07 August 2011

Agar Hati Tidak Mati Berkali-kali


Assalamualaikum warahmatullah..
Sentiasa mendoakan kalian dalam rahmat Allah. Rahmat Allah yang sangat luas.

Satu. Dua. Lima. Kelima-lima jari kanan dipicit-picit. Bunyi bagai tulang dilipat-lipat. Dagu atas tangan. Tangan bawah dagu. Menongkat. Meminjam tenaga tangan untuk menatap skrin. Jam terus berdetik tanpa henti. Jarum panjang lagi beberapa inci memutar ke angka tiga. Sudah hampir 15 minit jarum pendek berada di angka 7. Pagi lepas subuh.

Damai kicauan burung. Pagi-pagi sudah keluar cari rezeki. Damai juga bayu Ramadhan yang menerpa. Soalan si junior masih lagi terbias di ruang mata. Tidak pasti bahagian otak mana yang menyimpan soalan itu. "Macam mana mahu sentiasa hidupkan hati kak?" Laju soalan itu menampar muka sendiri. Serius. Terbayang-bayang saat zaman jahiliyah punya memori . Saya pernah duduk di ruang memori itu. Hati saya pernah berkali-kali mati. Tahan air mata dari jatuh. Tarik nafas. Hembus. Buang rasa perit dalam jiwa. Mohon Allah pinjamkan kekuatan untuk menjawab pertanyaan si junior. Syukur tidak pernah henti. Allah terlalu sayang pada diri. Tiap kali jatuh, pada detik yang sama juga Dia membangunkan diri. Tiap kali jauh, pada detik yang sama juga Dia mendekatkan diri.

Ini kisah saya. Tangan saya yang mencoret sendiri. Sudah banyak kali terjatuh dalam lumpur jahiliyah itu, sungguh tidak sanggup lagi bergelumang dengan bau busuk dosa. Serik. Bila si junior tiba-tiba menghubungi saya semata-mata mahu bilang dia rindu usrah, seakan tahu Allah bagai mahu menghadiahkan sesuatu untuknya. Seakan tahu dia sedang mencari-cari. Hidayah. Ya, hidayah itu memang milik Allah. Tapi kita kena berusaha mencarinya. Macam duit. Kalau tidak dicari, siapa yang senang-senang mahu beri? Hidayah juga begitu. Kalau tidak berusaha mencari, bagaimana Allah mahu bagi?

Saya hanya berkongsi sedikit pengalaman diri sekaligus menjawab soalan si adik. Mungkin boleh membantu, mungkin juga tidak. Semuanya terpulang pada sejauh mana usaha. Ini cara saya agar hati tidak mati berkali-kali.

1. Sentiasa berdialog dengan Allah.
Pernah dengar doa itu senjata orang mukmin? Ya, konsepnya lebih kurang begitu. Sentiasa bergantung segalanya pada Allah. Segalanya adu pada Allah. Mahu makan. Mahu mandi. Saat lihat cermin. Saat memandu kereta. Bila sihat. Bila sakit. Ketika memasak. Ketika membasuh. Semuanya. Sampai ada simpan rasa buruk sangka pun adu pada Allah. Satu khilaf saya, saya selalu minta dengan Allah perkara yang belum ada. Tapi saya terlupa minta dengan Allah supaya dipermudahkan nikmat yang sudah ada. Lupa minta dengan Allah supaya dipelihara nikmat yang sedia ada. Fahamkah? Mari saya beri satu contoh.

Saat memandu kereta mungkin. Berdoa sahaja dengan Allah. Berdialog denganNYA sentiasa. Ya Allah, aku lemah. Aku mohon kekuatan. Segalanya aku bergantung denganMU. Jika kau tidak meminjamkan kekuatan kepadaku, tidak mungkin aku mampu menggerakkan kereta ini. Selamatkan perjalananku. Kedengaran remeh, tapi kita memang tidak boleh nafi hakikat hamba. Hamba yang sentiasa bergantung pada Pemilik Tunggalnya.

Bila kita selalu buat, kita akan rasa Allah itu dekat. Saat kita lemah, kita dapat rasa cinta Allah itu menjadi penguat. Mahu buat dosa, kita merasa Allah sentiasa ada. Ketika bersendiri, kita rasa Allah ada di sisi.

[Bila kita cari kekuatan dalam diri kita, kita sebenarnya hanya lemah. Carilah kekuatan daripada Allah. Penghargaan gambar di sini.]


2. Mutabaah Amal (MA)
Pernah dengar tentang ini? Mungkin anda boleh rujuk di pautan ini [link] dan juga ini [link]. Ia sekadar panduan, tidak perlu tunduk beriman dengan mutabaah amal. Begini maksud saya, jangan beribadah sekadar memenuhkan kotak-kotak kecil dalam mutabaah amal. Kena ada penilaian sendiri di sini. Tanya sama hati, apa sebab beramal. Nanti jawab hati, itu semua kerana beriman. Kadang-kadang kita beribadah kerana mutabaah amal. Ingat, MA sekadar semakan dan imbangan (sila baca : check and balance) bagi amalan. Sebenarnya kita kembalikan semua amalan kerana Allah. Baru ia dihitung menjadi ibadah. Bila ada MA, kita sedar apa yang kurang. Bila ada MA, kita ada ruang untuk muhasabah. Pada MA ada tilawah dan tadabbur al-Quran. Pada MA boleh tambah ilmu agama. Pada MA ada qiamullail dan sunat qabliyah ba'diyah. Pada MA ada usrah. Pada MA ada solat jemaah. Semua ada di situ.

[Penghargaan gambar di sini.]

p/s : Ditaip dan dipadam-padam sambil telinga disumbat alunan riang si cilik Voices of Ummi - Erti Al-Fatihah. Mengharap Ramadhan ini sebagai titik pemisah ruang jahiliyah dan hidayah.

3 comments:

helang timur said...

terima kasih. saya juga pernah berada dilingkungan jahiliah. mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadi titik pemisah daripada zulmat kepada cahaya. Ameen.

nusrah said...

@Najihah Faizah

Ameen, jazakillah jiha atas doanya. Moga Allah pelihara hati kita semua.

Anonymous said...

amin... kita juga sntiasa bersemangat utk menikmati keberkatan bulan indah ini ~