05 June 2014

Perempuan Pelik

Bismillahirrahmanirrahim

Jika aku sebuah buku, sudah tentu tajuknya adalah perempuan pelik dan isi di dalamnya penuh dengan warna-warna aneh. Bukan biru, bukan merah jambu, bukan hitam, bukan putih. Senyum tawar.

Entah, bagaimana ya mahu menulis apa yang tersumbat dalam jiwa aku sekarang? Aku kerap merasakan bahawa tempat aku bukan di sini, tempat di mana aku berdiri sekarang. Apa yang aku lakukan sering sahaja tidak tersentuh ke jiwa. Kadang-kadang terasa seperti di awangan. Semacam semua mimpi dan aku masih lagi tidak bangun menyedarkan diri. Namun, kalau pun disedarkan dengan percik-percik embun pagi atau teriknya mentari, tidak tahu hala destinasi.

Merasa diri terkurung dalam satu ruang. Entah kan ruang masa. Entahkan ruang udara. Entahkan ruang tempat. Aku tidak pasti. Jika terkurung dalam ruang masa, aku seperti duduk antara detik 12 dan 1 tanpa bergerak. Jika terkurung dalam ruang udara, seolah aku memuatkan diri dalam belon oksigen yang gasnya semakin berkurang dan nafas sendiri mula menyesak. Jika terkurung dalam ruang tempat, layaknya seorang banduan dalam penjara kaca lut cahaya. Tidak mampu melihat dan dilihat.

Ya, bunyi nya pelik. Sudah aku bilang sejak awal lagi bukan?

"Namun, entah mengapa jiwa terasa begitu kosong. Apakah diri ini berada di atas jalan yang benar? Apakah ini jalannya yang menjadi jalan pilihan meniti usia tua? Tersedarnya saya bahawa diri ini tidak lagi muda, semakin mencecah usia 40, menyebabkan jiwa saya meronta-ronta. Mahu keluar, tetapi tidak tahu dari apa dan kepada apa. Ada kalanya, keinginan kita jelas. Kita tahu apa yang kita mahu dan kita boleh berdoa secara khusus dengan jelas.
 
Namun ada masanya, kita tidak tahu apa masalah yang sedang melanda, apa penyelesaiannya. Namun, kita yakin kita berada dalam masalah, kerana jiwa kita sakit, luka yang darahnya bukan memercik keluar, sebaliknya mengalir perit di celah-celah susuk diri yang mencari. Ketika itu kita memerlukan rahmat Allah swt. Sesuatu yang hanya boleh datang dari DIA." - Hasrizal Abdul Jamil, Menalar Makna Diri, h. 75. ps: jazakillah khair yumayyy.

Ustaz Hasrizal berjumpa dengan jiwanya semula ketika meniti usia 40, setelah melalui berbagai-bagai rencah dalam hidup. Sebenarnya, bukan faktor usia yang membawakan kita berjaya menemukan diri kita semula. Faktor kegagahan jiwa itu sendiri aku kira. Gagah mencari Tuhan semula setelah hilang arah tuju. Gagah bangun balik setelah jatuh terhenyak berkali-kali. Gagah mengutip balik serpih-serpih jiwa yang berkecai-kecai tercicir. Gagah untuk tidak lagi memikirkan duka-duka sendiri.

"Hamka adalah sufi yang berakal. Tanda-tanda dan kenyataan Hamka tentang orang yang berakal; tidak akan berduka kerana duka mengaburi akal dan orang yang berakal hidup untuk masyarakat bukan untuk dirinya." -- Ustaz Fauwaz Fadhil, kutipan Seminar Pemikiran Buya Hamka Mei lalu.
[ehsan]
Apakah kau juga si pelik yang sedang buntu mencari-cari serpihan jiwa yang hilang? Jika ya jawapannya, moga gagah jiwa kau berpegang pada janji Tuhan. Oh, ya! Ada beberapa fail pembentangan asatizah pada Seminar Buya Hamka yang lalu, jika mahu tinggalkan sahaja alamat mel di ruang bawah atau kotak pertanyaan sebelah kiri ya.

6 comments:

Anonymous said...

akak, saya mahu fail pembentangan seminar buya hamka tuh hihi.

email nuhsukri@gmail.com

nusrah said...

maaf lambat reply, dah dihantar. nanti cek email ye. :)

Anonymous said...

salam kak nusrah, mir nak. emailkan ya sn_amirah92@yahoo.com. terima kasih bnyk, jaga diri selalu kak :)

QalbunNur said...

salam...blh sya dapatkn pembentangan seminar buya hamka.. halifa.nain@gmail.com

Athirah Jinal said...

saya nak juga,

athirahjinal93@yahoo.com.

jzkk

Hajaratulnura'ain MdF said...

Assalamualaikum sahabat. saya juga berminat, moga boleh berkongsi bersama. tifa_lavender87@yahoo.com . time kasih ;).