02 October 2011

Jangan Biarkan Tangan Ini Jatuh dalam Lubuk Jahannam

Assalamualaikum warahmatullah
Tidak pernah lupa mendoakan kalian dalam rahmat Allah.

Suasana hening pagi ini. Entah kenapa hati dari semalam seakan meronta-ronta. Tidak tahu lompangnya di mana. Mula dari mesej ringkas teman lama di Mukabuku yang tiba-tiba menyatakan rindu hingga panggilan tidak disangka oleh kakak senior yang pernah sama kuliah dahulu. Semua berlaku terlalu pantas dalam satu malam. Bagai ada suatu hikmah yang Allah mahu tunjuk. Bagai ada sesuatu yang Allah mahu diri ini muhasabah semula. Pertemuan dengan kakak senior yang memang tidak wujud langsung dalam benak kepala sudah macam usrah tanpa dirancang. Semuanya kebetulan.

Kakak : Awak sudah makan?
Saya : Kenapa tanya? Kakak mahu belanja saya ya? *Angkat kening sebelah. Sengih tunjuk gigi.*
Kakak : Eh, masih dengan perangai lama. Soalan dijawab dengan soalan.
Saya : Alhamdulillah. Kenyang sangat sampai mahu turun jumpa kakak tadi rasa mahu merangkak. *Sengih lagi*
Kakak : Temankan kakak makan sekejap ya sampai suami kakak habis mesyuarat.
Saya : Mahu teman sampai esok pun boleh. Kakak kerja mana sekarang?
Kakak : Damansara. Syarikat Pengedar Barang-barang Pergigian.
Saya : Jauhnya kakak menyimpang. Macam mana boleh sampai ke situ?
Kakak : Pengurus di situ kenal kakak. Dari hari itu beriya-iya mahu ambil bekerja. Terima jugalah. Mahu cari pengalaman.
Saya : Seronok?
Kakak : Macam-macam rasa ada. Sudah macam ABC tambah Rojak.
Saya : Huh?
Kakak : Kakak boleh rasa yang kakak macam turun dalam lembah yang penuh dengan mad'u bukan sekadar bekerja kira duit macam sepuluh tambah satu.
Saya : Kakak seorang sahaja 'si orang asing'?
Kakak : *Angguk*. Nusrah akan merasa juga nanti bila sudah bekerja. Macam mana rasa dikelilingi orang yang tinggal puasa Ramadhan. Macam mana rasa bila orang sekitar awak tidak solat. Macam mana rasa bekerja dengan orang yang terdedah aurat. Rasa macam hidup seharian tidak berkat kalau awak rela tahan mata lihat maksiat.
Saya : Sabar nya kakak. Kalau saya mungkin sudah macam separuh gila di situ.
Kakak : Kakak belum sampai tahap gila lagi. Tapi pecah juga lah empangan mata ini. Tiba-tiba kakak ternangis dekat pejabat tadi.
Saya : Sungguh?
Kakak : Ya. Bila orang lalu, cepat-cepat tutup dengan buku. Awak tahu, memang kita rasa perit menjadi 'si asing' dan 'si pelik'. Lagi-lagi bila orang sekeliling macam pandang jelik. Orang sekeliling rasa panas hati sahaja bila lihat kita mengaji. Tapi perit itu hilang bila Allah turunkan mad'u yang mencari erti hidup dalam waktu yang sama.
Saya : Maksud kakak?
Kakak : Teman satu tempat kerja dengan kakak sudah mula solat. Dulu, pegang telekung pun mungkin tidak. Sekarang sudah mahu jemaah sama dengan kakak. Teman-teman yang lain macam mahu terlopong bila lihat dia sudah mula solat. Rasa perit tadi terus hilang bila pandang dia ini. Kakak tahu dia jahil. Bukan salah dia. Sudah itu memang tugas kita. Ingat, kita saudagar yang berdagang. Kemana-mana kita pergi, kita bawa Islam. Dakwah itu tidak akan pernah kelam.

[Pada pengakhirannya, keperitan dan kesakitan itu akan menjadi sumber kekuatan. Penghargaan gambar di sini.]

Kepala angguk-angguk. Ingatan tiba-tiba terpaku pada rakan yang menghantar mesej ringkas di Mukabuku tadi. Terus wajah teman sebilik pula berganti. Bertukar pula dengan wajah teman sewaktu matrikulasi dahulu, wajah teman yang pernah satu organisasi kolej kediaman di sini dan banyak lagi wajah-wajah yang muncul. Wajah-wajah yang seakan mencari Nur. Wajah-wajah yang perlukan percikan nasihat. Wajah-wajah yang hakikatnya rindu Cinta Dia. Wajah-wajah yang berbisik 'Jangan biarkan tangan ini jatuh ke dalam lubuk Jahannam'. Maafkan diri ini. Terlalu banyak pentingkan perihal sendiri.

Allahuakbar. Rupa nya banyak yang masih lompang. Banyak jiwa yang masih kosong. Banyak jiwa yang rindukan rasa berTuhan. Jika Allah tarik nyawa sekarang, memang rasa bersalah tidak akan pernah hilang. Terlalu banyak diri terlepas pandang. Risau tidak sempat tarik semua sama-sama ke jalan syurga sedang diri sendiri masih banyak leka. Bangunlah wahai jiwa! Jangan kamu tega lagi melihat wajah-wajah itu menderita. Allahu Allah. Mampukah aku?

p/s : Kadang kala hati itu perlu kosong sebelum diisi dengan rahmat Allah. Berbahagialah kepada mereka yang hati kosong, kerana Allah sedang membersihkan hatimu. - hijabiztumblr

4 comments:

♥ Sheeda Hyun Ssi ♥ said...

nice entry.. ya, dalam hidup ni kadangkala kita lupa diri kan? merasa ada yang kurang, namun kadang2 usaha memenuhkan yang lompang itu sukar dilaksanakan..
;-)..
Tq sebab saya juga muhasabah diri baca entry ni .. ;-)

nusrah said...

Assalamualaikum sheeda.
strongly agree, kita selalu lupa diri.. ;'(
Jazakillah for being here.. May Allah bless your day ^_^

Faaein Talip Roy said...

Assalamualaikum nusrah..
first.. sukanya tengok blog nusrah.. cam dah lain je.. sorry lama tak jengah..

dengan baca ini.. semoga sentiasa mengingatkan diri ini yang sering alpa.. -__-

nusrah said...

wsalam w.b.t kak faein..
aah, alhamdulillah. bru 2 hri je ni dia tukar baju baru ;)

insyaAllah kak, sy juga manusia. manusia yg sering lupa. dan tugas sahabat2 mengingati mana yg kurg. Moga kita dapat lengkap melengkapi..

Heart you fillah :)