31 January 2012

Allah.. Jauhkan Mereka Dari Api Neraka.

Assalamualaikum warahmatullah.
Moga kalian terus dalam rahmat Allah yang luas itu.

Sudah genap seminggu di rumah. Hari-hari cuba mengutip pahala dengan memandang wajah ayah dan ummi. Pandangan kasih sayang. Walau kadang-kadang saya hanya bisa pandang curi-curi. Untuk menatap garis-garis halus di muka ayah dan ummi secara langsung memang tidak mampu rasanya. Pasti akan emosi sendiri. Selalu ada genangan air di bebola mata. Terlalu banyak usia mereka dikorbankan untuk mendidik kami berempat.

Ibu bapa mana yang mahu mendidik anak mereka ke arah kegagalan? Malah lebih teruk, ke arah lubang neraka. Melihat status kakak sepupu semalam, saya tahu hatinya gusar tersilap langkah mendidik kedua-dua puterinya. Risau puteri-puteri itu tidak mampu menutup aurat dengan sempurna bila dewasa kelak. Tambah lagi dengan kedatangan meriah fesyen-fesyen yang tidak mengikut syariat.

Kadang-kadang hati sendiri yang tidak keruan. Berjaya atau tidak menjadi anak solehah. Anak yang mampu menutup aurat dengan sempurna. Anak yang hari-hari menyenangkan hati ummi dan ayah. Anak yang hari-hari mengirimkan saham akhirat untuk ummi dan ayah. Anak yang hari-hari hidupnya dalam redha Allah. Hidup dalam redha Allah maknanya redha ummi dan ayah mengiringi sekali.

"Ketika hayatnya sebagai anak, dia membuka pintu syurga untuk ayahnya. Ketika hayatnya sebagai seorang isteri, dia menyempurnakan agama suaminya. Ketika hayatnya sebagai seorang ibu, syurga di bawah telapak kakinya. Jika setiap orang tahu status sebagai seorang wanita dalam Islam, mesti lelaki juga mahu menjadi wanita. - Sheikh Akram Nadawi"


"Nabi S.A.W bersabda maksudnya: “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah
segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang 
dimanfaatkan daripadanya dan doa anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”
(Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)

[Ummi dan ayah, bantu anakmu jadi anak yang solehah. Allah, jauhkan ummi dan ayah dari jurang neraka. Pimpin hati kami semua ke arah cintaMu  - Penghargaan gambar di sini.]




No comments: