06 October 2012

aku ulang, Tuhan.

Bismillahirrahmanirrahim

[ehsan]


dan mana satu amal
yang kau labuhkan hanya kerana Tuhan?
aku ulang, Tuhan.

apa solat dhuha yang kau olah tanpa lelah
kau pandang sebagai punca rezeki kau terlimpah
sedang tujuan asal cuma kerana Tuhan
aku ulang, Tuhan.

apa solat hajat yang kau buat tak tertinggal
kau sujudkan juga kerana hajat kau tak terkira jari
sedang tujuan asal cuma kerana Tuhan
aku ulang, Tuhan.

apa saum sunat yang kau degar-degarkan
kau usahakan juga kerana kau mahu raih maqbulnya doa
sedang tujuan asal cuma kerana Tuhan
aku ulang, Tuhan.

apa solat jemaah yang kau hadir tak terkurang
kau dirikan juga kerana kau mahu kejar yang dua puluh tujuh kali ganda
sedang tujuan asal cuma kerana Tuhan
aku ulang, Tuhan.

dan mana satu amal
yang sahih kau salurkan untuk Tuhan
aku ulang, Tuhan.

Nota Hujung Kalam : Waktu Kelas Maqasid Syariah, bila Tuan Pensyarah jelaskan beza Asliyah dan Tabi'iyah baru aku sedar sejujurnya aku selama ini beribadah kerana faktor tabi'i bukan asli. Aku buat kerana sebab luar, bukan tujuan asal. Aku bagi contoh; aku mahu solat sunat dhuha kerana aku mahu hidup aku tenang. Hidup tenang itu cuma benda sisi, bukan asal. Sedangkan yang asal itu, solat sunat dhuha hanya kerana Tuhan. Aku ulang, Tuhan.

No comments: