03 August 2011

Jangan Kata Orang, Anak Kau Pun Lebih Kurang.



Assalamualaikum warahmatullah..
Tidak pernah lupa mendoakan kalian sentiasa dalam rahmat Allah.

Alhamdulillah. Senyum. Lega hari ini. Cergas sedikit. Entah kenapa semalam bagai ditiup angin tidur. Macam membuta itu lebih seronok dari mengaji. Walhal baru hari kedua berpuasa. Mahu saja ditampal mata dengan mana-mana pita selofan yang wujud di rumah ini. Sengih. Terima kasih atas pandangan yang dikongsi di entri isu kahwin muda ini [link]. Berdoa yang terbaik untuk Fahimah. Moga Allah beri jalan keluar untuknya, tahu dia seakan buntu.

Sesi tadarus di masjid pagi tadi, benar-benar menginsafkan saya. Setiap muka yang dibaca, ada sahaja ayat yang ditadabbur bersama. Semuanya kena pada diri. Kena pada situasi sekeliling. Ada kesempatan bertadarus, itu cukup nikmat bagi saya. Walau kadang-kadang bagai mahu sorokkan muka dalam jubah bila golongan ibu-ibu yang usianya lebih kurang sebaya dengan ummi mula bertanya saya anak siapa. Masakan tidak hanya saya seorang yang bujang senang di situ. Mujur ummi ada, kurang sedikit rasa segan. Setiap kali disapa soalan begitu, ummi tolong jawabkan. Mungkin kita kena ubah persepsi, majlis tadarus di kampung-kampung hanya sesuai untuk golongan veteran. Senyum.

Bila sesi tadarus bertukar menjadi sesi soal jawab dan tanya menanya, satu persatu jawapan yang diulas ustazah bagai batu besar yang menghantuk kepala sendiri. Semuanya gara-gara soalan yang diaju oleh ibu bertudung kelabu itu. Bagaimana mahu tegur orang dengan berhikmah ustazah, kalau ditegur nanti anak kita pula dituju.

[Dalam menegur orang pun ada adabnya. Kenalah berhikmah. Kalau tidak, mahu dibuatnya orang takut dengan Islam. Penghargaan gambar di sini.]

A : B, kau tegurlah anak dara kau yang seorang itu. Ke hulu ke hilir dengan rambut gaya lepas bebas (sila baca : free hair).
B : Eh, bukan anak aku sahaja yang dengan rambut gaya lepas bebas. Anak C dekat hujung kampung itu. Anak D depan rumah aku. Anak E, anak F (dan segala macam anak huruf yang ada dalam senarai aksara).
A : Kita pandang anak kita dahulu, jangan tuding jari dekat anak orang.
B : Kau jangan pandai cakap A, nanti anak kau macam mana entah. Entah-entah lagi teruk dari anak aku. Kalau ya anak kau baik, nanti cucu cicit keturunan kau pula macam mana?
A : Nanti kalau ada yang tidak kena dengan anak aku, kau pula yang tegur begini. Baru lah masyarakat Islam namanya. Aku tegur kau, kau tegur aku.
B : Alahai. Cakap memang senang. Tak perlu kau bersusah-payah mahu peduli hal aku. Kubur pun lain-lain.
A : Sebab kubur lain-lain la aku bersusah-payah peduli hal kau. Di dunia kita ada saudara yang tolong tegur. Di kubur seorang diri nanti, siapa mahu tolong?
B : *Bibir diketap. Tersentap*

[Untung ada orang tegur sekarang. Tidak mahukah kubur kita terang benderang dengan amalan? Penghargaan gambar di sini.]

Situasi A dan B itu situasi yang normal bukan? Sengaja saya olah, menggabung adun jawapan yang diberi ustazah. Memang sukar mengubah pandangan skeptikal masyarakat. Semua sudah terbiasa dengan adat. Semua sudah terbiasa jaga tepi kain orang dengan hanya pandai anyam ketupat ( sila baca : mengumpat). Tegur secara berhikmahnya tidak. Semua sudah terbiasa jaga kain sendiri dengan tidak ada rasa sensitiviti. Rasa enggan peduli. Walhal itu masalah umat. Bila ditegur, dibilang lain-lain kubur. Baru rasa tanggungjawab dai'e itu memang wajib. Baru rasa golongan muda belia macam saya penting untuk bentuk umat. Kalau golongan ibu bapa kita sudah sebati dengan adat, maka yang muda-mudi ini harus kuat. Kuat dengan pegangan agama. Baru boleh ubah adat menjadi sesuatu yang lebih berkat.

p/s : Seakan rindu mahu lihat masyarakat yang hidup dalam suasana Islam. Sana-sini imarah dengan budaya memberi salam. Sana-sini terpelihara dari maksiat. Sana-sini amalkan sunnah.

3 Ramadhan 1432H. Lebih kurang 5 jam lagi masuk waktu berbuka.

4 comments:

INTAN said...

sungguh kupasan yang menarik.tapi budaya hidup masa kini yang individualistik juga tidak mempedulikan hal orang lain.xnak jaga tepi kain orang katanya.walhal amat penting dalam Islam..ad-dinnun nasihah.

Wan Pai said...

Yang baiknya adalah bila semua sudi menegur dan sudi menerima teguran..

biLa aKu muLa mEmbEbeL.. said...

nice blog!! i mean, definasi nice bukan sekadar terletak pada bnyaknya traffic/ link/followers/ pengisian. tapi ia harus juga dilengkapi dengan 'sesuatu' untuk pembaca.

keep writing Nusrah. semoga mendapat rahmat tuhan, amin.

selamat berpuasa, moga dimurahkan rezeki, debebaskan dari penyakit & dirahmatiNya. amin amin.

Nazihah@Jiha said...

Assalamualaikum.

tak salah menegur utk kebaikan umat.
terima kasih nusrah~~