21 March 2011

Hanya berdiam tanpa kata maaf

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh..
Semoga sesiapa sahaja yang singgah di laman ini sentiasa dalam rahmat Allah :)

Begitu bingit. Bunyi putaran roda ungu menyengat telinga. Ah, makhluk cilik ini memang tidak betah diam. Hamster kesayangan teman sebilik galak memutar roda ungu. Belum cukup seminit waktu aman, roda biru pula galak berpusing. Kali ini giliran sang betina. Hanya mampu menahan telinga. Untuk mendekati sangkarnya, jauh sekali. Juga hanya mampu lihat dari jauh. Geli dan fobia dengan makhluk berbulu.

Tidak pernah kecil hati bila teman sebilik menyatakan hasrat nya dulu. Mahu bela si cilik sebagai penghibur. Oh, tidak mengapa jika anda minat tetapi jangan sekali-kali mengajak teman sebilik mu turut sama membelai. Harap maaf, masih kegelian dan fobia. Bukan mudah menjadi dan mencari teman sebilik yang baik. Saya pernah kerisauan dahulu. Risau teman sebilik tidak sebulu. Eh, bukan berbulu seperti si cilik. Jangan memandai buat andaian pelik. Alhamdulillah, setakat ini teman sebilik bukan manusia berhati plastik. Manusia yang hanya pandai pentingkan hak milik.


Teringat peristiwa semalam, bila teman lama seakan tertekan dengan teman sebilik. Saya hanya mampu menjadi pendengar setia. Memang itu sifat semulajadi yang dikurnia.

Teman : Saya tertekan dengan teman sebilik.
Saya : Kenapa?
Teman : Entah, mungkin terlalu remeh untuk diceritakan.
Saya : Kalau terlalu remeh mana mungkin bisa tertekan.
Teman : Ada kala dia kurang menjaga perasaan teman.
Saya : Contoh?
Teman : Awak suka jika barang awak dilanggar?
Saya : Jika sesekali tanpa sengaja, itu kan tidak mengapa.
Teman : Tapi jika selalu?
Saya : Oh, tak mungkin si pelanggar hanya berdiam tanpa kata maaf.
Teman : Sudah tentu tidak. Seperti yang awak kata - hanya berdiam tanpa kata maaf.
Saya : Itu sedikit melampau.


Geleng kepala sendirian. Memang sukar mencari teman sebilik yang memahami. Yang pandai menghormati. Manusia berbagai-bagai ragam. Memang itu lumrah alam. Yang diri sendiri perlu dahulu menjaga tingkah laku. Jangan sampai ada sumpah berbuku-buku. Itu bukan ajaran Nabi kita. Tidak pernah baginda mewasiatkan umatnya agar tidak sayang saudara sendiri.


p/s : Akhlak yang mulia itu kan mencerminkan agama :)

No comments: