11 August 2011

Isu Dakyah : Jangan Melatah, Andai Tidak Mahu Tegakkan Daulah


Assalamualaikum warahmatullah.
Tidak pernah lupa mendoakan kalian sentiasa dalam rahmat Allah. Moga Allah sentiasa pegang hati kita.

12 Ramadhan. Sudah hampir setengah bulan. Kalau goreng telur, sudah jadi telur separuh masak namanya. Eh, tiada kena mengena bulan puasa dengan goreng telur. Hati melafazkan tahmid. Jika Ramadhan itu macam pokok, maka taqwa buahnya. Ternanti-nanti sikap sendiri waktu bulan berikutnya. Jika kekal momentum sama macam sekarang, alhamdulillah saya dapat 'jamah' buah taqwa itu. Angguk. Setuju kata hati.

Panas petang tadi belum hilang lagi walau sudah merangkak malam. Ya, saya tahu anda macam tidak faham. Sengaja mahu sedikit putar alam. Hampir penuh Mukabuku saya punya rumah ( sila baca : Facebook Home) dengan status yang hampir sama. Boleh baca pautan ini untuk lebih sedia maklum [link]. Nanti saya macam syok sendiri pula bila kalian termangu-mangu. Alih-alih saya cakap dengan dinding. Sengih. Eh, maaf tersengih. Ini zon serius. Isu gereja di satu negeri di Tanah Malaya belum reda lagi. Boleh baca pautan lain di sini [link] atau cari sahaja mana-mana sumber yang sama waktu dengannya. Kalau ini kisah hujan, masih lagi di peringkat angin tiup kencang sambil hujan turun berderai-derai. Belum masuk lagi ruang konklusi cerita. Sudah timbul pula isu ini di Mukabuku. Ya, saya tahu. Isu blog ini sudah lama sebenarnya, cuma sekarang digembar-gembur semula mungkin.

Sana-sini orang melatah. Sana-sini orang sumpah-seranah. Ada yang sampai mahu buang blog masing-masing gara-gara amarah. Bila tahu tentang ini, mulut lebih laju istighfar. Mungkin ini hikmah Ramadhan, tiada syaitan. Jika tidak, saya juga turut sama macam mereka. Sampai sumpah-seranah segala. Nafsu marah tetap ada. Tapi hati lagi menang. Segera berbisik muhasabah dan muhasabah. Mesti ada hikmah. Jika Allah tidak tunjukkan sekarang, mahu saya bagai orang yang terus lena dalam tidur. Tidak sedar isu umat makin tenat. Kita asyik tuding jari. Kita bilang dia salah. Kita bilang mereka silap langkah. Kita tidak ada rasa mahu bentuk daulah. Ya, daulah islam maksud saya. Kutuk tetap terus kutuk, dakwahnya lelah. Tunjuk tetap terus tunjuk, sunnahnya punah.

[Maka beruntunglah orang-orang yang asing. Penghargaan gambar di sini.]

Kalau kita sendiri rasa Islam itu sudah tenat, penuh dengan fitnah sana-sini, kita sendiri yang mulakan langkah. Sesi kutuk-mengutuk dan tunjuk-menunjuk itu tidak sepatutnya wujud. Yang cuma muncul, adalah usaha keras mahu Islam tidak terus mundur. Andai kita tahu sesi kutuk-mengutuk itu mencacatkan lagi misi dakwah, kita mesti segera berundur. Bukan berundur dari medan juang namanya, tapi berundur daripada terus tersungkur dalam ruang waktu yang sia-sia. Dan andai mereka yang berdakyah itu tahu kita sedang sibuk dengan budaya tunjuk-menunjuk, bertepuk tangan mereka. "Kita berjaya! Kita berjaya!" , laung mereka.

Tolong hentikan budaya menunjukkan kelemahan sebelum berjuang. Tolong jadikan peristiwa ini sebagai titik pemisah antara budaya jahiliyah dan ruang muhasabah. Tolong tanya dirimu semula "Mana aku bila Islam bagai dihina? Apa yang aku sudah buat untuk selamatkan umat?". Tolong tampar pipimu sendiri, baru dirimu sedar anda sedang enak bermimpi. Tolong sebaris dengan mereka yang berjuang walau diri cacat anggota. Tolong, tolong dan tolong. Tolong muhasabah dirimu semula, "Mana usaha aku mahu lihat Nur Islam menyala?".

[Aku adalah anak panah Islam. Lontarkan aku ke mana sahaja, aku masih tetap berjuang demi Islam - Saad Abi Waqas. Penghargaan gambar di sini.]

p/s : Entri ini muhasabah untuk diri sendiri sebenarnya. Benar-benar rasa terpukul dengan sikap sendiri yang lena. Bagi yang bagai terasa 'pedasnya cili' yang saya suapkan, maaf. Tiada niat mahu menggaul adunan cili sebegitu rupa. Fahamkan? Lagi sekali saya ulang, ia ruang muhasabah untuk diri sendiri yang hina.

p/s lagi : Ramadhan itu macam hospital. Hospital bagi merawat mereka yang ada penyakit hati. Mahu lihat ubatnya mujarab atau tidak, lihat sahaja 'hatinya' selepas Ramadhan nanti - Nusrah Annur. (Ya, ini saya ciplak status saya sendiri di laman Mukabuku.)


1 comment:

MyIlham.com said...

salam

masyaAllah,mmg cili bg yg punya hati.dalam kederasan arus informasi,proses tabayyun seringkali diketepi.yg lebih pantas,spekulasi,batu api,sumpah seranah dan caci maki.

fenomena ummah yg terus mencetus rugi.