21 February 2012

Hati Juga Mahu Cantik

Assalamualaikum warahmatullah.
Moga cinta dalam hati kita semakin mendalam dengan Allah. InsyaAllah.

Sungguh demam Konvensyen Fiqh Ummah hebat melanda. Ke mana-mana sahaja saya pergi dan bertembung dengan sahabat-sahabat yang turut serta, mesti tidak lekang dari bibir dengan perkataan 'Wasatiyyah'. Sengih-sengih tahan gelak. Status-status di muka buku juga masih lagi berkisar tentang Konvensyen Fiqh Ummah. Itu dan ini. Moga 'Wasatiyyah' bukan sekadar meniti di tubir mulut, tapi praktikalnya terpancar pada amalan harian. Biiznillah.

Kadang-kadang kita tidak perasan yang kita terlalu tertutup dalam menilai sesuatu, hingga menyukarkan diri kita sendiri untuk bergerak. Kadang-kadang juga kita terlalu terbuka dalam berhadapan dengan sesuatu isu, hingga kita lupa merujuk garis panduan asal yang telah ditetapkan syarak. Walhal Kekasih Hati, Muhammad saw terlebih dahulu mendidik kita dengan pendekatan 'Wasatiyyah'.

Setiap kertas kerja yang dibentangkan oleh asatizah benar-benar menyentuh hati saya. Masing-masing merendah diri dengan ilmu di dada. Masing-masing mendahulukan sahabat sendiri dalam berbicara. Asatizah yang sudah senior menyantuni asatizah yang junior. Asatizah yang masih muda menghormati dan menyanjungi asatizah yang sudah berpengalaman. Saya tidak lihat ia sebagai sesuatu yang janggal melainkan ia adalah suatu rahmat. Allahu Akbar!

Masih terngiang-ngiang di gegendang telinga saya, suara merdu lantunan Mufti Ismail Menk membacakan ayat suci al-Quran. Masih lagi segar di benak fikiran saya bagaimana Mufti Ismail Menk bercerita tentang konsep kesederhanaan pada kisah Salman al-Farisi bersama Abu Darda'. Oh, ya! Ini saya kongsikan sedikit  buah tangan yang saya terima sepanjang program berlangsung. Moga ada manfaat.

"Wasatiyah adalah apabila kita menyeimbangkan antara dunia dan akhirat. Wasatiyah adalah apabila kita menikmati dunia dalam kerangka membuat persiapan untuk akhirat. Seperti mana kita mahukan berat yang ideal pada fizikal kita, kita juga seharusnya mempunyai berat yang ideal pada rohani kita. Hati juga mahu cantik." - Slot Khas, Mufti Ismail Menk

"Pendakwah yang tidak berhikmah, pasti akan gagal dan membawa fitnah kepada Islam. Orang yang ikhlas dalam berdakwah dia akan boleh berkasih sayang sesama manusia dan tidak akan bersangka buruk dengan insan sekelilingnya." - Wasatiyah Dalam Dakwah, Ustaz Syed Mohd Nurhisyam Tuan Padang.

"Politik Wasatiyah adalah politik yang berpaksikan Quran dan Sunnah. Politik Wasatiyah itu akan menjamin kesejahteraan kepada generasi hadapan." - Wasatiyah Dalam Politik, Dr. Maslee Malik.

"Antara cara menangani bid'ah dalam beribadah secara berhikmah adalah dengan menghadirkan rasa berlapang dada dan berukhwah serta berkasih sayang sesama saudara, jika tidak pasti akan timbul rasa tidak puas hati." - Wasatiyah Dalam Ibadah, Dr. Roslan Mohamed.

"Ada 3 elemen penting dalam menjamin kelangsungan sistem zakat yang mantap, iaitu asnaf, pentadbiran dan muzakki (si penerima zakat). Dan yang paling penting, ketiga-tiganya kena ikhlas." - Manhaj Wasatiyyah dalam Ibadah Zakat, Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman.

"Di dalam Pengajian al-Quran, wujud 3 cabang ilmu  yang penting ; Tajwid, Tarannum dan Tafsir al-Quran. Kita perlu seimbangkan antara ketiga-tiga elemn itu, kerana Tajwid adalah pintu ilmu dan Tafsir al-Quran itu adalah gedung khazanah. Kita wajib pelajari ilmu tajwid sebagai satu langkah kita mengiktiraf al-Quran" - Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim.

[Penghargaan gambar di sini.]

p/s : Bagi sahabat-sahabat yang turut serta, silakan menambah mana-mana perasa yang berkurangan. Saya cuma manusia yang lemah, tanpa kuasa Allah yang menggerakkan tangan sungguh saya tidak mampu mencatat segala isi penting. Makanya mungkin ada catatan-catatan penting yang tertinggal.

p/s lagi : Pautan ini adalah buah tangan buat mereka yang tidak berkesempatan pergi. Ambil sahaja, ia percuma. Saya yakin anda akan jatuh cinta dengannya. Senyum. [Link]

No comments: