01 May 2012

Lagak Pelangi


Assalamualaikum warahmatullah.
Moga hati kalian terus dekat dengan Allah. Ketahuilah saat Allah mendekat, itu indah!

Ini sudah tentu bukan puisi. Juga bukan rangkaian aksara senada. Bila aku renung-renung balik, saat ada mulut-mulut mengatakan dakwah hanya bagi mereka yang belajar agama; itu salah sama sekali. Ini, pada aku lah. Tidak mahu setuju, terserah.

Aku sama sekali tidak suka bergegak-gempita mahu merobohkan pandangan dan pendirian masing-masing. Malah aku sangat menghormati jika pendirian itu berhikmah. Sewajarnya di usia aku yang sebegini, aku sudah bisa merebahkan pendirian lalang aku dahulu. Semua perkara aku tidak kaji. Pemalas! Jika ditiup ke kiri, maka aku ke kiri. Jika ditiup ke kanan, maka aku ke kanan. Hey, itu aku yang dahulu!

Patutnya dakwah itu terletak pada bahu-bahu kita yang punya agama. Pada aku sendirilah, yang pegang nama daie itu adalah setiap orang yang bergelar hamba Ar-Rahman.

Andai sahaja gelaran daie itu jadi hak eksklusif insan yang belajar agama mesti dunia dakwah kekal satu warna. Lalu yang bernama jurubina itu tidak boleh bergelar daie, yang bernama pereka grafik juga tidak boleh bergelar daie, yang bernama doktor haiwan itu juga tidak boleh bergelar daie, yang bernama tukang kayu itu juga tidak boleh bergelar daie.

Sedangkan dunia dakwah itu kan penuh dengan warna-warni. Ada hijau, merah, kuning. Lagak pelangi.

Sampai saat ini aku masih terkesan dengan kata-kata Presiden PKS Indonesia bila mana beliau diajukan soalan yang lebih kurang begini bunyi nya, "Apa bisa orang yang bergelar jurutera memegang jawatan sebagai Presiden Partai Keadilan Sejahtera?". Tenang sahaja jawapannya, " Kenapa pula tidak bisa? Sedangkan kita melalui proses tarbiyah yang sama. Kita mempelajari Al-Quran yang sama."

[Ehsan gambar.]

Walau apa pun warna pelangi yang kalian pilih, berjuanglah dengan terbaik di setiap posisi warna. Cuba bayangkan kalau warna pelangi itu kurang satu, mesti aneh kan? Maka, rapatkan saf-saf pelangi kita kembali. Moga kita mampu membiaskan ketujuh-tujuh warna pelangi dengan indah sekali.

Berlapang dada lah dengan setiap perbezaan pendapat. Saya yakin kita akan kembali berpadu memegang panji yang sama kelak. Kita akan berdiri di garisan yang sama. Masa itu akan tiba juga nanti, percayalah.


Nota Hujung Kalam : Kalau Sultan Muhammad Al-Fateh sudah bisa menakluki Kota Konstantinopel pada usia 21 tahun, langsung aku yang sudah jejak 23 tahun ini? Tepuk dahi.


2 comments:

syafa mohamed said...

syafa pun dah 21 akak.

cita-cita tinggi sgt,nak takluk jepun,sikit,sikit>.<"

yosh2..akak jgn lupa selitkan nama syafa dalam doa,hari-hari tahu:D

nusrah said...

yosh2.. insyaAllah syafa.
Negara matahari terbit itu bisa kau takluki dan perangi dengan dakwah kasih sayang. biiznillah.

hey, mesti! Nama syafa selalu sahaja dikirim ke langit. Terus bertemu Pemilik Cinta kita yang di atas sana, insyaAllah moga doanya sampai.

Doakan akak juga ya :')