06 February 2012

Bila Tersepit Antara Dua, Lalu Harus Bagaimana?

Assalamualaikum warahmatullah..
Moga sesiapa sahaja yang membaca tinta ini, cintanya semakin bertambah kepada Allah.

Tarik nafas dalam-dalam dan cuba hembus perlahan. Rasa sesak yang tidak mampu diluahkan. Senyum tawar. Begini kah rasanya bila sudah mengecewakan hati seseorang? Atau saya sahaja yang terlalu kuat berfikir sampai pandangan berbalam-balam. Mungkin ini satu kelemahan yang perlu dipadam, terlalu asyik berfikir luar alam.

Jujur, untuk membuatkan hati seseorang itu kecewa terlalu perit kerana saya tahu betapa peritnya rasa bila saya sendiri ditempatkan dalam rencah kecewa.(Saya tahu ayat ini terlalu abstrak dan berselirat. Jika tidak faham, abaikan sahaja dan diam.)

Cuba membetulkan duduk. Berada dalam satu situasi ; antara perlu memikirkan keselamatan diri sendiri atau terpaksa mengecewakan seseorang atas sebab tidak dapat menghadirkan diri, benar-benar membuatkan diri ini tersepit. Jauh di sudut hati memang sudah merancang mahu ke kelas fotografi itu memandangkan ini sahaja waktu lapang yang ada, masih lagi berbaki cuti semester. Kalau buka semester baru nanti, mahu patah kaki menyiapkan Projek Tahun Akhir. Malah yuran deposit sudah dibayar. Kalau saya tidak bersungguh juga, mana mungkin sampai bertanya arah jalan dan menyelongkar peta di medan Google.

Tapi bila berkira-kira yang saya akan redah jalan-jalan baru yang tidak pernah saya jejaki seorang diri. Tambah lagi dengan hanya duduk berdua-duaan sahaja dengan pemandu teksi (yang bukan mahram) meredah jalan-jalan yang tidak pernah dijejaki tadi. Saya ulang, hanya saya berdua sahaja dengan pemandu teksi yang semestinya bukan mahram (kerana kebarangkalian untuk saya mendapatkan pemandu teksi wanita amatlah tipis). Oh, tidak mungkin!

Itu belum campur aduk sekali dengan kenyataan seorang teman yang menyatakan bahawa harga teksi di kawasan itu tidak bergantung pada meter. Ia bergantung pada kehendak pemandu. Boleh ditimbang bukan, seberat mana keselamatan saya terjaga? Di mana usaha saya untuk memelihara ikhtilat dan keselamatan saya sendiri?

Maafkan saya wahai kakak penganjur. Saya tahu saya telah meletakkan diri kakak penganjur dalam rasa kecewa. Jika saya menerangkan hal sedalam ini pada kakak penganjur, hatta sampai ke ikhtilat segala, saya yakin dan pasti yang kakak penganjur akan kurang memahami dan menyatakan bahawa alasan saya terlalu banyak.

Sudahnya, saya hanya memohon kemaafan dan menerangkan bahawa saya ada beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Saya cuba berhelah. Hanya mengungkapkan yang dasar tanpa perlu berbicara panjang lebar. Saya tahu kakak penganjur sedikit kecewa bila ada peserta yang menarik diri di waktu lagi dua tiga hari ke tarikh kejadian. (Boleh baca mana-mana rujukan tentang maksud berhelah yang sebenar. Helah ini sama sekali berbeza dengan menipu.)

Saya bukanlah orang yang ingin tergolong dalam senarai insan-insan munafik yang bila mana dia ingin berjanji, lalu dia akan mungkiri. Nauzubillah. Saya cuba menimbang secara waras antara mengorbankan keselamatan diri sendiri atau terpaksa menelan kekecewaan insan lain. Allahu Rabbi, hanya Engkau yang Maha Mengetahui segala yang tersurat dan tersirat. Wahai Pemilik Ketenangan, tenangkanlah hati hambaMu yang gundah-gulana ini.

[Jangan risau wahai hati, semuanya akan baik-baik sahaja. Biiznillah. Penghargaan gambar di sini.]


"Tiadalah pengorbanan kita itu dapat dinilai oleh manusia,dan tiadalah kebaikan kita itu dapat dihitung oleh mereka. Kerana itu kita berkorban dan melakukan kebaikan hanya kerana Allah semata-mata. Kerna Dia sahajalah yang dapat menilai dan menghitung semua itu seadil-adilNya. - Hilal Asyraf Official."


p/s : Sudah lama tidak memuntahkan entri yang sepanjang lebar ini. Maaf, jika ada yang sampai loya melunaskan bacaan sampai ke hujung. Moga dapat ambil ibrah.

No comments: