21 September 2011

Awak Sendiri Kena Usaha Jadi Baik

Assalamualaikum warahmatullah,
Tidak pernah lupa mendoakan kalian dalam rahmat Allah.

Macam lampu tidak cukup bekalan elektrik, mata ketika ini pejam celik. Kertas empat segi tepat warna biru itu sudah jadi tatapan kornea sendiri untuk kesekian kali. Tidak mengapa, rezeki halal. Setiap baris data yang ditaip, setiap kali itu juga hati cuba muhasabah diri sendiri. Duit yang dicari jangan diguna ke jalan hitam, biar untuk tabungan masa depan. Belum lagi siap memasukkan ( sila baca : key in) maklumat yang sedia ada dalam fail penyimpanan data, tapi mata sudah lelah. Badan sudah macam senget sebelah. Sudahnya, ruang papan pemuka ( sila baca : dashboard) ini ditatap. Terus gatal tangan mahu tekan-tekan papan kekunci yang ada. Mahu kongsi sesuatu di sini.

Lagu Sendiri Menyepi, nyanyian jejaka Edcoustic asyik berputar di ruang audio komputer riba. Entah kenapa, lagu ini bagai mengetuk-ngetuk saraf kepala. Mungkin terasa dek stanza lagu yang betul-betul kena pada jiwa. Kena pada memori zaman jahiliyah. Kena pada ruang waktu yang ada saat diri mula mencari titik perubahan. Alunan Suara Opick dan Amanda berganti. Sungguh Allah itu Maha Melihat dan Maha Pemaaf. Rasa malu bila melihat sekeliling. Banyak nya nikmat Allah. Tidak cukup dalam kiraan tangan. Terlalu banyak!

[Terlalu banyak nikmat di dunia, sampai kita terlupa hakikat hamba. Pada orang beriman, dunia itu hanya permainan. Pada orang cinta dunia, dunia itu indah macam bunga. Penghargaan gambar di sini.]

Sebab itu bila melihat dan mendengar insan-insan yang sering berkata "Saya belum dapat hidayah", hati merintih beristighfar. Diri sendiri pernah tergolong dari sisi hidup jahiliyah. Belum cukupkah nikmat di sekeliling kita menjadi tautan untuk menerima hidayah? Belum menerima hidayah atau tidak berusaha mendapat hidayah? Atau mungkin lebih 'mulia', adakah dirimu itu tepis-tepis dan buat tidak pandang sahaja hidayah yang sudah terjamah di depan mata? Oh, pedih! Saya tahu ini kasar dan menyucuk-nyucuk.

Saya bukan baik, tapi saya berusaha menjadi baik. Yang layak menilai baik atau tidak, itu pandangan Allah. Kalau kita sendiri berusaha jadi baik, Allah akan titipkan insan-insan yang baik mengelilingi kita. Ya. Saya sudah cuba. Percayalah. Pengalaman duduk sehalaqah dengan murabbi tersayang walau hanya sempat dua kali sahaja, sudah menginsafkan. Tambah lagi dengan kenangan duduk di rumah sewa dan di kelilingi calon bidadari syurga pada semester pendek yang lalu, benar-benar menguatkan diri sendiri untuk berubah. Berubah ke arah syurga, bukan neraka. Ingat, hidup ini hanya ada dua pilihan. Kiri atau kanan. Baik atau jahat. Syurga atau neraka. Tiada tengah-tengah antara keduanya. Tiada tengah-tengah antara syurga dan neraka.

p/s : Saya fikir tadi, entri ini pendek. Hanya sekerat dua sahaja. Maaflah, membebel jadi panjang pula.

p/s lagi : Saat bertemu dua mata dengan si jahiliyah, bisikkan di hati mu, "Aku tidak tahu bagaimana pengakhiran dia dan diriku. Mungkin sahaja dia lebih baik dari ku di hujung nyawa nanti."

p/s lagi sekali : Berkasih-sayanglah sesama kita. Jangan pandang rendah dan berat sebelah pada si jahil agama. Dia juga manusia.

4 comments:

MyIlham.com said...

terima kasih.

tazkirah yg ringkas tapi bermakna :)

nusrah said...

@MyIlham.com

Jazakillah bro for being here.. :)

Wan Pai said...

Walau sudah diberi hidayah, juga masih perlu ada tekad, baru mampu berubah.

nusrah said...

@Wan Pai

yup2..totally agree. once dah dapat, terus grab. Terus buka langkah, step by step berubah.

Jazakallah bro for being here.