02 November 2011

Andai Ia Hilang, Pernah Terfikir untuk Membilang?

Assalamualaikum warahmatullah.
Moga kalian yang sedang membaca coretan ini terus dalam rahmat Allah. Moga masa yang diperuntukkan di laman usang ini dihitung sebagai ibadah.

Bingit. Bunyi deruman bas bercampur aduk dengan ngauman enjin lori yang kerap lalu lalang. Makin pesat binaan-binaan didirikan dalam kampus. Tangan laju berlari-lari atas papan kekunci. Lagi setengah jam sebelum kelas tutorial di akademi. Alhamdulillah. Pagi yang indah walau dicemari bunyi-bunyi bingit. Masih lagi indah kerana sang suria belum berhenti menyinar. Masih lagi indah kerana burung juga turut berkicau, memurnikan lagi irama pagi. Masih lagi indah kerana diri ini mampu merasa aliran oksigen yang turun naik di sekitar tubuh. Masih lagi indah kerana bernyawa dalam nikmat iman dan islam. Indah!


[Memiliki ibu bapa juga adalah satu nikmat yang paling besar. Hargai mereka sementara waktu masih ada. Penghargaan gambar di sini.]

Indahnya nikmat jika manusia pandai bersyukur. Indahnya nikmat jika manusia tidak kufur. Walau kemampuan tangan untuk menyuap nasi ke mulut pun dirasakan nikmat. Kecil tetapi penuh dengan rahmat. Kita hanya akan merasa nikmat itu adalah anugerah paling besar, bila kita kehilangannya. Ya, pernah terfikir bila anda bangun dari tidur tiba-tiba tangan tiada sebelah. Atau tangan anda tiba-tiba tidak mampu berfungsi walaupun fizikal tangannya ada di situ.

Andai ia hilang, pernah kita terfikir untuk membilang? Pernah terlintas di benak fikiran walau sekelumit cuma? Saat itu kita mesti merasa satu kehilangan yang amat besar. Betapa nikmat yang kecil itu sebenarnya sangat besar. Itu baru nikmat tangan. Belum dihitung lagi nikmat kaki yang malas melangkah ke majlis agama. Nikmat muka yang cantik dan kacak belaka. Belum kira lagi nikmat pandai bercakap, nikmat duit pinjaman dan biasiswa, nikmat pakaian yang mampu menutup aurat. Berpeluh-peluh kira. Allahu Akbar. Banyak!

[Jika terputus hubungan kita dengan Allah gara-gara salah kita sendiri yang menafikan hak Pencipta, pernah terlintas yang dunia kita jadi gelap-gelita? Penghargaan gambar di sini.]
Kalau yang terpampang di dada akhbar, masalah penceraian sana-sini. Semua gara-gara tidak menunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing. Isteri menafikan hak suami. Suami mengabaikan hak isteri. Tapi pernah kita menghitung semula tentang hamba yang menafikan hak Penciptannya? Nikmat yang begitu banyak, kita balas dengan sikap yang bongkak. Nikmat yang beratur-atur, kita balas dengan menjadi hamba yang kufur. Waktu solat tidak dijaga. Sedekah pun asyik lupa. Lafaz tahmid hanya sekali-sekala. Dakwah pandang sebelah mata.

Kalau kita asyik menafikan hak Pencipta, pernah lagi kita terfikir yang hubungan kita dengan Si Dia akan terputus bila-bila? Serupa macam terputusnya hubungan suami isteri. Naik turun mahkamah. Tuntut itu. Minta ini. Pernah bayangkan macam mana dengan mahkamah kita depan Allah nanti? Waktu itu tiada lagi mahkamah rayuan. Yang tinggal cuma sisa bukti di anggota badan. Oh, berpeluh-peluh lagi!

p/s : Entri ini lebih ditujukan kepada diri sendiri. Jari telunjuk lebih laju dituding kepada muka sendiri. Ya, diri sendiri yang hina-dina tapi simpan cita-cita tinggi melangit mahu menjejakkan kaki syurga.

p/s lagi : Selamat datang November. Selamat datang Zulhijjah. Oh, terlalu pantas jarum minit berdetik! Semakin dekat dengan penghujung usia. Semakin dekat dengan penghujung dunia.





4 comments:

Faaein Talip Roy said...

segala-galanya makin dekat kembali kepada Sang Pencipta..

Nikmat-Nya terlalu banyak sampaikan kita tak mampu nak menghitungnya..

Like this entry!.. ^^,

nusrah said...

Kak faaein yang manis lagi comey bergaya.. heh :p

sy ternanti-nanti akak punye next entri pasal Syakir..heeee

May your heart stay close to Allah.ameen ^_^

khalila ishak said...

kadang2 kite x sedar kan? huhuu...

nusrah said...

to kak ila :
betoiii.. nikmat tgn, muka, kaki sgala.
lagi2 sejak phone hilang. Terasa sgt entri ni kena kat batang idong sdiri.