15 May 2011

Mungkin anda lebih selesa menjaga kepentingan diri




Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh..
Moga kalian sentiasa dalam rahmat Allah..

Alhamdulillah. Tanah basah di luar. Hujan turun lebat. Mentari terlindung sedikit di balik awan gelap. Panas kemarau terhenti di situ. Kalah dengan sejuk hujan. Petir dan kilat juga mahu menang. Sesekali 'mereka' muncul menyapa. Memberi amaran hujan akan terus turun rancak. Sudah lama tidak mendengar bunyi meriah sang katak menyanyi ikut rentak. Seronok ya hujan sudah turun. Sejuk mula datang menggigit. Duduk dibetulkan sedikit. Putaran kipas ditukar ke tahap paling rendah.

(Kalau hujan dan ada terik mentari pada masa yang sama, nanti muncul pelangi bukan? Jangan di sangka hujan dan mendung itu bawa warna kelam. Mungkin Allah mahu wujudkan pelangi selepas itu. Pelangi yang berwarna-warni. Penghargaan gambar di sini.)

Katak dan hujan kadang-kala bagai adik beradik tidak sedarah daging. Eh, bolehkah begitu? Melawan fitrah alam ya kamu! Oh, jangan salah faham ya. Saya hanya berkata bagai. Bagai yang membawa erti seakan-akan. Ya, katak dan hujan kadang-kala seakan-akan adik beradik tidak sedarah daging. Katak setia memanggil hujan pulang. Bila hujan turun, ia mula menyanyi riang. Di mana ada hujan, di situ ada katak. Eh, jangan dimasukkan dalam senarai peribahasa tahu. Nanti susah saya kalau di saman pihak Dewan Bahasa Pustaka. Senyum. Rasa geli hati.

Saya juga punya adik beradik. Tapi kami sedarah sedaging. Tidak sama dengan katak dan hujan. Senyum geli hati lagi. Semua ada di rumah. Jadi hujung minggu yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin. Waktu paling seronok bila menyediakan makan malam bersama. Ummi hanya duduk di ruang jahitnya. Tersenyum-senyum mendengar telahan adik dan kakak dari dapur. Kakak dan adik sudah masak. Tidak mengapa. Nanti si kenit ini yang basuh pinggan. Jangan risau. Kebersihan pinggan anda semua terjamin ya adik kakak. Selalu memang begitu. Kami sudah diajar untuk tidak mementingkan diri sendiri. Bila kakak sudah membasuh, saya akan memasak. Bila adik L sudah menyiram pokok, adik P akan menyapu sampah. Tapi penat juga tahu ummi melatih kami sebegitu. Sempatlah bertikam lidah, bertarik rambut segala. Ketawa. Bila semua sudah panjang akal, baru tahu ikut.

(Hidup, Sayang, Ketawa. Kami adik-beradik memang selalu begitu. Kami hidup di bawah satu bumbung yang mengajar kami erti kasih-sayang. Eh, kami juga dipenuhi dengan gelak ketawa. Penghargaan gambar di sini.)

Jadi bila tahu adik P saya berkawan rapat dengan kakak senior yang suka mementingkan diri sendiri, saya dan kakak cukup berbuih mulut menasihati. Segalanya bermula bila si adik P yang tiba-tiba membuka mulut. Ketika itu kami leka bergelak ketawa menghadap permainan di komputer riba (sila baca : laptop) saya.

Kakak : Esok mahu bawa balik banyak barang ke kampus?
Adik : Tidak, tapi mahu bawa pulang periuk nasi elektrik (sila baca : rice cooker) sekali.
Saya : Eh, begitu rajin kamu mahu masak?
Adik : Bukan. Bukan saya yang mahu guna. Kakak senior minta. Mahu pinjam katanya.
Kakak : Kakak senior? Jadi bukan kamu yang mahu guna? Kamu berdua ada di rumah yang sama?
Adik : Tidak. Kakak senior di Blok J. Saya di Blok H.
Saya : Eh, baik jangan.
Adik : Jangan apanya?
Kakak : Jangan bagi pinjam. Dia bukan satu rumah dengan kamu. Nanti dia akan guna bukan depan mata kamu. Kalau sudah rosak, apa kamu mahu bilang sama ummi? (Kakak seperti faham apa dalam fikiran saya. Saya juga mahu bilang sebegitu)
Saya : Ya, kalau sudah rosak, mungkin dia hanya bisa ucap maaf. Ucap maaf tanpa ada rasa mahu ganti. Nanti kamu juga yang pening mahu jawab apa sama ummi.
Adik : Oh, kakak senior itu pernah merancang satu rumah dengan saya. Kami akan memasak jika berada dalam rumah yang sama.
Kakak : Ya, kakak faham. Tapi kamu bukan dalam rumah yang sama kini.
Saya : Jadi kenapa kamu tidak satu rumah dengannya? Bukan pernah merancang tinggal bersama?
Adik : Saya terlambat. Kakak itu pula mahu cepat. Mahu tinggal di Blok J katanya. Sistem internet tanpa wayar (sila baca : wireless) di Blok J lebih kuat. Dia risau jika tidak dapat tinggal di blok yang kuat dengan sistem internet tanpa wayar itu. Jadi saya duduk di rumah lain.
Kakak : Lihat, kalau betul dia tidak mementingkan diri sendiri, dia mesti tunggu kamu. Kata sudah merancang mahu duduk di rumah yang sama. Sekarang suka-suka mahu pinjam periuk elektrik kamu pula.
Saya : Memang kita tidak elok buruk sangka. Tapi jadi manusia perlu lebih berhati-hati. Jangan sampai terkena dan menyesal nanti. Kalau dia sudah mementingkan diri begitu, mengapa kamu mahu dikenakan tanpa jemu?
Kakak : Boleh jadi dia merancang mahu satu rumah dengan kamu bukan sebab mahu betul serumah dengan kamu. Tapi dia mahu guna periuk nasi elektrik yang kamu ada.
Adik : (Mengangguk-angguk dengan senyap. Mungkin sedang berkira-kira semula kata-kata saya dan kakak).

(Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Mungkin hari ini insan dan manusia bermain pusing-pusing bersama, tapi esok siapa tahu manusia yang akan menikam insan dari belakang. Jika tidak faham, geleng kepala laju-laju ya. Penghargaan gambar di sini.)

Bila saya dan kakak menghantar adik P dan adik L pulang ke tempat belajar masing-masing petang tadi, saya perasan adik P tidak membawa periuk nasi elektrik itu. Mungkin dia sudah berfikir sehabis baik. Tidak mengapa, jika anda wahai pembaca rasa saya dan kakak terlalu kuat berprasangka. Saya terlalu bersifat tidak kisah bila barang saya dipinjam. Bila barang itu dipulangkan bukan dalam keadaan yang asal, saya sendiri yang berputih mata. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Biar jadi pada saya, jangan jadi pada adik. Belajar dari pengalaman dan lebih berhati-hati. Hanya beri pinjam pada orang yang dipercayai, bukan orang yang suka menjaga kepentingan diri.

p/s : Adik P ialah adik perempuan saya yang sudah menuntut di menara gading. Adik L ialah adik lelaki saya yang masih mencari erti hidup di sekolah menengah.

p/s lagi : Ada dua gambar yang punya nasihat lain di dalamnya. Boleh juga ambil ia sebagai pedoman.


6 comments:

Nazihah@Jiha said...

Assalamualaikum..nusrah sihat?^^

Melebihkan kepentingan diri ini ada dua bentuk. Ada yang dilebihkan dengan niat. Ada pula yang dilebihkan secara spontan. Secara yang dilebihkan dengan niat iaitu yang dirancang, yang disusun dan yang diatur, sudah pastilah jahat. Ia didorong oleh nafsu jahat dan sifat-sifat mazmumah dan keji yang bersarang di hati..nauzubillahi..

*suka setiap bait kata-kata yang nusrah gunakan gramatis 'cikgu' saya kata..hehe

nusrah said...

@Jiha

wsalam. alhamdulillah sihat. awak rajin komen di kotak kecil ini.. ;)

Oh, baru tahu tentang itu. kepentingan diri itu ada dua rupanya.thanks for sharing.

Alhamdulillah. bakat semula jadi yg Allah bg pinjam sekejap. gramatis?? ape tu?? aiyo..ngeh3

Addien said...

sungguh tiap-tiap amal itu bermula dariniat..jika baik niatnya insyaAllah amal yg baik mnyusul bgtu juga sbliknya =)

all the best Nusrah

nusrah said...

@ad-dien..
terima kasih sudi ziarah dan komen di kotak kecil ini..

iyya, saya setuju. terima kasih mengingatkan

khalila ishak said...

betul betul... kadang2 terlalu asyik berprasangka baik, org lain ambil kesempatan, diri sendiri menerima padah

nusrah said...

@ k.h.a.l.i.l.a

tu lah akak..dunia ni penuh dgn orang pelbagia ragam