-bab mahu tahan umpat.

"Bukan salah Awar.", Khalisa boleh baca apa Khawlah bebelkan dalam hati. "Khal pun sama salah. Tidak berani mahu tegur yang lain depan-depan."

"Kalau berani tegur pun, kita lupa beza mana satu koma mana satu tanda seru. Jiwa betul."

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata,'Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.' "

"Fussilat, ayat 33."

"Jom Awar!"

"Ke mana?"

"Kita tukar resipi baru. Awar mahu kita terus makan daging busuk milik sahabat kita sendiri?" Dalam kepala Khawlah al-Azwar penuh dengan bayang daging busuk berulat.

"Kalau ada sahaja yang mahu hidang kita dengan daging busuk, kita tutup dengan tudung periuk belanga. Kedap. Langsung tidak boleh celah masuk."

"Khal tutup kemas dengan tudung periuk, Awar tukar rencah baru. Kali ini, kita bagi lada hitam lebih. Habis hilang angin satu badan."

Kotak suara masing-masing bergetar kuat. Tawa mereka pecah.

"Eh, sudah habis! Belanja satu lagi Mingo Mingo." Awar ini, buat aku jiwa hari-hari.

Dikemaskini : Aku terlupa mahu bilang, ini aku dasarkan dari sesuatu yang benar. Cuma aku tambah rencah sedikit agar kalian sedap menghadam, tapi pengajarannya masih sama; ukhwah kita realiti atau tidak. Masih kah kalian ingat kisah Uwais al-Qarni yang namanya cukup harum dalam kalangan penduduk langit? Masih kah kalian ingat kisah pengislaman Umar al-Faruq yang pada asalnya cukup mustahil untuk kita melihat dia akan menerima hidayah? Masih kah kalian ingat kisah Khawlah al-Azwar yang cukup tangkas di medan perang walhal dia memegang status Hawa?

2 comments:

zuan said...

salam,kak nusrah..ada fb?

nusrah said...

wsalam zuan,
ada tu memg ada. Maaf, fb agak privasi bg akak dan akak susah nak approve org yg akak tak kenal atau tak cam.
Tapi klu zuan nak tnye apa2 pkara penting, boleh email akak kat sini :)[nusrahannur@gmail.com]

Moga dlm lindungan Allah selalu