14 January 2012

Yang Ada Cuma Penat Mengejar Dunia

Assalamualaikum warahmatullah.
Moga kalian terus dalam rahmat Allah yang luas itu. Moga tiap saat yang dihabiskan di laman ini, redha Allah sentiasa hadir bersamanya. Biiznillah.

Masih lagi berbaki satu. Keempat-empat kertas peperiksaan yang wajib diambil sudah berlalu. Takut. Hanya itu yang mampu diungkap. Setiap kali mahu menghadap subjek yang berteraskan pengaturcaraan, memang perasaan itu kerap bertamu. Perasaan yang sama setiap kalinya. Pernah sampai satu tahap, tidak berani menelefon ummi agar dikirimkan doa buat diri ini. Risau air mata tumpah di situ juga kerana takut tidak mampu menjawab dengan baik. Hanya mampu menyampaikan mesej lewat khidmat pesanan ringkas.

Itu baru peperiksaan di dunia. Jika di akhirat kelak, pernah terlintas di benak fikiran bagaimana kita punya peperiksaan di al-Mizan? Luluskah? Allah terimakah amalan yang kita sangka bergelen-gelen sudah diusahakan? Mahukah Rasulullah mengaku diri ini sebahagian daripada penerima syafaat baginda? Dari tangan mana Allah mahu serahkan buku hasil catatan Raqib dan Atid? Memikirkan tentang itu, hati jadi tidak keruan.

Kuat mengeluh dengan ujian dunia yang cuma sekecil kuman jika dibandingkan dengan ujian yang Rasulullah s.a.w tempuh dahulu. Asyik berkira dengan lelah sampai belajar pun jadi lupa tujuan asal. Terlalu sibuk mengejar kenaikan gred sampai lupa niat sebenar. Belajar kerana Allah. Belajar agar dapat sumbangkan sesuatu untuk ummah. Merungutnya lebih banyak dari bersyukur. Malah lebih teruk lagi, merasa diri sendiri futur. Kalah dahulu sebelum habis berjuang. Allah..

"Manusia yang hidupnya untuk dirinya sendiri, usianya amatlah pendek. Bermula dari hari kelahirannya dan tamat ketika maut. Akan tetapi bagi mereka yang hidupnya untuk perjuangan, usianya panjang, sepanjang perjuangan itu. Bermula dari hari diciptakan Adam, dan berakhirnya ketika Dia memusnahkan alam. " ~ Sayyid Qutb
Imam Ahmad bin Hanbal ketika ditanya oleh anaknya, Abdullah, "Bila seorang mukmin itu boleh beristirehat?". Jawabnya, "Bila kita melangkahkan kaki pertama ke syurga."

Tiada istilah rehat di dunia. Yang ada cuma istilah penat mengejar dunia. Malah itu yang sepatutnya. Tiada lagi lelah. Tiada lagi keluh-kesah. Tiada lagi makna kalah. Kena segera bertukar arah agar condong ke akhirat. Masa sudah semakin singkat.

[Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya). - 84 : 6 - Penghargaan gambar.]



No comments: