02 March 2012

Menuntut Ilmu Itu Sungguh Bukan Mudah

Assalamualaikum warahmatullah.
Tidak pernah lupa mendoakan kalian sentiasa dalam rahmat Allah. Moga rahmatnya itu mampu dikecap oleh setiap jiwa yang ketandusan kasih sayangNya.

Titisan dari langit itu kerap mengunjungi kami di waktu suria mengucapkan selamat tinggal. Selalunya azan maghrib dihiasi dengan irama titisan air yang jatuh ke bumi. SubhanaAllah. Semester akhir yang saya rasakan cukup buat hati saya tidak keruan (dek tahap tugasan yang mencabar), menghidangkan dua sesi kelas malam kepada empunya badan. Satu sesi di fakulti dan satu lagi sesi di akademi.

Dan hari itu, hari Rabu. Hujan sekali lagi menemani saya dan teman-teman lain ke kuliah. Mungkin sebab menunggang kenderaan tidak berbumbung, maka baju sejuk yang disarung hampir bertukar warna keseluruhannya lantaran sudah lencun menyerap titisan air langit. Mahu tunggu reda sedikit, gusar kelewatan pula ke kuliah. Tambah lagi dengan gaya penyampaian tuan pensyarah yang sangat berilmiah, sangat rugi andai tertinggal cebisan ilmunya walau seminit.

"Allah, basah habis. Kesian hangpa.."

Tuan pensyarah begitu sayangkan loghat utaranya. Kami yang baru masuk hanya mampu tersenyum saat dia menyapa ramah. Tertunduk malu kerana kelewatan sedikit.

"Saat kita rasa susah dok mencari ilmu ni, lagi-lagi masa hari hujan lagu ni, mohon lah dekat Allah - Allah, aku susah sangat dalam urusan menuntut  ilmuMu, mudahan-mudahan Kau mudahkanlah urusan aku di akhirat nanti. Ye dak? Kita kan dekat akhirat nanti, kena lalu al-Mizan, al-Sirat dan macam-macam lagi. Moga Allah mudahkan."

Hati yang sebenarnya sedih dengan satu peristiwa di fakulti petang tadi terus berbunga-bunga. Ustaz seolah-olah faham! Allahu rabbi. Allah jua lah yang menggerakkan hati, akal dan lidahnya untuk bertutur sedemikian.

"Tapi janganlah kita dok tadah tangan tinggi-tinggi lagu ni. Nanti orang dok ingat kita macam orang tak betoi. Macam nak pi minta sedekah pulak.!"

Geli hati melihat tingkah ustaz. Cukup bersahaja dengan tangannya diangkat tinggi-tinggi ke atas sambil buat gaya orang khusyuk berdoa.

Berhadapan dengan pensyarah berlainan kaum di fakulti petang tadi, dengan sikapnya yang jelas berbau perkauman benar-benar menguji tahap keimanan. Tidak mengapa, itu haknya untuk berperilaku sedemikian. Yang pasti, tugas saya sebagai penuntut ilmu sepatutnya berusaha lebih keras.

[Penghargaan gambar di sini.]

"Man jadda wa jada, wa man zara'a hasoda - Sesiapa yang berusaha, maka dialah yang akan mendapatnya. Sesiapa yang bercucuk tanam, maka dialah yang akan menuainya."


"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. - [Surah Al-'Ankabuut 29 : 69] "


2 comments:

Seri Ayu said...

jangan berputus asa utk berjaya.
amin :')

nusrah said...

Seri ayu, insyaAllah..
jazakillah, moga dalam redha Allah selalu.. ^^