06 January 2015

Berontak Diam

bismillah

“Travel is rebellion in its purest form. We follow out heart. We free ourselves of labels. We lose control willingly. We trade a role for reality. We love the unfamiliar. We trust strangers. We own only what we can carry. We search for better questions, not answers. We truly graduate. We, sometimes, choose never to come back” – Anonymous

Orang selalu merasakan bahawa aku seorang yang patuh dan skema. Mengikut segala yang dipinta. Menyerah tanpa membantah. Hanya mengiyakan tetapi tidak mampu menidakkan. Tapi hakikatnya aku seorang yang kuat memberontak. Memberontak tahap boleh bertumbuk dengan orang. Aku kuat memberontak dalam diam. Aku tidak akan pernah lupa, kes mogok lapar sewaktu berusia 8 tahun. Semuanya gara-gara aku terlajak berani melintas jalan besar di Tanjung Karang sendirian dan akhirnya aku dimarah ayah pada malam yang sama. Malam itu, aku lapar tanpa menjamah apa-apa dan hanya kenyang air mata. Diri sendiri yang rugi.

Menginjak dewasa, aku tahu yang aku tidak boleh buat semua itu. Tidak boleh menuangkan amarah dengan bertumbuk menumpah darah. Tidak boleh memberontak dengan menghenyak semua yang dipegang. Lalu, bagaimana aku melepaskan kesemua rasa punah dalam jiwa aku? Ya, dengan menjejakkan kaki ke tanah yang asing. Lazimnya aku tidak pernah rancang membawa diri jauh-jauh kalau sedang diasak rasa jatuh, melainkan selalu saja dihadiah Tuhan.

Tahun lalu, ketika lelah dengan masalah pengajian sarjana yang terlalu menghimpit, bermula dengan kes tawar dan turun naik pejabat pentadbiran kerana kesukaran mendaftar, lama tergantung tanpa jawapan kerana tiada pembantu penyelia yang sudi berkongsi kepakaran, kertas cadangan tesis yang ditolak hampir 10 kali, keterbatasan menterjemah karya-karya Arab yang diperlu dan entah macam mana ketika itu juga aku bulat hati untuk terbang ke Medan. Walhal sendiri tahu, 4 hari selepas itu perlu membentang cadangan tesis di jabatan. Aku sebenarnya membawa hati yang sakit ketika menghadirkan diri di Medan. Pergi dengan jiwa separuh, tetapi pulang dengan cinta yang penuh.

Minggu lalu, aku sebenarnya terpaksa menelan hakikat yang aku tidak dapat bergraduasi tahun ini. Terpaksa akur dengan kehendak metodologi kajian, perlu mengumpul data dengan bilangan responden yang cukup besar. Bagaimana mungkin aku mampu mendapatkan responden sebanyak 400 orang dalam masa yang singkat? Terduduk. Lama termenung lepas sesi bertemu penyelia. Teresak-esak menghambur tangis tatkala mula mendengar suara bonda di hujung talian. 

"Masih ingat awak dulu susah masa awal pengajian? Tapi Allah hadiahkan sesuatu. Awak mudah sangat masa bentang kertas cadangan, hinggakan ada yang tertanya-tanya bagaimana boleh sebegitu mudah membentang. Langsung tidak ditanya apa-apa oleh barisan pensyarah melainkan hanya ditegur kesalahan tatabahasa. Nanti insyaAllah awak mudah masa pembentangan akhir." Terdiam sendiri saat ummi memujuk. 

Dan malam itu, hari yang sama sesi bertemu penyelia, memutuskan untuk benar-benar pergi ke Kelantan. Tidak mengenal sesiapa pun dalam Misi Bantuan Banjir ini, melainkan seorang dua kenalan. Selebihnya, adalah orang asing yang akhirnya menjadi sebuah keluarga. Tetap sahaja pergi dengan jiwa yang rapuh, tetapi pulang dengan cinta yang penuh. SubhanaAllah. Maka benarlah yang dibilang oleh Bapa Keamanan;

“The best way to find yourself is to lose yourself in the service of others.” -- Mohandas Karamchand Gandhi






[Gambar koleksi persendirian. Misi i-Bantu 4. Kota Bharu, Kelantan]

Meski hanya dua hari dan masa banyak dihabiskan atas jalan berlubang-lubang, tidak keterlaluan untuk aku bilang bahawa aku mengenal diri sendiri dalam karakter orang lain, membaca kemahuan hati dengan tindak-tanduk orang sekeliling dan ya, sepertinya aku menemukan semula jiwa-jiwa yang hilang. Pemerhati, suka berpura-pura tenang di luar meski sedang berkecamuk di dalam, mudah tertarik dengan karakter dahulu dibanding fizikal dan rupa, hanya riuh bila berjumpa manusia sejiwa, cepat bertindak bila suasana genting dan pencinta momen. Jazakillah khair Umairah, ya itu aku. Jazakillah khair Kak Ida atas inspirasi kali ini.



1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum kak..
Lamanya blog ini sunyi. Hampir setiap hari sy kunjungi. Jujurnya, terasa sgt hampa bila tiada entry2 baru. Apa kbr kak?
Bz dgn kuliah? Exam? Thesis? Atau tdk sht?
semoga baik2 saja, dipermudahkn sgla urusan akk. Cpt2 kembali.
Blog ini selalu d lawat oleh perindu2 sepi. :)