31 May 2012

Ada Dua Cara

Bismillahirrahmanirrahim..

Ada dua benda yang aku betul-betul hadam dalam tempoh aku menyiapkan projek tahun akhir. 

#Kurungan Satu - Cara aku meletakkan pergantungan 

Siapa yang berada dalam posisi menyiapkan sisa-sisa terakhir projeknya mungkin faham. Betapa aku sebelum ke tempoh pembentangan, hari-hari aku mengadap kod-kod yang boleh buat aku juling kalau aku tenung kod itu lama-lama. Tidur malam pun aku mimpi kod. Makan nasi pun aku terbayang kod. Aduh, memang dasar pencinta kod sejati! Betapa kalian juga kena keluar masuk makmal, hari-hari buat eksperimen dengan tikus putih, kulat dan alga segala sampai kena tidur dalam makmal kalau eksperimen itu gagal dilunaskan. Betapa.

Hingga satu tahap, kod merapu, sistem tidak mampu paparkan hasil yang kita mahu dan eksperimen tidak jadi, tikus pula yang mati. Waktu itu, yang ada dalam minda aku cuma ada Dia yang Maha Pencinta. Sebab aku tahu masalah ini datang dari Allah dan pada Allah jua lah aku harus pulangkan nya semula. Aku akan biar komputer riba aku duduk diam-diam atas meja, sejadah aku bentang melurus arah kiblat dan aku solat sunat dua rakaat. Aku hamburkan air mata puas-puas. Sungguh, aku berani jujur ini!

"Duhai mata yang menangis, kenapa menganggap tangisan itu satu kelemahan? Kenapa menganggapnya satu lambang ketidakmatangan? Bukankah Allah merakam mulia tangisan itu dalam kitab cintaNya?" Ustazah Fatimah Syarha
"Dan mereka menyungkur sujud atas muka bumi mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk." - [17 : 109]
Dan betapa sistem yang tidak mampu paparkan macam apa yang aku mahu itu, hanya gara-gara aku gagal meletakkan sebutir koma. Aku ulang, sebutir koma. Dan betapa eksperimen kalian tidak berhasil, hanya gara-gara terlebih air suling pada sukatan bahan. Oh, betapa! Tapi kita semua puas kan, sebab bukan amarah atau rungutan yang keluar. Cuma air mata lewat sujud cukup sebaldi dua. Eh?


[Adam, kalau boleh alirkan air mata taubat saat baca kalam cintaNya,  serius aku tabik hormat. Sebab aku yang nama Hawa dan cukup sinonim dengan air mata ini pun kadang-kadang keras hati mahu keluarkan.]

#Kurungan Dua - Cara Allah Mahu Aku Mengenali Nya

Aku, kalau aku tulis kod tersilap sedikit sahaja terus sistem itu bertabrakan. Serabut! Kadang-kadang aku cuma tertinggal sedikit ruang kosong di bawah kod penutup. Itu juga sistem itu mahu ambil pusing aku punya silap. 

Dan betapa sempurnanya sistem yang Allah bina hingga susunan kodnya tidak punya cacat cela walau sesaat. Tanpa gagal. Bumi girang sahaja mengelilingi Suria tanpa perlu berlanggar dengan Marikh. Langit tenang sahaja memayungi kita tanpa tiang seri sebatang pun, malah cukup pakej sambil bertasbih pula. Kita elok bernafas tiap detik lewat hidung dan terus laju oksigen menyusup ke jantung. Sungguh Allah Maha Pengaturcara yang sempurna!

"Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh - melambangkan KekuasaanNya). Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-maklukNya)." - [91 : 5-6]
"Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas)" - [21 : 33]

Nota Hujung Kalam : Nampak macam aku suka amat dengan 'betapa' kan? Pernah kau tonton ini? Betapa Ribut juga obses dengan perkataan 'adalah'. ;)

No comments: