31 January 2014

Surat untuk Bunga

Bismillahirrahmanirrahim

[Ini untuk bunga. Aku petik dari sini]


Hari-hari lalu

Aku masih sama. Pergi kerja jam 8 pagi, dan pulang lebih kurang 5.45 petang. Kadang-kadang bila angin malas aku datang, aku tarik selimut mogok tidak mahu ke tempat kerja dan natijahnya aku sampai pejabat kurang 10 minit lagi jam melurus ke waktu kritikal. Kalau tiba-tiba pagi itu datang segala keturunan rajin, aku akan bawa komputer riba peribadi dengan harapan aku akan terus ke perpustakaan membelek tesis-tesis selepas pulang kerja nanti.

Aku masih sama. Mungkin juga lebih kurang kamu. Malah hidup aku lebih haru-biru. Apa kau masih ingat ini? Pernah dompet tertinggal bila lagi dua tiga stesen mahu sampai destinasi sepatutnya dan kekal sehari suntuk tidak berwang melain yang ada not kertas terselit tepi poket beg. Entah bila aku ronyok di situ dan teman sebilik hulur duit dengan senyum menguntum. Pernah juga terkunci sendiri saat aku begitu bijak memasukkan kesemua kunci dan barang penting ke dalam kotak belakang motosikal. Aku hanya mampu duduk termenung tepi wakaf kolej dan bermain-main dengan dua ekor arnab sambil tunggu teman sebilik balik bagi mendapatkan kunci pendua. Kertas cadangan tesis ditolak hampir 6 kali dan aku seperti tak ternampak jalan bila sukar ditemukan pembantu penyelia yang sudi beri kerjasama. Punya rakan sekerja yang terlebih mengambil berat sampai aku sering ditanya-tanya sama ada mahu ke perpustakaan untuk menyelesaikan tesis sendiri atau kertas kerja pensyarah. 

Ya, hidup aku penuh tercalit warna. Kau pula bagaimana bunga?

Kelmarin

Seharian aku mengadap segala jenis rujukan ; mu'jam al-mustalahat wa al-alfaz al-fiqhiyyah; tafsir sya'rawi; tafsir ayat al-ribaa; tafsir al-tabari dan aku tenggelam sendiri sampai pada satu titik aku tak tertemukan jawapan. Aku cuma tulis apa yang Tuhan bisikkan. Aku taip segala apa yang Tuhan lorongkan. Hakikatnya dalam ruang minda aku kosong, tak tertangkap satu pun. Aku noktahkan ayat dengan segala keserabutan di kepala. Diam.

Semalam

Aku rasa akulah orang yang paling gembira bila melihat komputer riba sudah terisi khidmat anti-virus hingga aku tak tersedar yang sesetengah dokumen penting aku termusnah dek kemasukan anti-virus baru. Bunga, kau masih ingat lagi kelmarin aku taip ayat-ayat dengan minda kosong? Ya, dokumen tersebut hilang. Saat itu aku terkenang yang aku perlu cari semula kitab-kitab penting, terjemah satu-satu isi kandungan yang wajib diambil dan cuba fahamkan walau selalu amat aku tersangkut-sangkut. Wallahi, bila rasa serabut datang aku akan terus minta-minta dengan Tuhan moga diputusnyawakan bawah timbunan kitab. Aku berangan mati syahid.

Hari ini

Aku masih sama bunga. Aku sentiasa berlari dengan mimpi-mimpi. Aku berlari dari bayang ngeri semalam. Bila jatuh, aku bangkit dari luka berdarah. Terkadang aku terimun berlari seorang diri. Aku bahagia dalam dunia aku sendiri tanpa perlu menyusahkan orang lain. (Oh, sebenarnya aku yang suka perasan sendiri bunga!) Orang kata aku kuat, bunga. Hari-hari aku bisa menghambur tawa. Sebenarnya aku lah paling lemah. Aku cuma tak suka terlihat lemah dan cengeng dengan air mata. Susah perit aku, ada lagi yang jauh lebih parah. Aku akan mengemis-ngemis dengan Tuhan, "Kuatkan aku. Kuatkan aku. Kuatkan aku. Aku sebenarnya tak mampu." Sampai gebar dan telekung aku membasah lencun. Kadang-kadang bila iman aku condong, aku terhenti pada titik tanya, "Kenapa aku buat semua ini?" Dan kunci jawapannya semua tersimpan hikmah pada Tuhan.

Buat bunga yang merindu, aku tamatkan surat ini dengan senyuman. Moga kau juga tersenyum sama bila mata berhenti baca pada noktah terakhir.


6 comments:

Anonymous said...

Malas Sign In

akukah bunga, daun?
haha.

tiya, thanks so muchos for this lovely entry.

pls keep writing and updating your blog. i'm you avid reader.

seriusly!

apakena pepagi omputih tunggang terbalik ni.

miss u. take care! :)

AlFatihah Hassan said...

=) love this.

nusrah said...

:)

Anonymous said...

Knp sy menangis.. :(
teringin nk kenal dgn kak nusrah. Sy byk terinspirasi dgn tulisan akk. Dgn izin Allah.. Terus menulis kak.

nusrah said...

anon;

mungkin sebab apa yg kita rasa dan lalui hari-hari hampir sama? dan hati kita terhubung atas tujuan yg satu -- Allah.

come off as anon, and let me know you too. Maybe we can contact via fb :)

dr.adilahhebat :) said...

meski tak pernah jumpa lewat mata,
mungkin cuma melalui tulisan yang jika dilihat orang kosong.


tapi rohnya itu terasa ada,
cukup buat dekat dengan jiwa.

moga suatu hari bisa diizin Allah untuk ketemu.

:')