10 November 2011

Senyum dan Aura Negatif Itu Tolak Jauh-jauh. Sungguh!


Assalamualaikum warahmatullah.
Tidak pernah lupa menitipkan doa kesejahteraan buat kalian. Moga terus dekat dengan Allah.

Tengkuk semacam berlekuk-lekuk. Lama mata membulat depan skrin empat segi tepat itu. Tulang belakang dari tadi mengalah. Cuba juga berkhidmat pada tuan walau hakikatnya beliau sudah lelah. Bosan selongkar segala macam laman sesawang dan pautan-pautan yang ada tentang modul latihan dalam kumpulan. Baik yang dari sini mahu pun dari seberang. Sudahnya terkulat-kulat sendirian membaca bahasa indah dari seberang. Langsung sepatah tidak faham. Yang dicari menggunung tinggi, yang dijumpa setakat lekat celah jari. Sedikit. Sudah buntu sebenarnya. Alih-alih mata melompat-lompat ke laman blog yang ada. Hati membaca tiap-tiap bait kata yang tersusun kemas. Mana tahu idea tiba-tiba menyapa mesra kotak fikiran. Jongket bahu dua-dua belah. Serentak.

"Bagi kakak bahagian makanan boleh?"
"Eh, kakak kena pegang slot melompat riang."
"Huh?"
"Kakak kreatif bukan? Tengok muka sudah tahu."

Entah dari bahagian muka mana yang mereka lihat diri ini terlajak kreatif. Bahagian muka yang ada jerawat ini mungkin. Sampaikan modul latihan dalam kumpulan dan slot melompat riang, otak ini yang kena diperah-perah sakan mencari isi. Haru! Menangis tidak berlagu. Masih lagi cuba untuk senyum walau kadang-kadang senyum palsu. Heh. Senyum lagi. Cuba tolak aura negatif itu pergi jauh-jauh. "Awak boleh. Sungguh!". Cakap seorang-seorang. Angguk seorang-seorang. Depan skrin komputer riba. Tepi meja serbaguna (Serbaguna sebab boleh makan, tidur dan buat nota atas beliau. 3 dalam 1. Mungkin jadi lebih dari 3 bila saya guna buat bergendang seorang-seorang.)

[Bila kita letak kepercayaan dalam diri, kita akan dapat kekuatan. Ya, macam ini gayanya cakap seorang-seorang depan komputer riba. Penghargaan gambar.]
Saat insan sekeliling tanya dari mana dapat kekuatan sampai boleh jalan buat kerja seorang-seorang, hanya gigi dua baris yang ditayang. Sengih sarkastik. Kalau kalian tahu diri ini sebenarnya cengeng tidak menentu waktu malam, mesti kalian geleng kepala laju-laju bukan. Berlagak kuat! Kalau saya jawab kekuatan itu datang dari Tuhan, mesti kalian kata itu ayat klise bukan. Ah, jawapan tipikal! Eh, memang sepatutnya begitu kamu tahu. Memang Dia sumber kekuatan sebenar. Kekuatan itu bukan nampak sebentuk-sebentuk dalam rupa halilintar. Kadang-kadang dia hantar melalui insan-insan yang lebih tabah dan kuat dari kita. Dan kita belajar kekuatan dari insan-insan bertuah itu. Terima kasih kepada mereka yang selalu tunjuk tabah depan saya. Angkat kening sebelah.

Masa zaman kanak-kanak ribena dulu(hingga kini sebenarnya), ummi dan ayah selalu bagi galakan dalam setiap perkara. Lagi-lagi dengan sifat sendiri yang sejak azali sukar dijangka. Sekajap mahu itu. Sekejap mahu ini. Sekejap suka aktif bersukan. Main hoki sampai lebam-lebam kena hentam dekat padang. Ummi sokong. Ayah bagi galakan. Dari situ saya dapat kekuatan. Sekejap suka komputer. Sampai isi borang permohonan pengajian tinggi, bersusun-susun kos teknologi. Ummi juga sokong. Ayah bagi galakan. Dari situ saya dapat kekuatan. Sekejap suka ambil gambar. Kumpul duit dari asasi mahu beli kamera besar. Ummi juga sokong. Sampai ummi bilang, itu sudah dijangka. Keturunan. Arwah Pak Long dahulu jurugambar sebelum jadi pendidik tetap. Tidak hairan sepupu-sepapat saya juga minat perkara yang sama. Perkiraan mudah. Genetik.

[Minat dan suka itu serupa macam belajar piano. Mula-mula kena belajar ikut aturan. Lepas itu, kita lupakan aturan dan main ikut kata hati. Ada hikmah tolak rasa suka dengan piano dahulu. Manalah ummi mahu gali duit hantar pergi kelas piano. Mahu kempunan sampai meleleh air mata darah baru dapat. Penghargaan gambar.]

Bila sudah terbiasa begitu, minat-dapat sokongan-kekuatan-boleh jalan seorang, saya dapat buat persamaan matematik mudah. Semua yang ada datang dari Allah. Allah tanamkan rasa minat dalam diam. Allah pinjamkan sekali kekuatan melalui sokongan insan-insan sekeliling. Kemudian baru boleh jalan. Tinggal kita sahaja yang mahu lakukan kerana Allah. Bila sudah minat, baru rasa ada kekuatan bukan? Bila sudah minat, semua kerja boleh jalan bukan? Bila sudah minat, buat kerja pun rasa seronok bukan?

p/s : Siapa boleh bagi idea atau mana-mana pautan yang ada modul latihan dalam kumpulan tentang akhlak dan aqidah? Pecah kepala fikir.

p/s lagi : Terpaksa mengaktifkan muka buku semula bila telefon genggam hilang dari pandangan. Kali ini menangis berlagu. Penuh syahdu. Habis hilang semua salinan nombor teman-teman. :(

4 comments:

k.h.a.l.i.l.a said...

eh, tep0n ilang keee????

nusrah said...

kak ilaaaa...
aah, my phone is MIA. Lama sgt dah dia merajok. Sy tak pernah duakan dia. huaaaa T_T

Sementara cuti ni pakai phone Angah Indah sat, nti naik cuti bru angkat tepon bru..nti kte pm no baru kay.. :)

Faaein Talip Roy said...

mereka tengok dari reaksi.. makanya mereka bagi kepercayaan pada kita untuk buat sesuatu aktiviti..

minat nusrah terhadap teknologi menggunung tinggi.. baguslah camtu.. ^^,.. semoga terus maju jaya dalam apa jua yang diceburi..

kat mana hilang phone tu? semoga bersabar yer.. cepat2 gantikan yang baru.. ^^,

nusrah said...

Kak Faaein, salah sy sdri yg memang careless. huhu, I admit it. Perangai busuk yg susah utk diwangikan dr dulu.. huaa.

Maybe misplace atau tercicir. sebab hdset tahap cikai gaban, xde nye org bernafsu nak curi.. heh :D