01 April 2014

Hujan Angsi

Bismillahirrahmanirrahim..


Tertahan

Bila terlalu banyak aksara yang bergaduh-gaduh dalam kepala, maka ini hasilnya. Aku akan menjadi semakin kalah dengan kata-kata. Makin sedikit yang ditulis.

Pada diri seorang penulis tegar, kalau semakin banyak huruf-huruf yang bermain dalam akal dan jiwa, kan semakin banyak karya yang tersusun meski hanya karya picisan. Aku pusing dengan jiwa aku sendiri. Setiap inci perkara seperti terbalik atau seolah-olah berjalan mengundur ke belakang.

Terlalu banyak yang aku mahu taip, mahu bilang, mahu cakap, mahu tumpahkan, tapi semuanya tertahan. Entah. Mungkin betul kata Umy.


Hujan Angsi

Keinginan yang kuat kadang-kadang akan mengalahkan semua tanda tanya dan ragu-ragu. Aku dari kecil memang degil, yang dihalang-halang umi, itulah juga yang aku mahu. Sewaktu sekolah rendah, ditegah-tegah umi jangan terlalu galak bermain hoki. Aku degil, main juga sampai lebam-lebam kaki.

"Kau kan perempuan, tiada yang lebih keperempuanan kah yang boleh kau pilih?" Itu soalan umi sewaktu aku degil juga mahu beli sneakers, enggan memilih sandal perempuan yang umi tunjuk. Sengih-sengih sendiri.

Hujan di Gunung Angsi jadi saksi bahwa aku benar-benar degil mengikut keinginan sendiri. Umi jenuh bilang tidak perlu. Aku puas pujuk-pujuk mahu juga pergi. "Semuanya akan baik-baik sahaja umi."

Sebenarnya, waktu lebatnya hujan turun di puncak gunung aku senyum-senyum dalam hati dan serasa mahu bermain dalam hujan. Kali pertama panjat gunung, Allah hadiahkan dengan hujan.Tapi aku diamkan dan pura-pura tenang seperti tiada apa berlaku. Jazakumullah khayr Weekenders, kalian sebahagian dari memori aku kini.

[Gambar simpanan sendiri. Terima kasih Tuhan. Terima kasih Gunung Angsi.]

No comments: