12 April 2011

Apabila insan melihat dunia ini dari dimensi akhirat


Assalamualaikum warahmatullah..
Semoga sesiapa sahaja yang sudi membaca di ruang ini mendapat manfaat, insyaAllah ;)

Sepi. Ruang ini dibiarkan bernafas sendiri. Terlalu banyak keperitan dalam hati. Perit yang tidak mampu diluah. Perit yang tidak mampu ditelan juga. Lalu harus bagaimana? Tidak pernah mahu menagih simpati. Sudah dididik sejak kecil supaya pandai berdikari. Sudah dididik sejak kecil supaya pergantungan hidup itu selayaknya pada Ilahi. Sudah berusaha lalu tawakal pula yang akan menyusul. Itu pesan ummi sewaktu kecil-kecil dahulu.

Eh, anda tahu yang sabar manusia itu ada batasnya? Sabar manusia biasa itu pun ada batas kamu tahu? Bukan pohon kecil sahaja yang ada batas. Jika anda tidak pandai menilai rapuhnya sekeping hati, mesti anda tidak tahu sabar itu pun ada batasnya. Berkali-kali cuba disekat air mata. Jangan sesekali berderai depan ummi. Kalau ummi dapat mengesan air mata ini pernah mengalir di pipi, tentu bertambah-tambah gundah di hati.

Anak ummi dan ayah yang kuat merajuk dahulu, sudah besar tahu. Sudah besar. Tidak mahu dilayan rajuknya itu. Anak ummi dan ayah ini sudah tahu hitam putih. Anak ummi dan ayah ini sudah hadam perit jerih. Jangan sesekali ada yang berani menginjak-injak maruah keluarga kami. Jangan berani lagi tabur fitnah. Jangan fikir si kenit ini berjiwa mentah. Si kenit ini sudah faham erti susah. Erti susah sara hidup.

Jika saya di tempat ayah, tentu hati saya turut gundah. Jika saya di tempat ummi, tentu saya belajar betapa tinggi nilai setia pada suami. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul. Jika anda tahu betapa peritnya ayah mencari rezeki dengan kudrat sebelah tangan, siang dan malam, mesti anda tidak berani mengata keluarga kami. Saya ulang, kudrat sebelah tangan. Oh, mungkin anda lupa ayah seorang OKU atau anda mahu diertikan OKU itu dengan Orang Kuat Usaha.

Jika anda tahu betapa lelahnya ummi membantu ayah mencari rezeki setiap hari, mesti anda tidak berani meminta-minta dengan keluarga kami. Sudah mengata, wang pula mahu diminta. Anda fikir keluarga ini terlalu kaya, hanya kerana berkereta dua? Anda fikir kami senang, kerana tidak sehelai sepinggang? Kereta dua itu setelah kami berpuluh tahun tahan sabar duduk dalam satu kereta. Sempit dan bersesak-sesak. Tidak sehelai sepinggang itu kerana ummi dan ayah tidak pernah mengajar kami hidup bersenang-senang. Mahukan sesuatu yang hebat, usaha kena seimbang.

Ayah : Kita bukan orang senang. Duit itu jangan diguna sewenang-wenang.
Ummi : Kita hidup jangan berhutang. Jangan fikir berhutang hidup jadi senang, mati nanti bukan boleh bawa wang.
Ayah : Biar kita tidak kaya harta, asal kita kaya budi bahasa.
Ummi : Anak-anak ummi bukan dididik untuk kaya dengan harta kelak, tapi dididik untuk kaya dengan akhlak.
Ayah : Biar apa orang mahu kata, yang penting jangan keluarga kita yang ada sengketa.
Ummi : Kalau ummi dan ayah tidak wujud lagi di dunia, janji ikatan ini kekal sampai syurga.

Anda lihat. Eh, mana mungkin anda bisa lihat. Begitu sekali ummi dan ayah didik kami berempat. Itu sebab si kenit ini perit bila maruah keluarga bagai dilipat-lipat. Itu sebab ikatan kekeluargaan kami cukup kuat. Memang anda selalu lihat kami ceria. Kerana kami telah dididik untuk melihat hidup ini bukan dari dimensi dunia. Kami telah dididik melihat hidup ini dari dimensi akhirat.

(Apabila insan melihat dunia ini dari dimensi akhirat, dia akan merasakan dunia ini sangat kecil - Dr. Maza)

p/s : Berkali-kali cubaan mengeluarkan entri ini dibuat, baru ini hati cukup kuat. Cukup kuat untuk tidak mengalirkan air mata lagi. 'Anda' ialah bukan anda wahai pembaca. Tidak perlu dibilang siapa 'anda', kerana entri ini hanya untuk pengajaran buat yang sudi membaca. Terima kasih.

6 comments:

safurara said...

hmm betol tu dik.dunia dan akhirat kena seimbang.

Anonymous said...

T_T sabar menempuh segalanya ya ukht..sama2 kita :)

khalila ishak said...

angah berdua memang tabah. sekadar melihat pun saya tahu. ^_^ ketabahan mereka pastinya kekuatan saudaraku berempat ^_^

nusrah said...

@rara pink mafia
terima kasih sudi komen di kotak kecil ini..

semoga awak dapat manfaat dari halaman ini :)

nusrah said...

@Nazihah
Anda rajin komen di kotak kecil saya. terima kasih atas kata-kata semangat :)

nusrah said...

@K.h.a.l.i.l.a.
rajin akak komen di kotak kecil ini.
terima kasih atas kata-kata semangat.

*big hug full of love from me ;)