20 July 2012

Panah Satu : Malaikat Cilik

Bismillahirrahmanirrahim

[Bisa kau pinjamkan sayap kau pada aku duhai malaikat kecil?]

"Siapa yang sudah habis tasmi' surah an-Naba' ?". Tidak genap sepuluh jari membilangnya. 

"Ok. Ramai lagi yang belum tasmi', yang ramai ini tasmi' dengan ustazah juga ya hari ini. Lima ayat permulaan sahaja. Boleh?". Muka cap sepuluh sen yang terbias. Masing-masing sudah mencuka. Tidak mahu. 

"Semua pernah tengok dokumentari Koran by Heart?". Geleng. "Ustazah cerita sedikit boleh?". Habis hilang cap sepuluh sen. Kini berganti bunga-bunga senyum. Duduk sudah dibetulkan. Hanya dengar bunyi kipas yang putar ligat.

"Koran by Heart ini satu dokumentari fasal pertandingan hafazan. Semua peserta yang masuk dalam lingkungan 10 ke 20 tahun. Awak tahu, salah seorang peserta itu nama dia Nabiollah. Cuba teka umur dia berapa?"

"21!" "17!"

"Semua salah. Nabiollah baru 10 tahun. Sebaya dengan adik-adik awak yang darjah 4 dekat bawah itu, tapi Nabiollah sudah menghafaz satu mashaf al-quran. Kesemua 30 Juzu'. Nabiollah tidak pandai langsung Bahasa Arab. Dia tinggal di kawasan pedalaman." Mata terkebil-kebil serupa lepas tonton kartun anime.

"Awak tahu, masa Nabiollah melantunkan suara ketika pertandingan berlangsung ada Syeikh Arab yang mengalirkan air mata. Terharu tengok seorang kanak-kanak kecil bisa menghafaz al-Quran dengan lancar. Mukjizat! Mukjizat! Katanya." Kelas sudah macam malaikat lalu kata orang tua-tua.

"Tutup sedikit mulut cik adik. Takut cicak masuk. Ok, sekarang siapa yang mahu tasmi' dengan ustazah?"
Satu. Dua. Tiga. Jarum saat laju berdetik. Barisan penuh dari meja guru hingga ke pintu. Meja-meja di sebelah kiri dan tengah sudah kosong. Masing-masing berebut-rebut memenuhkan barisan yang ada.

Alhamdulillah. Senyum puas. Jadikan mereka generasi al-Quran ya Allah. InsyaAllah.

2 comments:

Ainum Lathifah said...

subhanallah !

mereka bakal jd hebat, kerana diajar ustazah y hebat, insyaAllah !

nusrah said...

ameen. ameen. ameen. insyaAllah, ainum pun bisa jd ustzah yg hebat buat mujahid-mujahid kecil ainum nti.. ^^

Ramadan kareem ainum. mohon maaf andai ad sbrg kekhilafan.. :')