15 November 2011

Semua Perkara Pun Kena Beriman, Tahu?


Assalamualaikum warahmatullah.
Moga kalian terus dalam rahmat Allah meski ujian sedang hebat menimpa .


3 paket tisu memang tidak cukup dalam sehari. Habis plastik sampah penuh dengan tisu-tisu kotor. Bersin tidak henti-henti. Sejak pagi. Ada sahaja. Berselang-seli dengan bunyi ala-ala orang miang. Berdehem sana-sini. Konon membetulkan tekak yang dirasakan tidak stabil. Senyum tawar.

[Semua ujian itu bukan satu alasan untuk terus berputus asa tetapi ia cabaran untuk memperbaiki diri kita. Kesakitan itu bukan satu sebab untuk mengundur ke belakang tetapi ia inspirasi untuk melangkah jauh ke depan. Penghargaan gambar.]
Sudah hampir seminggu begini. Selsema jadi teman di saat mata letih melayan kantuk. Batuk jadi teman di saat mata mengeluarkan cecair kerana terlalu panas. Mahu makan ubat, jauh sekali. Entah, mungkin tetapan minda (sila baca : mind set) sendiri yang merasakan paracetamol itu sebenarnya bukan memulihkan sistem badan sepenuhnya. Ia hanya menahan kesakitan seketika. Jadi memang dari awal-awal dahulu, saya dengan ubat bukan sahabat sejati. Aduh, janganlah dapat penyeri hidup doktor atau ahli farmasi. Mahu perang kapsul dan botol ubat segala kalau saya jatuh sakit nanti(ini serius mengarut). Dan hari ini, kedua-duanya seolah-olah hilang asa. Makin kebah walau masih bersisa. Alhamdulillah. Nikmat Allah yang lain masih banyak walau nikmat sihat itu ditarik sekejap. Masih lagi bernyawa.


Saat saya merasakan saya terlalu lelah menahan sakit, masih ada lagi insan dalam keadaan parah. Saat saya melengkapkan bait-bait entri kali ini, pejuang-pejuang palestin mungkin ada yang sedang berlumuran darah. Saudara-saudara ku, apa khabar mu di sana? Walau tidak pernah bersua muka, tapi diri ini tidak pernah lupa mendoakan syurga sentiasa setia. Setia menanti jiwa-jiwa yang tidak kenal erti kalah walau jasad sudah rebah. Kadang-kadang bila saya merasa terlalu malas hendak mengatur langkah ke kuliah, segera diputarkan kembali gambar anak-anak palestin yang tidak hadir ke kelas kerana syahid. Lain kalau saya di sini, tidak hadir ke kelas kerana malas atau sengaja mahu tuang(Oh, ini bahasa rasmi kalau saya mahu bilang ponteng. Sengih.).

[Penghargaan gambar.]

Selera yang memang makin hilang dicuri sakit tekak, jadi mati bila buah tembikai susu yang kononnya pembuka selera rupanya sudah busuk. Mahu marah tidak jadi. Mahu tuding jari pada siapa? Pada mak cik si penjual? Mungkin silap sendiri. Tidak perhati baik-baik saat memilih. Tapi, entah! Bila saya mendapat barang yang tidak elok dari penjual, seringkali terlintas "Mahu kaut untung sahajakah? Tidak mahu berniaga kerana mencari redha Allah?" Ya, siapa kata menjual itu boleh sesuka hati. Menjual barang yang tidak elok. Pembeli rugi, penjual untung berganda-ganda. Mahu berniaga itu pun kena beriman tahu? Berniaga dengan cara yang terbaik. Yang terbaik itu kerana Allah, bukan kerana bermegah-megah. Yang terbaik itu, melakukan perkhidmatan yang terbaik. Bukan buat kerja tunggang-terbalik.


Kalau bawa kereta pun kena juga beriman. Sabar itu biar sentiasa jadi peneman. Kalau ada orang buat onar, bawa beristighfar. Mungkin si pengolah onar itu jahil, jadi saiz sabarnya cuma kecil. Jadi kita yang ada asas iman ini yang kena sabar. Doakan sahaja dirinya dapat hidayah, dikurnia rasa sabar. Bukan doakan dirinya menempah maut. Bukan tidak tentu hala mencarut. Kadang-kadang kita terlupa yang bawa kereta pun boleh tambah pahala. Tidak begitu? Pendek kata, semua perkara pun kena beriman tahu?

p/s : Doakan saya rajin boleh? Projek Tahun Akhir dan Projek Subjek bertimbun-timbun, tapi usahanya. MashaAllah. Cuma celah kuku.

4 comments:

k.h.a.l.i.l.a said...

betul, kene beriman dlm semua hal ^_^

ehem ehem.... ada bakal kumbang dari bidang perubatan nak cuba hinggap pada bunga ke??? ;p

nusrah said...

kak ila :

eh? xde lah. dlm mimpi pun xde Dr. Kumbang nak cuba hinggap. Heh

Wan Pai said...

Setiap kerugian insyaAllah Dia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. :)

moga cepat sembuh juga..

nusrah said...

Wan Pai :

Agree. Mungkin emosi mengatasi iman masa dapat barang tak elok tu. huhu

Alhamdulillah sudah makin sembuh.

Jazakallah for being here...