23 June 2011

Kita tidak akan merasa itu dosa, kalau sudah terbiasa.

Assalamualaikum warahmatullah.
Doa kesejahteraan sentiasa mendahului. Moga kalian sentiasa dalam rahmat Allah.

Pagi ini cuba melawan norma hidup. Cuba lari dari kelaziman. Mata buka luas-luas langsung menghadap komputer riba (sila baca : laptop). Tidak mahu lagi tidur lepas subuh. Biasanya memang begitu, saya sahaja yang lena buat kali kedua. Usai solat subuh berjemaah dengan teman-teman yang lain terus cari bantal mahu letak kepala. Teman-teman yang lain leka menyiapkan kerja. Ada yang mula mencari kuali dan segala macam di dapur. Mahu menyediakan sarapan pagi untuk satu isi rumah. Ada yang leka melunaskan laporan makmal yang tertangguh. Mungkin saya asyik meletakkan tetapan dalam kepala bahawa badan letih dan perlukan rehat. Untuk rehat, saya perlu tidur lepas subuh. Tetapan yang langsung tidak sihat! Saya boleh ubah tetapan fikiran (sila baca : mindset) itu sebenarnya.

Teringat pesan ummi, pagi-pagi malaikat turun bawa rezeki. Jika kita tidur, rezeki lari. Mungkin ada hadith yang berkaitan, tapi sungguh saya tidak tahu. Siapa yang tahu, boleh kongsi di sini. Benar juga, rezeki mana yang mahu lekat jika terus-terusan tidur. Asyik tidur dan tidur, usahanya entah ke mana. Jika kita sudah terbiasa, kita tidak akan rasa kekok lagi. Jika sudah biasa buat baik, kita akan rasa kekok buat jahat. Kalau sudah biasa buat jahat, kita akan rasa kekok buat baik. Eh, fahamkah ayat putar alam ini? Sengaja mahu pusing otak kalian. Bagi sel-sel neuron di otak berkembang. Bagi ketat semula skru-skru yang sudah longgar di otak.

Begini. Mari saya bagi satu misal. Jika A sudah terbiasa melewat-lewatkan solat, A tidak akan janggal melakukannya. Setiap waktu, mahu lewat solat. Setiap waktu, kerja yang tidak berfaedah dilunaskan dahulu. Bila dengar penggera (sila baca : alarm) waktu subuh, mata yang sudah dibuka akan dikatup semula. Nanti sahaja solat. Masih ada masa berbaki. Bila dengar azan isyak, permainan komputer menduduki tangga pertama. Nanti sahaja solat. Waktu isyak itu panjang bukan? Oh, semuanya nanti dan nanti. Kalau malaikat cabut nyawa datang menjemput, masa itu juga nyawa diragut. Mahukah? Tidak sempat solat isyak gara-gara permainan komputer? Sedarkah A tentang dosa. Dosa melewat-lewatkan solat. A tidak merasa itu dosa, kerana A sudah terbiasa.


[Ya Allah, ampunkanlah dosa hambaMu yang hina ini. Penghargaan gambar di sini]

Boleh saya lanjutkan dengan misal kedua? Boleh sahaja bukan? Ini laman saya. Jadi kena ikut kepala saya. Kalau tidak mahu baca, boleh tekan butang pangkah di atas. Sengih. Oh, ya! Misal kedua ini lebih khusus buat kaum hawa. Juga sebenarnya penting buat kaum adam. Hidup anda juga dikelilingi hawa. Adik perempuan, kakak, isteri dan segala jenis keturunan wanita. Pernah anda risau tentang batas pergaulan anda? Pernah anda risau tentang pergaulan anda bisa mengundang fitnah jika tidak dijaga? Pernahkah?

Saya pernah. Pernah mengabaikan tentang ini. Tidak sedar ia satu kesilapan besar jika tidak dijaga. Hingga saya dan teman-teman kuliah yang lain ditegur oleh seorang pensyarah, baru kami semua tersentak. Saya pernah berdua sahaja dengan pemandu teksi. Pemandu teksi yang merupakan seorang lelaki! Sungguh. Seboleh-bolehnya mahu mengelak. Selalu bukan kita melihat fenomena ini? Malah kita pernah melakukannya berulang-kali. Kita memang tidak merasa itu satu dosa kerana kita sudah terbiasa. Memang ya. Keadaan mendesak dan kita mahu cepat. Kita boleh elak sebenarnya. Sebab itu, jika ada rakan yang meminta saya menemani mereka ke suatu tempat, saya seboleh-bolehnya tidak mahu berkira. Sudah tahu itu satu dosa, jika biarkan rakan itu menaiki teksi seorang diri. Hanya berdua sahaja dengan pemandu teksi bernama lelaki.


[Perjalanan kita ke syurga bermula dengan langkah pertama. Jika langkah sumbang, mungkin neraka jawabnya. Jom sama-sama berubah. Kita jadi yang lebih baik. Penghargaan gambar di sini]

Banyak lagi dosa-dosa kecil yang kita kumpul. Kita kumpul kerana kita tidak merasa ia satu dosa. Kita tidak merasa itu dosa, kalau kita sudah terbiasa. Kita boleh elakkan. Ayuh kita sama-sama berazam. Jangan kerana dosa-dosa kecil yang terkumpul, timbangan saat al-Mizan nanti berat sebelah. Berat di bahagian mazmumah. Nauzubillah.

p/s : Entri semacam ini ada saya sertakan di halaman lain. Jangan bilang ada unsur cetak rompak pula. Ini adalah hak cipta terpelihara. Jika mahu salin dan tampal (sila baca : copy and paste) di laman lain, saya alu-alukan. Moga ada barakahnya di situ.


2 comments:

Nazihah@Jiha said...

Assalamualaikum Nusrah :)

baru berpeluang membaca entri Nusrah,masa yg ada ini..khas utk Nusrah :)

Alhamdulillah,tntg Hadis tu sy tahu :)

"Orang yg tidur selepas Subuh, akan dipayahkan rezeki untuknya".Ibn Abbas r.a

Ia bukan hadis tapi atsar yakni dari Ibn Abbas ra. alhafidz Ibn Qayyim menukilkan atsar ini dalam masterpiecenya Zaad alMa'ad, kitab 4/Tibb anNabawi (perubatan ala Nabi) atau maksudnya Petunjuk RasuluLlah saw dalam perubatan preventif.

Ibn Qayyim menamakan tidur selepas Subuh ini sebagai Khurq yakni tidur yg dicela dalam budaya Arab.

Ibn Qayyim sekali lagi menyebut keburukan tidur selepas subuh ini dalam kitabnya yang lain, madarij asSaalikin pada bab Mufsidat alQalb (Virus-virus hati) dan salah satu virus hati ialah banyak tidur dan tidur pada waktu yg merosakkan spt selepas subuh dan selepas Asr. WA

Sheikh Muhammed Salih Al-Munajjid mengatakan bahawa beliau tidak pernah lagi jumpa mengenai larangan perihal perkara ini. Oleh kerana tidak ada dalil yang sahih, maka hukumnya harus. Walaupun begitu, amalan Rasulullah saw serta sahabat2nya, selepas solat subuh, mereka tidak tidur. Mereka berjaga sehingga matahari naik. Ini terdapat dalam hadis sahih riwayat Imam Muslim.

ok,semuany ini adalah copypaste dr sebuah laman soalsolatumum blogspot :)

terima kasih Nusrah untuk teguran ini,ya..kekdg diri tak merasa akan itu ..astaghfirullah

nusrah said...

@Nazihah@Jiha

waalaikumussalam dear jiha..
syukran 4 sharing. really appreciate those explanation. :)

Itu lah, kadang2 kita tak rasa pun itu satu dosa sebab dah terbiasa. Saya selalu camtu. :(

Moga Allah sentiasa pegang hati kita. Moga sentiasa istiqamah.

Love Fillah. ^^