06 September 2011

Tiada Syawal Tanpa Ramadhan

Assalamualaikum warahmatullah.
Tidak pernah lupa mendoakan kalian dalam rahmat Allah. Senyum.

Laju tangan menyelongkar reka bentuk papan blog ( sila baca : dashboard) yang baru. Sambil tangan lagi satu lap-lap sedikit habuk, sarang labah-labah (ini menipu). Serius, saya teruja! Lebih mesra alam. Sudah ala-ala papan di mana-mana laman sesawang. Ya, saya tahu saya lambat. Diam-diam. Simpan rahsia dalam poket masing-masing. Sengih.

Bila lihat kalendar kuda yang hari ini sudah 8 Syawal, saya mula merasa jarum jam ini berdetik terlalu pantas. Serasa baru semalam menunaikan tarawikh sama-sama dengan jemaah masjid yang lain. Sama-sama melangkah kaki dengan Ummi ke aktiviti tadarus. Menjadi tukang masak tetap untuk persiapan juadah berbuka di rumah. Memang rasa baru semalam. Pandangan kelam. Apa yang diri ini tinggalkan untuk Ramadhan?

Kalau dulu-dulu, murabbi bilang Ramadhan ini pasti dirindui. Ulama' sering sedih jika Ramadhan kian mencapai titik hujung. Kata-kata semacam itu hanya datang sepintas lalu ke telinga. Tidak singgah di hati pun. Entah. Mungkin ketika itu hati belum betul-betul mencari. Hati belum betul-betul ikhlas cintakan Allah. Hati belum betul-betul ingin rasa taqwa. Semua main-main. Semua omong kosong. Semua hanya di bibir. Tapi sekarang rasa lain. Rasa sangat risau kalau latihan taqwa dalam madrasah Ramadhan jadi sia-sia. Rindu pada Ramadhan. Rasa mahu Ramadhan terus setia di sisi. Jadi teman mesra sepanjang masa. Boleh? Itu sudah macam lawan fitrah alam, memang wajar kena lempang laju-laju.

Jika diri sendiri tidak cuba bersihkan hati sendiri, macam mana Allah mahu beri rasa taqwa itu? Kalau diri sendiri tidak ada usaha mahu ikhlas, macam mana Allah mahu bagi rasa cinta itu? Anggap sahaja hati kita umpama sebuah bekas. Kalau mahu bayangkan bekas kuih raya pun boleh. Sengih lagi. Jika bekas kuih raya itu kotor, penuh dengan debu, habuk sana-sini, mahu kamu letakkan biskut cornflakes madu dalam itu? Mahu kamu makan biskut cornflakes madu daripada bekas yang kotor itu? Jawab. Jawab. Angkat kening sebelah. Jawapan saya, tidak mahu! Geli-geleman. Rasa boleh muntah hijau kalau makan apa sahaja dari bekas yang kotor. Sama macam hati kita. Kalau kotor dan tidak ikhlas, macam mana Allah mahu hadiahkan rasa taqwa itu? Taqwa itu pun tidak lalu mahu singgah dalam hati kita yang tidak bersih ini. Pendek kata, memang kena berusaha untuk bersihkan. Sudah bersihkan, baru boleh makan. Eh? Silap. Sudah bersihkan, baru boleh rasa taqwa. Sengih.

Dan Syawal ini dirasakan cukup bermakna bila saya berusaha sedaya upaya ( agak keterlaluan di sini) untuk pelihara aurat sendiri. Dan natijahnya, ibu-ibu saudara yang lain turut sama merasa tempiasnya. Mungkin segan tidak tutup aurat dengan sempurna bila lihat anak buahnya habis berlitup 24 jam. Adik sepupu yang saya lihat semacam tiada kekuatan untuk amalkan apa yang dia pelajari di Ibnu Khaldun, seakan diberi nafas baru. Pendek kata, dia ada geng pakai tudung litup 24 jam. Sengih. Sebenarnya tidak lah sampai 24 jam. Pandai-pandai jaga sendiri. Kalau dahulu, memang rasa macam orang yang kalah (sila baca : loser). Konon bawa tudung basahan siap-siap, pakainya tidak. Rasa macam mahu humban kepala sendiri dalam air kolah! Dekat rumah sendiri pun sama, kalau orang luar datang baru terhegeh-hegeh mahu tutup kepala, cari baju lengan panjang. Depan sepupu sendiri, boleh pula tayang-tayang. Keluh panjang. Malu nya dengan Allah. Walhal sudah tahu sepupu itu bukan mahram, wajib tutup aurat. Maklum sahaja sudah biasa main panjat pokok rambutan, main kejar-kejar, main sorok-sorok (paling seronok main dekat parit) sama beliau. Itu cerita zaman kanak-kanak ribena saya. Simpan juga yang ini dalam poket masing-masing. Oh, ya! Dekat bawah ini ada sedikit gambar saya sekeluarga sambut hari raya. Sengaja letak. Kenangan untuk diri sendiri sebenarnya. Siapa kopi dan pasta ( sila baca : copy and paste) siaplah anda. Saya tuntut dekat akhirat nanti. Senyum kejam.

[Gambar 1.]

[Gambar 2. Penghargaan gambar kepada kakak sepupu sendiri.]

P/S : Tiada Syawal tanpa Ramadhan. Tiada taqwa tanpa rasa bertuhan.

2 comments:

Wan Pai said...

Bak kata abang ipar saya, "Kekalkan sikap dan amalan bulan Ramadhan walaupun di bulan Syawal". :)

nusrah said...

@Wan Pai

Jazakillah 4 d visit. Eid Mubarak bro! :)