19 April 2013

tiga dalam satu

bismillahirrahmanirrahim

(mutiara satu - secangkir teh pengubat letih)

musafir itu ibadah

Antara signifikan dan betapa berhikmah Allah turunkan perintah haji bagi Rukun Islam kelima adalah supaya kita keluar bermusafir dari daerah masing-masing. Keluarlah bermusafir, walau hanya melangkah ke satu daerah yang lain. "Jika lahirnya di Bangi, jangan belajar di UKM", Ustaz Hasrizal mengeluarkan intonasi tegas tetapi menguntum senyum di hujung bicara, berseloroh.

Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik. [30 : 42]


[Ayuh, bermufasir. Rasakan angin baru, riang menampar halus pipi. Ehsan]

apa ada pada nama

Najmuddin Erbakan, pulangnya kepada Tuhan dalam keadaan rakyat kurang gemar dengan caranya yang cukup  lantang mengkritik anak tarbiyahnya, Tayyip Erdogan. Apalah ertinya nama dan jawatan bagi seseorang yang jiwanya berkobar-kobar ingin bertemu Tuhan. Tiada lagi dunia dikerjarkan, hanya akhirat ternampakkan. 

Erbakan adalah Ketua Parti Sa'det, bertanding dalam Pilihan Raya Turki menentang anak tarbiyahnya sendiri, Erdogan yang memimpin Parti Ak. Demi memastikan rakyat menaruh sepenuh kepercayaan  kepada Erdogan dan memberi ruang pelapis baru memegang tampuk kepimpinan, Erbakan rela namanya sedikit 'hitam'. Jiwa hamba, selamanya jiwa hamba. Jiwa murobbi, selamanya jiwa murobbi. 

prekariat 

Mereka berkata: "Wahai Zul-Qarnain, sesungguhnya kaum Ya`juj dan Ma`juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"

Ia menjawab: "(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu) oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai), aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. [18 : 94-95] 

Marilah kita mengambil ibrah dari Surah Al-Kahfi, bagaimana Zulqarnain mendidik golongan prekariat. Prekariat cukup dengan ciri sentiasa merasa dirinya terancam  kerana survival dirinya tidak kemas, mempunyai rasa kebergantungan (tidak mampu berdikari), anti kemajuan dan mesti mempunyai seseorang yang dapat memberi ketenangan kepada mereka.

Lihatlah pada ayat ke 95, bagaimana Allah mengisahkan dalam Al-Quran bahawa Zulqarnain mengambil inisiatif untuk tidak membiarkan kaum prekariat terus bergantung kepada seseorang yang bisa membuat mereka tenang. Zulqarnain mengajak mereka untuk turut sama membina tembok yang kukuh.

Hati-hati teman, besar kemungkinan kita adalah prekariat yang semakin melebar di tanah air kita sendiri. Kita perlu satu memontum perubahan untuk mencorak warna baru pada tampuk kepimpinan di Malaysia.


(mutiara dua - konferens riang gembira kemahiran sosial)

sedar separa sedar

Kita akan merasa tertekan apabila melakukan sesuatu kerja dengan minda sedar kerana kita tidak biasa menyempurnakan kerja tersebut. Tetapi apabila kita melakukan sesuatu dengan minda separa sedar, kita tidak merasa tertekan, rasa ringan kerana kita telah terbiasa.

Contoh mudah, apabila kita mula belajar memandu kereta. Mula-mula belajar, selalu merasa letih sebab kita sedang melatih otak kita untuk membiasakan diri dengan pelajaran baru. Namun, bila sudah terbiasa, tiada lagi istilah penat yang beraja. Boleh senyum sambil melambai-lambai ke kiri kanan dengan bangga! Sengih.

Begitu juga dengan dakwah. Sedar atau tidak, kita cepat mahu mengaku lelah saat mula-mula berjinak dengan dakwah. Malah kadang-kadang rasa tertekan dengan kerja-kerja dakwah. Berbeza dengan insan-insan terpilih yang jiwanya sebati dengan tarbiyah dan dakwah, istilah rehat hanya di jannah. *Tercekik*


(mutiara tiga - reclaim your heart yasmin mogahed)

melepaskan

Kita ambil ibrah dari kisah Nabi Musa as di mana bondanya merelakan dengan hati yang penuh untuk melepaskan Nabi Musa as berlayar di sungai. Dengan izin Allah, Nabi Musa as kembali ke pangkuan bondanya saat Nabi Musa as perlu diberikan susuan.

Bila kita melepaskan sesuatu yang kita terlalu sayang kerana Allah Taala, ketahuilah Allah akan memulangkan nya semula kepada kita dengan cara paling indah. Walau mungkin dengan cara berbeza, yang pasti, pilihan Allah adalah jauh lebih cantik.

bergantung

Kita ambil ibrah dari Kisah Nabi Ibrahim as saat baginda dicampakkan ke dalam api. Nabi Ibrahim as terselamat dari jilatan api yang rakus membahang. Betapa kuat kebergantungan baginda pada Allah.

Bila kita meletakkan kebergantungan sepenuhnya pada Allah, Allah akan memberi kita jalan keluar dari lorong yang kita tidak tersangka.

sehabis daya

Kita ambil ibrah dari kisah Siti Hajar ketika dirinya dilanda kemelut mendengar tangisan si anak Ismail as yang kehausan. Berlari-lari Siti Hajar mencari sumber air. Tidak sekali-kali hilang asanya pada Tuhan, berusaha tanpa mengeluh. Adakah Siti Hajar hanya meletakkan kebergantungannya pada Allah tanpa usaha? Tidak. Kebergantungannya pada Allah kekal ada, usaha juga sehabis daya.

Meletakkan rasa tawakkal pada Allah adalah bukan sekadar pergantungan kosong. Kita orang mukmin menyandar rasa tawakkal pada Allah dengan usaha yang bersungguh.

------

Maaf atas kelewatan entri. Patutnya aku kongsikan ketika mutiara ini masih segar dalam minda. Entri panjang. Kau bahagikan entri kepada tiga tajuk kecil, boleh baca berperingkat kalau mahu. Senyum.

2 comments:

Ulfa Hisham. said...

Salam alaik ya ukhti! :D
Sy nak ke UM malam ni. Mohon bentang karpet merah. Hehe.

nusrah said...

uppaaaa ^_^
salam alayk, asif..lambat reply komen awak ni >.<
mesti prg interfaith dialog ni kan? bla lg nak mai sini? :)