10 October 2011

Mari Kita Mendaftar di Sekolah Akhlak Mulia Semula.

Assalamualaikum warahmatullah.
Tidak pernah lupa kalian sentiasa dalam rahmat Allah yang luas itu.

Senyum. Alhamdulillah. Masih ada sisa tenaga. Mata dan seluruh anggota yang ada sudah letih saat entri ini ditulis. Tulang empat kerat sudah digunakan sampai tahap maksima. Ada kenduri di rumah jiran sebelah hari ini. Adab berjiran dan bersaudara, meringankan beban yang ada. Itu kan amalan yang mulia. Ruang waktu yang sempit menjadikan diri bisa melawan kepenatan yang wujud. Waktu terlalu terhad jika saya tidak menyusun dan manfaatkannya dengan elok. Toleh semula ke belakang, terlalu banyak lompang yang ada. Bagai sebatang jalan yang elok terbentang lurus tapi banyak lopak dan lubang di sana-sini. Semua gara-gara diri sendiri yang banyak buang masa.

[Masa yang dimanfaatkan dengan betul, itu kunci ke syurga. Penghargaan gambar di sini.]

Peristiwa siang tadi benar-benar membuatkan iman yang senang turun naik ini terbang melayang. Kalau diturutkan nafsu yang kerap dididik syaitan durjana, memang ditinggalkan sahaja segala periuk belanga di belakang. Istighfar dan istighfar. Ini memang betul-betul di luar kawalan. Silap-silap majlis yang asalnya punya tujuan merapatkan jurang silaturrahim, boleh jadi majlis memutuskan ukhuwah yang sedia ada. Tetamu yang asalnya berlaukkan daging ayam boleh tukar menu jadi daging saudara sendiri.

Siapa bilang mudah mahu membentuk sifat sabar tanpa iman? Siapa bilang mudah mahu mentarbiyah hati bila berada dalam kalangan insan-insan yang enggan peduli jaga pertuturan? Berhadapan dengan manusia-manusia dan susuk tubuh yang asyik menganyam ketupat dan tersangat menjaga adab dalam bercakapan membuatkan diri merasa tidak cukup ada satu kipas di dapur tadi. Panas. Perlu ditambah satu lagi. Saiz paling besar baru seronok.

Bila satu demi satu ketupat berjaya dianyam, diri ini rasa mahu mencadangkan kita semua supaya mendaftarkan diri di Sekolah Akhlak Mulia. Beramai-ramai. Baru meriah dan imarah sekolah. Pelajaran pertama yang perlu dihadam adalah mencari beza antara dua ayat. Kemudian baru kita ambil kira mahu belajar anyam ketupat atau olah nasi himpit sahaja.

Ayat A : Kalau buat kerja itu, ikhlas lah sedikit. Racik serai itu biar bagi halus.
Ayat B : Serai itu racik halus ya. Senang bila mahu dikisar nanti.

Ayat A : Letak lah kicap dekat telur ni!
Ayat B : Tolong letakkan sedikit kicap dekat telur ini

Ayat A : Kenapa lah menyusahkan diri basuh kerang macam itu?
Ayat B : Mari saya tolong. Basuh macam ini lebih mudah.

Ayat A : Ambilkan senduk dekat atas para itu. (Minta dengan mimik muka masam mengalahkan jeruk mempelam).
Ayat B : Tolong hulurkan senduk dekat atas para itu. (Minta dengan permulaan senyuman dan mengakhiri dengan lafaz terima kasih).

Murid-murid, cikgu Nusrah mahu tanya sesuatu. Antara ayat A dengan ayat B, ayat mana satu yang murid-murid suka? Jawab sendiri dalam hati ya murid-murid. Oh, ya! Pengetua pesan, dekat Sekolah Akhlak Mulia tiada kelas ko-kurikulum Menganyam Ketupat. Zaman sekarang ialah zaman teknologi, sudah pakai nasi himpit segera. Lagi cepat dan mudah disediakan. Senyum penuh bermakna sambil meninggalkan noktah.

[Penghargaan gambar di sini.]


p/s : Orang yang bijak ialah orang yang menjaga pertuturannya. Diamnya menenangkan, bicaranya menyenangkan. Sekali dia bertutur, sepuluh hikmah yang terkumpul.

p/s lagi : Jika kita semua latih diri untuk jaga pertuturan insyaAllah tidak wujud lagi istilah kata-mengata. Percaya atau tidak yang anyam ketupat ini puncanya dari mulut yang tidak dijaga.

p/s lagi lagi: Entri ini penuh dengan ayat-ayat yang segar keluar dari sarkas. Sengih.

No comments: