04 July 2011

Impian itu Kita Sendiri yang Menentukan (1)


Assalamualaikum warahmatullah..
Hari indah dan cerah. Moga seindah hati kalian juga. Hati yang sentiasa dalam rahmat Allah. Hati yang dekat dengan Allah.

Riuh. Burung-burung berdecit girang. Irama itu cukup riang. Sesekali irama itu mati dek bunyi ngauman motor dan kereta yang tidak henti lalu-lalang. Abaikan. Kehidupan hutan batu kan memang begini. Penuh dengan hingar-bingar sana sini. Positif dan positif. Pagi ini bangun dengan senyuman. Pagi ini bangun dengan aura positif.

[Bila kita mulakan hari dengan senyuman, ia adalah satu permulaan yang baik. Penghargaan gambar di sini]

Tangan segera menutup mulut. Asyik terkuap-kuap dari tadi. Padan dengan muka sendiri. Tidur lewat lagi. Sudah tahu ada kuliah pagi ini, tapi tidak sedar diri. Eh, lawan. Jangan biarkan aura negatif cuba masuk jarum. Jangan biarkan fikiran jadi senget dek terjahan aura negatif. Tiada istilah kantuk. Tiada istilah malas. Tiada istilah liat mahu ke kelas. Membiarkan otak di jejak dengan aura negatif bagai membunuh minda yang sedia ada bersih. Bagai mencincang lumat impian sendiri. Cincang lumat hingga tiada sisa positif walau sezarah pun.

Saya ada impian. Anda juga anda impian bukan? Semua orang ada impian. Impian yang menjana masa depan. Menjana? Oh, ala-ala penceramah motivasi baru dapat lesen untuk berceloteh. Sengih. Bukan. Bukan. Bukan. Bukan mahu jadi penceramah motivasi. Sekadar mahu berkongsi. Impian itu kita sendiri yang menentukan. Kita sendiri yang meletak susun atur kehidupan. Yang A patut diawalkan, yang Z patut diakhirkan. Ya, kita sendiri yang menyusun batu-bata masa depan. Macam rumah, tidak mungkin syiling di bawah dan lantai di atas. Alamat nanti ada rumah yang tercatat dalam Buku Rekod Rakyat Malaysia (sila baca : Malaysian's Book of Records). Rumah paling kreatif di Malaysia. Senyum.

Kita kena yakin impian itu Allah makbulkan. Lepas salam, bukan doa takat 'cukup makan'. Letaklah pergantungan pada Allah melebihi segalanya. Mintalah apa sahaja yang terbaik dengan Allah. Allah itu Maha Mengetahui. Malah Dia Maha Mengetahui isi hati kita sebelum kita beresak tangis di sujud dan tikar sejadah! Eh, tapi manusia itu bukan kah ada takdir sendiri yang sudah tercatat? Mengapa mahu terhegeh-hegeh mencari hala-tuju?

[Selalu ingatkan diri yang Allah sentiasa di sisi. Penghargaan gambar di sini]

Mari sini saya bagi satu jawapan mudah. Kalau kita tidak tentukan hala tuju itu sendiri, serupa sahaja kalau kita duduk termangu, menunggu malaikat pencabut nyawa datang. Tidak perlu bersusah-payah belajar. Tidak perlu susah payah cari rezeki. Tidak perlu susah payah mencari erti hidup. Tidak perlu susah payah mencari hakikat hamba. Semuanya tidak perlu. Oh, enteng sungguh ya! Dan kalaulah melihat masa depan semudah melihat kartun Spongebob di kaca TV, semua orang tidak perlu bersusah payah menentukan masa depan sendiri. Hanya tekan butang main (sila baca : play button) dan lihat. Oh, ini lagi enteng! Senang kacang.

p/s : Hidup umpama sebuah buku. Setiap hari terkandung dalam setiap jilid. Kita tidak bisa memadam jilid lalu yang sudah termaktub. Tapi kita boleh cuba mengolah jilid baru dengan lebih baik.

p/s lagi : Jika anda lihat ada bilangan angka pada tajuk, maka ada sambungan lain. InsyaAllah, jika umur panjang, ada entri baru akan menyusul.

3 comments:

Nazihah@Jiha said...

Salam alaik Nusrah(pertolongan)=)

terjumpa pula maksud nama nusrah ni kata buku solusi mlm td,teringat pula kat nusrah =)

impian? yes! tgh menunggu saat ini impian itu akan tercapai =) doa dan tawakal itu penting bila dah usahakn =)pasti impian akan tercapai!inshaAllah.

mohon doa dr nusrah,semoga sy dpt twrn masuk IPTA 15/7 ni,dah usaha masa stpm,hrp..impian masuk U tu tercapai.ameen.

nusrah said...

@Nazihah@Jiha

wsalam jiha.
aah, maksud nusrah tu pertolongan :) :)

InsyaAllah, moga Allah beri yang terbaik, saya menanti berita gembira dr awak :)

eh, nk further kat u mne ye??

Nazihah@Jiha said...

Salam alaik!

ya rabb,baru ternampak soalan Nusrah ni,maaf lambat ^_-

Alhamdulillah,terima kasih nusrah :)

inshaAllah ke UPSI nusrah :)
bulan lalu dah medsi n temuduga,hrp dpt r,cita2 jd guru tercapai..inshaAllah ameen :)