06 August 2015

“I will continue my path, but I will keep a memory always.” ― Rosie Thomas

Bismillahirrahmanirrahim

2 purnama yang sempurna. Penuh dengan asam garam dan warna. Aku kira bahawa diri sendiri benar-benar mencintai momen. Walau seteruk mana situasi atau seranap mana hati, tetap sahaja menghargai sisa nyawa yang ada di sini.

Rumah sewa aku sekarang tidak sebaik mana kondisinya. Habuk memenuhi ruang kiri dan kanan. Untung-untung dijumpakan dengan si tikus yang riang menyelongkar sisa makanan. Namun tetap sahaja bakal merindui saat menonton televisyen dengan Ju usai pulang terawikh, meski cuma melalui televisyen kecil dan siaran yang kadang-kadang dhaif jika antena tidak diperbetul. Terima kasih Ju, menjadi kawan serumah yang mulia dan sekepala.

Aku masih ingat kawan aku pesan, "Beb, kalau kau dah tak tahan, balik kerja asyik merungut, hasil kerja pun macam tak dihargai, baik kau undur diri dan blah. Aku tau, mana ada kerja yang senang dalam dunia, tapi kalau kau merungut hari-hari rezeki pun lari-lari sebab hilang berkat." Barangkali kawan baik yang bukan jenis kawan tikam belakang memang sebegitu, jujur semampunya. Terima kasih Yan.

Keputusan berani untuk undur diri dalam tempoh percubaan, buat aku tersedar betapa aku sudah beralih dari fasa 'kanak-kanak riang' ke fasa 'seorang wanita'. Makin dewasa, aku makin kenal manusia mana yang perlu dihargai sebagai kawan dan manusia mana yang patut ditinggalkan. Aku fikir dengan cara sedemikian, hidup kita lebih mempunyai arah tuju dan tak dicemari dengan perasaan dendam.

Jangan dikira berapa banyak pahit yang terpaksa kita telan sepanjang meniti pengalaman. Bagi aku masuk dengan aman, keluarnya juga dengan cara aman. Berhenti dengan tenang dan sempurnakan tugasan sebaiknya sebelum tarikh akhir adalah jalan paling adil. Adil untuk diri sendiri dan sekeliling.

Terima kasih Noris dan Balqis. Tidak pernah terfikir akan jumpa teman sejiwa di tempat yang benar-benar dirasakan asing. Noris, status anak kedua mungkin menjadi tiket besar kenapa kita boleh berkongsi rasa. Sejiwa dalam banyak hal, meski selalunya ia tercantum dalam perkara-perkara yang kecil. Menggemari kuih burger malaysia hasil air tangan Cik Jah misalnya. Balqis, tetap kita akan sama-sama mengenang betapa kita selalu sahaja memberontak dalam diam, saat minum petang di pantri dengan berbekalkan ketulan dimsum, sama-sama berkongsi cerita ketika pulang menaiki bas lewat malam dan tentu sahaja tentang tragedi saf angker (hahaha!). Langsung tidak pernah merasakan bahawa Balqis seorang adik walhal perbezaan umur kita hampir 5 tahun. Terima kasih teman dunia akhirat.

Benar kata bijak pandai, pengalaman akan memang mematangkan. Ya, bunyi klise namun itulah yang sungguh mengkayakan jiwa dengan ketenangan. 


10 Ramadhan 1436H
Taman Koperasi Polis, Batu Caves.
Ya, tulisan sebulan lalu yang dimuatkan dalam ruang memo telefon genggam.

1 comment:

Anonymous said...

amboi, burger tangan Cik Jah yang tak tahan tu. hihi
keep your head up high, big girl!

awaa tak rindu ke momen bergelak dalam kereta sambil kunyah mentos?
eeeeeeeee, bisingnyalah time tu! haha XD

i miss u, soul sistah.
take care.