08 October 2012

Izin

Bismillahirrahmanirrahim

[Tuhan, ajar aku membungakan senyum di luar pada detik genting aku hujan di dalam. Ehsan]

dan siapa sangka tentera bergajah abrahah
yang tak terfikir di minda logik manusia
terkalahkan ababil kiriman Allah

--logik, dengan izin Allah.

dan mana kau sangka
pada detik-detik sukar yang kau susur
yang tak terfikir di benak normal kau
akan ada sahaja tangan-tangan ringan terhulur

--normal, dengan izin Allah.

dan aku
bila tiba saat mulut aku terkunci hilang deria
hanya mata yang mampu meluah rasa
akan aku noktahkan pada Pencinta Agung aku;
"Tuhan, si fulan ini yang beri penawar saat aku tertusuk duri di dunia dahulu."
"Tuhan, tangan si fulan ini yang terhulur saat aku jatuh gaung di dunia dahulu."
"Tuhan, baju si fulan ini yang balut luka aku saat kaki aku darah bernanah di dunia dahulu."
"Tuhan, beratkan amal mahmudah si fulan dan si fulan. Mereka yang bantu aku saat aku sukar di dunia dahulu."

-- ternoktah, dengan izin Allah.

------

"Sebulan yang lalu. Saat aku pusing mahu tinggal di mana. Tambah lagi dengan urusan pendaftaran yang kelam-kabut, mana aku sangka Allah hantarkan insan yang penuh ihsan hatinya. Jazakillah Munirah, yang tumpangkan bilik, yang pelawa makan, yang tidak jemu mendengar. Tiada lain, saya hanya mampu menadah tangan menujah doa ke langit. Moga Allah mudahkan sentiasa urusan awak."

"Jumaat lepas. Saat aku gugup-gugup mahu jumpa pegawai agama di Jawhar (atas urusan kerja kumpulan), mana aku sangka Allah hantarkan insan yang penuh dengan sifat keibuan. Jazakillah Ustazah Hafizah di Jawhar. Saya mendoakan hidup Ustazah penuh dengan rahmat Allah, moga kita terhimpun lagi di syurga kelak"

"Pagi tadi. Saat aku tidak senang duduk menjadi mangsa sistem pendaftaran elektronik buatan manusia, mana aku sangka Allah hantarkan insan yang ringan tangannya. Sampaikan sekecil-kecil hal Puan Habibah uruskan. Kad Pengenalan Pelajar baru, Kak Bib juga yang ambilkan. Tidak perlu berurusan di kaunter utama. Jazakillah Puan Habibah di IPS. Saya mendoakan urusan Kak Bib sentiasa dimudahkan Allah, moga kita tersenyum manis saat kita bertemu lagi di syurga kelak."


------

Nota Hujung Kalam : Aku, bila orang tanya aku, "Kenapa kau tolong dia sampai macam itu sekali?" , aku hanya mampu ucap alhamdulillah. Aku pernah lalui waktu sukar dan Allah tidak pernah putus menghantar orang-orang yang jauh lebih ringan tangannya dari aku. Aku berjaya lepas waktu sukar itu. Alhamdulillah untuk insan-insan semulia itu. Alhamdulillah.


4 comments:

siskahaidan said...

:')

..بنت يوسف.. said...

nusrah tahu...?
akak selalu rindu bait2 kata yg nusrah nukilkan di laman ini.
teruskan
love ur blog so much..
:)

Anonymous said...

sebak..:')

nusrah said...

nadia:

:')

kak nurul :
Allah, kakkkkkk :')

"Bila aku membilang darjah kesyukuran aku, aku pasti menyertakan kau sekali. Alhamdulillah kerana aku selalu punya insan-insan istimewa dalam hidup aku. Tidak kira sejauh mana pun kau, hati kita sentiasa punya keterikatan antara satu sama lain. - Sister Yasmin Mogahed."

anon (siapa gerangan empunya diri?):

:')