19 November 2011

Berapa Kali Baru Lulus? Berapa Banyak Baru Sempurna?

Assalamualaikum warahmatullah.
Apa khabar iman? Apa khabar hati? Berbisik-bisik pada diri sendiri.

Langit sudah makin pekat. Gelap. Bukan kerana titisan itu akan turun sekejap lagi. Sama sekali bukan. Ada lagi beberapa minit sebelum kanvas siang bertukar rupa. Bunyi kenderaan yang lalu lalang menenggelamkan bunyi burung-burung yang pulang petang. Terbang menuju sarang.

Selesama masih bersisa. Badan kadang panas tidak menentu. Tapi dikuatkan juga. Kalau asyik layan sakit, sampai ke sudah tidak siap kerja. Tisu makin habis dari dalam simpanan.

"Saya sudah tahu kenapa saya demam."

Wajahnya penuh tanda tanya. Teman sebilik menala mata ke muka.

" Mahu tumbuh gigi bongsu. Sakit rupanya."

"Ini gigi bongsu yang ke berapa?"

"Pertama." Sambil lidah merasai kehadiran si bongsu. Bongsu tapi yang pertama.

"Awak akan ada 3 kali lagi demam maknanya. Baru lengkap semua adik-beradik gigi."

Betul juga. Kena lalu 4 kali demam, baru sempurna. Kena lalu 4 kali demam, baru semua ada. Itu tapisan yang sudah jelas. Mahu merasa kesemua gigi bongsu, kena rasa 4 kali demam tidak bertalu-talu.

Kalau tapisan yang tidak jelas bagaimana? Tapisan untuk merasa cinta Dia, berapa kali ujian perlu ditempuh? Tapisan ke syurga, berapa tinggi gunung kesabaran perlu dibina? Geleng-geleng kepala. Tidak pasti. Hanya Dia yang Maha Mengerti. Kadang-kadang boleh jadi si alim itu, amalannya sia-sia. Neraka pengakhirannya. Kadang-kadang boleh jadi si jahil itu, amalannya lagi diterima. Syurga jawabnya.


[SubhanaAllah. Ini baru di dunia, kalau syurga? Tidak terbayang di  mata.
Penghargaan gambar di sini.]


p/s : Hadis riwayat Abu Hurairah r.a Dari Rasulullah s.a.w. bahawa beliau bersabda: Tidak seorang pun di antara kalian yang akan diselamatkan oleh amal perbuatannya. Seorang lelaki bertanya: Engkau pun tidak, wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w menjawab: Aku juga tidak, hanya saja Allah melimpahkan rahmat-Nya kepadaku akan tetapi tetaplah kalian berusaha berbuat dan berkata yang benar (Sahih Muslim : No. 5036)

2 comments:

nisaforyou said...

salam...

boleh contact nusrah melalui email ke, skype ke.. fb ke.. rasa nak chat. nak tanya2. :)

nusrah said...

wsalam,
with a pleasure, for sure you can.. ^_^

I have put my email in one of your entry..

Love you fillah ukhti.. <3