09 April 2018

Surat Untuk Hati Baru

bismillahirrahmanirrahim

Mendepani waktu-waktu yang mana aku tidak lagi rancak menulis di ruang ini. Bermula dengan kesibukan sambung belajar pada 5 tahun lalu hingga ke waktu bertugas di yayasan masjid. Kotak masa mengingatkan aku pada saat ayah jatuh sakit, urusan master tergantung dek kerap ulang-alik hospital, bekerja sementara untuk tampung wang belajar hingga ke tahap melalui fasa patah hati. Perit betul patah hati dengan orang yang kita sudah tanam rasa percaya dalam-dalam. Entah macam mana hati kebal aku boleh lembut perlahan-lahan bila melihat lelaki yang bersungguh-sungguh santuni kedua-dua orang tua aku.

Terima kasih 'laki-laki lama'. Tidak aku memanggilnya kekasih lama kerana kami sememangnya tidak berkasih-sayang dalam tempoh perkenalan, cuma aku meletakkan rasa percaya pada dirinya bahawa dia bakal menjaga aku dengan izin ayah dan ibu. Terima kasih berlalu pergi supaya aku belajar mencantum hati baru. Terima kasih mengajar aku untuk berani mengatakan tidak pada ketidakjujuran dan ya pada kesetiaan. Patah hati jugalah buat aku nekad pergi sejauh ini merantau  cari rezeki di negeri orang.

Untuk yang tertanya-tanya ke mana hilangnya tulisan aku 2 tahun kebelakangan, maka itu sahaja jawapannya. Tidak lebih, tidak juga kurang. Walau kadang-kadang rasa ironi bila kita jadi tempat rujuk utama kawan-kawan yang patah hati dan kita juga lah kemudian Tuhan uji dengan dugaan yang sama. Soalan-soalan 'kenapa' yang aku lontarkan pada Tuhan dulu sedikit demi sedikit terjawab. Jangan risau, sudah lama jiwa ini aku kunci rapat. Luka lama sudah sembuh ditelan waktu. Klise tapi betul sungguh bila orang putih kata time is healing. Tulisan yang bakal aku catat dari sekarang adalah seputar kisah anak-anak yang aku didik di sini. Harap niat yang bawa aku merantau ke sini tetap kekal untuk Tuhan semata-mata.

Rasa janggal betul bila kembali menulis di sini kerana rata-rata kawan seangkatan lebih kerap menulis di Facebook dan Instagram (haha, old school sungguh aku!). Untuk teman-teman yang masih merangkak cari cahaya pulang (baca : move on), moga kata-kata ini membantu.

"Allah is moulding you, shaping you and trainining you to become this person that you are born to be, He is getting you ready for something. If all of us can sit down for a moment and trace back our own lives, I think our hearts would melt by just recognizing how much Allah has taken care of us." - Aida Azlin.

Pulanglah jiwa yang merindu, Tuhanmu telah lama menunggu.


5.45, Negeri Puteri Santubong

No comments: