Kipas putar ligat. Semacam mahu
terbang semua isi bilik. Lampu tidur masih menyala. Jersi hijau pucuk pisang
terselit tepi kerusi. Atas kerusi penuh dengan longgokan menara baju. Baju
bersih. Mungkin juga kotor. Bersih dan kotor bercampur. Titik. Deretan kayu
hoki senget-senget. Tiada sandaran kukuh. Sekadar menyendeng tepi kerusi yang
dihiasi menara baju kotor bersih tadi. Ada dalam dua hingga tiga batang. Kalau
ada lebih, mungkin tersadai di balik arca baju tidak bernama itu. Serabut!
“Buzz.”
Tiada sahutan. Makhluk di atas katil
itu masih pegun. Tidak bergerak. Yang dengar cuma deruan nafas. Lebih tepat,
bunyi dengkuran.
“Buzz, bangun subuh.”
Senyap lagi. Lampu utama sudah
menyala. Laju tangan itu melipat selimut yang bergumpal atas katil. Cadar
ditarik-tarik bagi tegang. Hujung tilam dibetulkan sedikit.
“Buzz matahari nak terkeluar dah
ni.”
Garu kepala. Separa putus asa. Susahnya
makhluk ini mahu bangun subuh. Mengalahkan adik bongsu di rumah. Kipas pula
dimatikan.
“Agak-agak la bro. Gua panas kot.”
Belum lagi kipas itu habis berputar,
satu suara sudah keluar. Kali ini tiada lagi dengkuran. Hati menggeletek riang.
Berjaya! Makhluk itu sudah bangkit dari lena.
“Bangun la. Amik air wudhu’. Nanti
sejuk sikit.”
“Gua nak bangun la ni.”
“Cepat Buzz. Subuh dinosaur nanti.”
Buzz merengus geram. Tidur
nyenyaknya diganggu. Hakimi faham. Dia juga dahulu liat mahu bangun subuh.
Sampai ummi terpaksa renjis muka dengan air, baru itu dia bangkit. Tapi kalau
tidak dibiasakan, nanti melarat. Sampai ke tua tidak solat. Mahu bangun subuh pun
rasa liat.
Kini ada lagi setengah jam sebelum
pukul tujuh. Hening pagi. Masih ada waktu subuh. Satu sejadah dibentang
melintang. Boleh muat dua kepala. Kimi duduk seperti tingkah duduk antara dua
sujud. Menunggu teman sebilik yang belum tiba dari bilik air. Mulutnya dibasahi
alunan zikir. Bunyi selipar berdesir percikan air. Bazli jalan malas. Pintu
bilik sudah dikuak.
“Jom solat sama Buzz.”
“Hmm. Lu la imam.”
“Kau iqamat.”
“Menatang apa tu?!”
“Takpe. Aku buat.”
Hakimi
senyum nipis. Kepala angguk sedikit. Hati semacam membisikkan sesuatu. Ini
dakwah namanya. Baru permulaan yang sedikit. Kalau kereta, enjin pun tidak
panas lagi kerana masih baru dihidupkan. Tangan terus angkat takbir. Solat
subuh berjemaah didirikan. Tidak mengapa rasanya sementara ini solat jemaah subuh
di bilik. Daripada membiarkan teman sebilik tidak bangkit subuh. Kelak di
akhirat Allah akan tanya sampai ke akar umbi. Mana peranan sendiri untuk
mengajak teman sebilik ke arah syurga Ilahi.
Bila
Buzz sudah biasa bangun pada awal waktu nanti, dia akan kembali kepada rutin
dahulu. Berjemaah di masjid atau mana-mana surau berdekatan kolej. Mungkin
perginya nanti tidak bersendirian lagi. Hakimi yakin Bazli akan bisa
mengikutnya bersama-sama menegakkan tiang agama secara berjemaah. Tanpa sedar,
di sebelah kanan saf Buzz masih lagi garu kepala. Tidak gatal pun sebenarnya. Terpinga-pinga
mencari makna. Iqamat pun ada dalam dunia? Soalan itu tergantung di situ. Surah al-Fatihah bergema di segenap ruang kamar lantas mematikan lamunan si makmum.
[Bila ukhuwah kerana Allah, hilang semua susah. Hati tenang mengganti yang resah. Penghargaan gambar di sini.] |
4 comments:
Assalamualaikum nusrah :)
hee.datang baca lagi blog awak ^_^
sukaa sgt jenis penulisan mcm ni,tp sy tak reti nk mnulis cerita :(
teruskan ye nusrah,sebarkan manfaat kepada ummah.
mukmin itu seperti hujan,di mana ia turun,di situ ia mendatangkan manfaatnya .insyaAllah.
moga Allah redha :)
<3 ,
syafiqah.
wah... nusrah buat cerpen.. tulislah lagi.. nak baca.. teringin nak mengarang.. tapi ceritanya nanti jadi ntah apa2 je nanti.. huhu..
@Qauthar
wsalam w.b.t syafiqah..
Jazakillah for being here. Terharu pula ad org baca mende alah nih.
(>.<)
@Faaein Talip Roy
haha..sis faein..ini saja2 je, nama pun karya tangkap muat..
insyaAllah, klu rajin nanti buat lg.. ;)
Post a Comment