15 September 2015

Selamat Hari Malaysia, kawan.

Bismillahirrahmanirrahim


Tidak akan pernah dilupa bagaimana mulia Pak Cik Pemandu Bas, meraikan kami dengan berhenti benar-benar di lorong berdekatan hotel. Walhal sedia maklum peraturannya, perlu berhenti di hentian tersedia. "Angpa turun la sini, little india kat area sini ja." Mulianya tidak akan pernah dilupa.

Akan selalu diingat ramah-tamah pasangan India muda yang tidak kisah menawarkan tempat duduk berdekatan, di celah-celah kesesakan ruang makan Kapitan. Malah tanpa teragak-agak bantu kami memanggil ane Kapitan, supaya pesanan kami segera diambil. Ramahnya akan selalu diingat.

Akan terus dikenang betapa prihatin Wanita Cina pertengahan 30-an, menemani kami hingga ke tepi bangunan hotel. Semuanya gara-gara insiden seorang lelaki mencurigakan. "Ya, saya nampak kamu berdua diperhatikan sejak tadi." Keprihatinannya akan terus dikenang.

Tidak akan pernah dilupa dan akan terus dikenang, walau kesemuanya cuma berlaku dalam malam yang sama. Jika dengan satu malam sudah mampu merasa betapa harmoninya kita, mengapa perlu bazir bertahun-tahun terus menebar sangka-sangka dan caci-nista? Selamat Hari Malaysia, kawan. Berdamailah, bumi kita sudah hilang rasa manisnya.



Memori Penang,
30 Ogos 2015.



No comments: