09 March 2012

Sejauh Mana Aku MengenaliMU?

Assalamualaikum warahmatullah.
Moga hati kita makin dekat dengan Allah.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Halaqah yang bukan sekadar bulatan gembira. Halaqah yang mengajak kami kembali pada rasa berTuhan. Empat bulan yang lalu. Bersama murabbi tercinta.

"Boleh jadi ujian itu adalah satu cara bagaimana Allah mahu memperkenalkan diriNya kepada kita. Adakah kita sudah cukup hadam pada asma' Allah yang 99 itu? Sejauh mana awak mengenali sifat Ar-Rahman itu? Mungkin sahaja saat ujian menimpa ketika kita keseorangan Allah mahu kita mengenaliNya sebagai al-Hafiz. Yang Maha Memelihara."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Minggu lepas. Waktu yang sama dengan peristiwa ustaz prihatin pada batang tubuh yang kebasahan dek menyerap titisan air hujan. Boleh baca pada pautan ini. Ketika kami semua panas diasak dengan persoalan falsafah. Ustaz mengajak kami menulusuri Falsafah menurut pandangan setiap Sarjana Islam.

"Falsafah itu matlamatnya sehingga kita mengenal Pencipta. Sejauh mana kita mengenal Pencipta melalui benda-benda wujud yang Dia ciptakan? Sebanyak mana kita maklum dengan proses yang ada pada setiap penciptaan benda-benda wujud ini?"

"Asma' yang 99 itu, bukan setakat kita hafal setiap kalimah. Tapi kita kenal Pencipta itu pada setiap susunan nama. Sehingga dibahaskan oleh ilmuwan tentang sifat al-'Afwu, Maha Pengampun itu boleh dianalogikan bila mana kita melanggar kesalahan lalu lintas. Lalu datang pegawai polis yang bertugas menitipkan saman. Kita dengan muka belas kasihan merayu-rayu supaya dimaafkan. Sifat al-'Afwu itu bila mana pegawai polis yang bertugas itu tadi memaafkan sepenuhnya. Bukan sahaja dimaafkan malah dilupakan terus sampaikan kertas saman yang tertanda itu dikoyak habis. Sifat al-'Afwu Pencipta itu bukan setakat dimaafkan kesalahan malah dihazafkan terus hingga tidak meninggalkan bekas."


------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Minda cuba mencernakan. Memang selama hayat 23 tahun ini, diri sendiri masih tidak mampu mengenal Pencipta itu kerana sifatnya yang Maha Agung. Maha Berseni. Ayat-ayat cinta cuba ditadabbur dengan lebih mendalam, moga dengan cara itu aku mampu mengenal Tuhan dengan lebih dekat. Tidak kenal maka tidak cinta bukan?

[Penghargaan gambar di sini.]

p/s : sedangkan Allah itu Maha Pengampun bisa menghazafkan terus, mengapa kita hamba yang hina-dina ini begitu sukar memaafkan? Malah jika memaafkan pun, mungkin sukar untuk melupakan (sila baca : forgive but never forget). Masih tidak ikhlaskah titipan kemaafan itu?

2 comments:

Anonymous said...

nama-nama Allah kalau dialunkan amat menenangkan bukan? :')

nusrah said...

benar. Moga dengan cara itu hati kita makin dekat dengan Allah.

Jazakillah for being here ayu :)