06 June 2011

Jika kita permudahkan urusan orang lain, Allah permudahkan urusan kita


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh..
Semoga kalian sentiasa dalam rahmat Allah.

Saya masih lagi menumpang di rumah seorang teman ketika entri ini ditulis. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Segala urusan dipermudahkan. Bermula dengan urusan saya mendapatkan kenderaan untuk ke kuliah hingga ke urusan untuk berteduh. Teman-teman tidak pernah mengeluh. Bantuan tidak pernah jemu dihulur. Moga Allah permudahkan urusan teman-teman ini.

(Memang kita perlu bantuan insan lain ketika kita dilanda masalah. Kadang-kadang kita perlu selami hati kita sendiri, percaya dengan kemampuan sendiri untuk mengatasi masalah itu. Penghargaan gambar di sini.)


Terkumat-kamit teman di sebelah. Asyik berdendang. Lagu Insan Sempurna bilangnya. Lagu Hijjaz itu menjadi teman ketika dia sedang asyik menyiapkan kerja. Sesekali tangan mencapai kerepek ubi. Teman ini yang tidak pernah berkira menghantar saya ke kuliah. Sekali jalan katanya. Cukup bulan bayar duit minyak ya, tingkahnya bergurau. Sengih. Rumah ini penuh dengan gelak tawa. Gelak tawa hanya bisa terhenti ketika kami solat. Gelak tawa hanya bisa terhenti ketika kami dalam lena. Kalau lena pun masih bergelak ketawa, itu mengigau namanya.

(Rumah ialah tempat di mana anda dikelilingi insan yang mengambil berat tentang anda. Penghargaan gambar di sini.)


Mata sedikit kantuk. Sengaja di tahan. Mahu menunggu baju di mesin selesai dicuci. Oh, ya! Ayat di atas bukan kata-kata ulamak. Jangan anda salah anggap dan kata saya membawa ajaran sesat pula. Nanti habis blog ini difatwakan sesat sepenuhnya oleh Persatuan Ulamak Malaysia. Saya hanya bermadah berdasarkan pengalaman. Pernah sekali saya seakan mengeluh bila teman minta tolong. Bukan apa, kadang-kadang bila badan terlalu letih, ikhlas itu seakan-akan beralih. Bila diluahkan pada ummi, ringkas sahaja madahnya. Jika kita permudahkan urusan orang lain, Allah akan permudahkan urusan kita. Tolong orang dapat pahala bukan?

Termenung. Dagu ditongkat. Cukup ringkas dan padat. Pesanan ummi itu masih lagi kerap bermain. Masih lagi asyik terngiang-ngiang. Saya amalkan. Kadang-kadang saya pernah juga tinggalkan. Merah muka. Malu sebenarnya mahu cerita. Waktu itu, syaitan-syaitan tidak jemu menghasut. Rasa geram pun ada (salahkan syaitan pula bila niat jahat tidak dapat dikawal). Abaikan syaitan-syaitan itu tadi. Jadi, itu sebab saya jarang berkira dengan teman-teman. Cuba sedaya upaya membantu. Apa sangat pertolongan saya jika dibanding dengan huluran tangan mereka selama ini. Walau kadang-kadang hati macam ralat bila berhadapan dengan insan lain yang gemar berkira. Tidak mengapa. Buat baik dibalas baik bukan? Kalau insan lain buat jahat dan kita balas baik pula, bukankah kejahatan itu akan terhapus dengan kebaikan?

( Pedulikan kata insan lain. Lakukan sahaja kebaikan. Jangan jemu. Anda akan rasa sendiri aura positif itu jika anda yang mulakannya. Percayalah. Penghargaan gambar di sini.)


p/s : Cuba memenuhi undangan seorang teman ke satu program. Hati berat juga sebenarnya mahu pergi. Niat asal mahu berehat sahaja di rumah esok hari. Jika saya tidak ikut sekali, teman itu akan keseorangan bersama dengan seorang lelaki. Itu sudah sampai tahap melanggar ikhtilat bukan? Tidak mengapa. Jika saya hadir, itu termasuk juga dalam permudahkan urusan orang lain saya rasa.


5 comments:

Nazihah@Jiha said...

Buat baik dibalas baik, tp kadangkala ada yg membalasnya dengan buruk, manusia tidak pernah puas sedangkan dunia ini cuma sementara..

hebat pesanan ummi Nusrah :) kerjasama sentiasa diperlukan, mcm wonder pets 'apa yang penting? kerjasama!' hehe kan nusrah kan..:)

nusrah said...

@Nazihah@Jiha

yes...!!! apa yg penting kerjasama..!! aiyo, tibe2 rase nak p tgk wonderpet plak.heeee :)

Yildirim Fateh said...

jadilh yg mudh...

nusrah said...

@shairazi sharizan

terima kasih sudi komen di kotak kecil ini. ya, setuju. Jadilah yg mudah.

Yildirim Fateh said...

wlcme...berkongsi