15 February 2014

Gerabak

Bismillahirrahmanirrahim

6.54 petang. Stesen Shah Alam.

Lena aku sepenuhnya terganggu bila ada seorang lelaki yang sihat berakal duduk setentang. Mungkin perlu disekolahkan semula, belajar abc dan mengeja 'k.o.c. w.a.n.i.t.a' -- satu persatu sampai padu. Ironinya, masuk sekumpulan yang lain dengan anak kecil berada pada posisi paling depan menjerit, "ladies, apa lah!" seraya tangan menunjuk penanda 'koc wanita' kepada lelaki di belakangnya. Mungkin si ayah kepada anak kecil. Si ayah melajukan langkah menurut gerak kaki 'pemimpin' di depannya.

Yang dewasa seperti perlu disekolahkan semula, yang baru kenal dunia perlu kekal ditanam akhlak mulia.


7.14 petang. Stesen Subang Jaya.

Langkah sudah dipadu. Laju. Takdir Tuhan mengatasi kudrat manusia. Lariannya ke pintu koc biasa terhenti. Penggera berbunyi dan pintu terkatup rapat. Dia mungkin sempat jika ikut masuk di pintu koc wanita yang memang tertegak di depannya dan segera mengalihkan langkahnya ke koc biasa sebaik sahaja bila selamat meloloskan diri ke dalam gerabak.

Aku sering tertanya-tanya, adakah manusia lain punya rasa yang sama dengan apa yang aku rasa? Rasa ditinggalkan dan meninggalkan. Ditinggalkan dan meninggalkan 'gerabak'.


7.29 malam. Stesen Pantai Dalam

Posisi tingkap masih sama. Cuma apa yang aku pandang setiap saat pasti berbeza. Dari rimbunan hijau ke susunan hutan bata. Dari langit cerah bertukar senja nan merah. Setiapnya memapar biasan hidup berlainan warna. Ruang tingkap yang sama, pemandangan berbeza-beza dan satu titik destinasi tempat berhenti.

Bagaimana sebenarnya aku memandang ruang tingkap hidup aku? Bagaimana sebenarnya aku telah mengisi perjalanan aku? Diam.


2 comments:

Faaeinz said...

Sama juga. Tertanya-tanya apa saja yang telah dilakukan sepanjang hidup ini. Banyak kebaikan atau keburukan. T__T

Anonymous said...

akak.

allahuakbar.!

astaghfirullahalazim

jzkk!