24 February 2012

Dakwah Tanpa Tarbiyah Itu Menyakitkan

Assalamualaikum warahmatullah.
Moga kalian terus bahagia dalam dakapan rahmat Allah. Ketahuilah saat kita berjaya digenggam rahmat Allah, dunia itu tidak memberi makna. Sekadar permainan buat dirinya.

Alhamdulillah, masih lagi mampu bernafas dalam jiwa hamba. Meneguk pinjaman kasih Allah yang tidak henti-henti mencurah. Dada langit turut deras memuntahkan segala isi. Hujan turun dengan lebat usai solat zohor tadi. Warna kelabu gelap masih lagi kekal, tiada tanda-tanda titisan air itu mahu berhenti. Kasihan melihat muslimin yang bertempiaran lari pulang dari solat jumaat. Jiwa lelaki itu kental bukan? Ini baru hujan air wahai saudaraku, belum lagi hujan peluru laksana di Palestin sana. Moga Allah memudahkan urusan kalian semua. Senyum.

Segera saya memutarkan kembali segala titik-titik mazmumah yang berjaya diukir. Amat perit rasanya bila kita berdakwah dengan jiwa yang kosong. Sungguh dakwah tanpa tarbiyah itu menyakitkan. Bayangkan kita mahu mengajak saudara-saudara kita yang lain supaya kembali mencari cinta Allah, tapi dalam masa yang sama kita punya mutabaah amal sendiri lompong. Mungkin kalian tidak pernah merasakan seperit dan seteruk yang saya sendiri rasakan. Rasa yang bagai dipalit dengan lumpur. Kotor! Buat usrah sekadar memenuhkan tanggungjawab yang ada. Langsung tidak datang dari hati. Langsung tidak dipasakkan kerana Allah. Allahu Rabbi.

Bila sudah jenuh bergelumang dalam selut mazmumah, saya tahu saya sendiri perlu berubah. Kenapa perlu buat dakwah atas niat-niat tertentu? Jika ada yang melakukan dakwah atas label jemaah, ketahuilah yang suatu hari nanti dakwahnya juga akan lelap bersama-sama tenggelamnya jemaah. Betulkan niat sendiri, dakwah bukan kerana jemaah, tapi hingga tertegaknya kalimah 'Ilah'. Jemaah hanya satu medium memudahkan usaha-usaha dakwah. Padam kan sahaja niatmu untuk berdakwah kalau hingga hari ini sesama jemaah masih lagi teruk berbalah-balah. Jika ada yang melakukan dakwah kerana mahu mencari pasangan yang soleh solehah, ketahuilah bahawa usaha dakwahnya akan terhenti saat dia mendirikan walimah. Bersihkan niat semula. Mendapatkan pasangan yang soleh solehah bukan matlamat dakwah, ia hanya wasilah.

Saya tahu entri ini agak berat untuk dihadam. Ia tidak lain hanya untuk menuding jari ke muka saya sendiri. Buat entri panjang-panjang, hakikatnya saya ingin membetulkan diri saya sendiri. Saya sendiri yang perlu berusaha mencari ruang-ruang untuk mentarbiyah jiwa saya sendiri, kerana saya pernah merasa betapa peritnya dakwah tanpa tarbiyah. Sungguh tidak mahu pisang berbuah dua kali. Biar adik-adik calon bidadari syurga yang baru sahaja didampingi tidak merasa kosong saat bulatan gembira berlangsung. Jangan kerana titik-titik mazmumah ini, saya sendiri yang menjadi punca merencatkan kerja-kerja dakwah itu sendiri. Nauzubillah.

[Moga Allah menetapkan hati kita pada jalanNya - Penghargaan gambar di sini]

Perjalanan dakwah ini tidak akan terhenti hingga setiap manusia mengenal siapa Penciptanya. Kerana Pencipta kita itu bersifat kekal, maka seharusnya perjuangan ini kerana Allah Yang Maha Kekal itu. Perjalanan dakwah ini tidak akan terputus hingga setiap manusia mengerti akan Cinta Tuhan yang tidak bertepi itu. Serius ia perjalanan yang sangat panjang.

Jika tidak mampu menikmati kemenangan Islam sekarang, biar kita sahaja yang menjadi penyambungnya. Malah Kekasih Hati kita, Muhammad saw tidak merasa saat kemuncak kegemilangan Islam di zaman Abbasiyah. Tetapi Baginda saw lah pemulanya. Hatta Imam Hassan al-Banna sendiri tidak menikmati saat-saat kemenangan Islam di Mesir sebulan yang lalu. Kerusi-kerusi di Parlimen Mesir dipelopori sepenuhnya oleh Ikhwanul Muslimin. Tetapi kita tahu bahawa beliaulah pencetusnya.

p/s : Aseef. Sekali lagi mohon dihulurkan kemaafan, jika ada mana-mana hati yang terobek dengan kata-kata dari diri saya yang penuh kekurangan ini. Saya sendiri masih lagi bertatih dalam denai dakwah tarbiyah ini.



No comments: