31 October 2014

Surat untuk Bunga (ii)

bismillahirrahmanirrahim

[Aku ambil dari sini untuk kau Bunga. Aku tahu kau cukup menyenangi kopi dan buku.]
Apa khabar kau Bunga? Entah berapa kali aku taip dan padam. Berulang-ulang. Tertangguh dari awal pagi. Tidak tahu ayat apa yang aku harus muatkan untuk surat kedua ini. Barangkali besar sungguh pengaruh huruf-huruf dan penulisan dalam hidup orang-orang sepi macam aku. Aku tahu ketika aku menuliskan ini, kau sedang tersenyum. Selalu benar aku tanya pada Tuhan, cinta bagaimanakah yang telah tersampai ke langit biru? Hingga begitu dalam kesan orang-orang kecintaan Tuhan yang datang dalam hidup aku.

Bunga,
Oktober akan pergi. Seperti yang biasa aku bilang dengan kau, mimpi, memori dan inspirasi akan terus ada untuk orang-orang macam kita. Aku tidak tahu kenapa aku terlalu suka menghargai perkara-perkara kecil. Seperti kepercayaan Ketua Pengarah untuk aku dapatkan USB iPhone yang baru untuknya. Hati-hati menaiki motosikal pesannya. Senyuman penyelia ketika aku membantu beliau mengisi borang sabatikal. Sudah beberapa kali beliau tersilap sewaktu mengisi, mungkin gara-gara tulisan terlalu halus. Juga pertanyaan seorang adik tentang isi-isi yang bersesuaian untuk pertandingan debat. Bilangnya itu penyertaan kali pertama. Aneh, perkara kecil bukan?

Mungkin perkara-perkara kecil seperti ini buat aku merasa bahawa indahnya hidup bila kita saling meletakkan rasa percaya pada orang-orang yang kita selesa, buat aku merasa bahawa diri sendiri masih diperlu untuk melengkapkan hidup orang-orang sekeliling. Seperti yang Barbara Pymm maksudkan;

"The small things of life were often so much bigger than the great things . . . the trivial pleasure like cooking, one's home, little poems especially sad ones, solitary walks, funny things seen and overheard.” -- Barbara Pymm

Aku tidak pasti apa kau masih ingat Bunga kali pertama kita bertemu tanpa saling mengenal muka. Ya, di sini. Di ruang ini. Zaman ketika kita bagaikan kanak-kanak riang yang seronok dihadiah gula-gula bila sahaja kita disapa oleh 'orang asing' di ruang ini. Entah bagaimana mahu aku ringkaskan tentang zaman ranap aku dulu. Semua gara-gara keputusan sendiri untuk aktif dengan organisasi yang dicanang-canang sosial. Cuma dicari bila mahu buat surat dalam program organisasi. Pulang jam 2 atau 3 pagi setelah mesyuarat organisasi selesai. Sibuk menguruskan perihal organisasi, kadang terlupa waktu rehat sendiri. Namun, tetap juga dilayan bagai tiada harga. Pernah juga beberapa kali aku keletihan dan tertidur dalam sesi belajar hingga dipandang rendah teman sekuliah

Teman-teman dahulu yang pernah janji mahu susah dan senang, telah lama hilang. Berseorang tanpa sesiapa menghulur tangan saat terjatuh. Apa lagi yang tersisa untuk aku bila teman dahulu tiada? Apa lagi yang tinggal bila aku cuma dicari rakan organisasi ketika saat sukar? Ya Bunga, penulisan dan huruf-huruf sungguh menghidupkan. Penulisan yang mampu meniup semula nyawa. Penulisan yang membangunkan aku agar bisa bertatih walau luka. Penulisan yang buat aku mengemis untuk cari Tuhan semula. Kalau pun dengan nisbah terima kasih, masih belum cukup aku hitung saat aku didekatkan Tuhan dengan orang-orang persis kau Bunga. Mungkin benar dibilang Cassandra Clare;

"We live and breathe words. It was books that made me feel that perhaps I was not completely alone. They could be honest with me, and I with them. Reading your words, what you wrote, how you were lonely sometimes and afraid, but always brave; the way you saw the world, its colors and textures and sounds, I felt--I felt the way you thought, hoped, felt, dreamt." -- Cassandra Clare

Bunga,
November akan tiba dengan mimpi-mimpi baru. Aku tahu orang-orang macam kau cukup menghargai perkara-perkara kecil yang datang dalam hidup kau. Mungkin perasaannya sama seperti aku menghargai perkara-perkara kecil yang diberi Tuhan dalam hidup aku. Aku kira baris-baris hujung adalah kalimah akhir sebelum aku menutup surat yang tidak beralamat ini. Entah akan tiba atau pun tidak dalam jiwa kau Bunga, kerana aku sendiri pun tidak pasti alamatnya. Moga kau masih tersenyum saat surat ini menuju titik noktahnya.


6 comments:

Izzati Hashim said...

Mungkin tidak perlu dialamatkan, kerana kadang Tuhan sendiri sudah menyampaikan rasa hati itu.

:)

Bicara ini indah. Membuatkan aku mahu menjadi bunga itu. Bisakah? [Persoalan yang tidak mahukan jawapan]

Anonymous said...

[tuan punya blog]
Zati, jazakillah khair. Terima kasih atas penulisan zati yg ada masa zaman ranap, zaman awal blog ni wujud dulu.

Please keep writing okay? :)

Yna Sofya said...

singgah untuk hantar sejambak bunga untuk si penulis :)

nusrah said...

kak yanaaa!
rindu betul nak jumpa akak dekat 'ruang' ni.

Anonymous said...

Dan sy tak pernah jemu baca ulang2 kali surat ni.
Entah sy yg perasan, terasa surat ini utk sy.hehe.. Malu!
Tp sy xmalu nk ckp, yg sy rndu akk.
Terima kasih kak. Tak pernah tidak, tulisan2 akk akn selalunya isi hati sy dgn bunga2. :)
Bahagia!

#owh ya.. Sy perasan blog ini pun suda ditukar nama baru. Love2onlyone.. ;)

nusrah said...

anon:
haihhhh, setia sungguh awak ini :')
bunga could be anyone, so it could be you too. hehe. ;)

jazakillah khair beautiful stranger, ramai sungguh Allah hantar orang2 yg Dia sayang dekat blog ni.

ps: please stay beautiful okay?