06 July 2011

Impian itu Kita Sendiri yang Menentukan (2)


Assalamualaikum warahmatullah..
Tidak pernah lupa mendoakan kalian sentiasa dalam rahmat Allah.

Masa seakan-akan bersorak kegembiraan. Kali ini dia lebih pantas dari diri sendiri. Sudah kalah. Kalah dengan sikap sendiri yang culas. Mengerling ke arah jam yang seperti melambai-lambai mengucapkan 'selamat tinggal'. Itulah, malas lagi. Masa sudah lama mendahului, memotong saat saya leka. Leka dengan perkara yang 'entah apa-apa'. Rasa macam diketawakan dengan syaitan pula. Sudahnya, tangan menongkat dagu. Dahi ditunjal berkali-kali. Menyesal tahu. Banyak kerja belum disiapkan.

Pagi ini, siulan burung hanya sayup-sayup. Hanya berteman kipas yang tidak henti berputar. Masih ingat tentang impian? Oh, tidak perlu bermuqaddimah dan berpendahuluan segala. Boleh baca entri yang lalu di sini [link]. Impian itu kita sendiri yang menentukan. Jika anda simpan impian mahu jadi jutawan dunia, langkahnya kena bermula dari sekarang. Sudah kena fikir mahu jadi jutawan apa. Jutawan kereta? Jutawan hartanah? Jutawan emas? Semua bisa. Semua bermula daripada tetapan minda (sila baca : mindset) anda sendiri. Jika mahu jutawan kereta, langkahnya bermula hari ini. Kereta jenis apa, luar negara atau dalam negara. Jika mahu jutawan emas, langkahnya bermula hari ini. Mahu emas yang berjongkong itukah atau mahu emas setakat dua tiga utas?

[Impi apa sahaja yang anda mahu. Impi ke mana sahaja yang anda mahu. Penghargaan gambar di sini.]

Kalau ada impian mahu jadi jutawan akhirat, langkahnya bermula hari ini. Bibir mesti tidak kering dari lafaz zikrullah. Hati mesti tidak jemu mengingati Allah. Setiap perbuatan bermula dengan kalam Bismillah. Setiap perbuatan pohon dihitung sebagai ibadah. Sedekah dan jariah, mesti tidak pernah lelah. Al-Quran bukan setakat ditilawah, tapi ditadabbur. Mungkin mata kasar ini tidak dapat melihat nilaian pahala. Pahala itu bukan secara zahir. Kalau pahala terzahir dengan emas, mesti orang berebut-rebut mahu kumpul pahala. Sampai beribu-ribu lemon! Jika jutawan akhirat itu termasuk dalam senarai impian anda, jadi ia kena seiring dengan amalan.

Kalau ada simpan impian mahu suami yang soleh, kita sendiri yang menentukan. Langkahnya bermula hari ini, bukan masa depan kerana langkah hari ini sebagai penjamin masa depan. Eh, fahamkah? Begini, kalau mahu suami yang soleh, kita sendiri yang kena bentuk impian itu. Kita sendiri yang terlebih dahulu melentur akhlak kita. Kita sendiri yang terlebih dahulu menjadi solehah. Kita sendiri yang terlebih dahulu menjaga batas pergaulan. Kita sendiri yang terlebih dahulu bertutur kata dengan sopan.Kita sibuk mencari. Mahu yang soleh. Mahu yang boleh bimbing kita. Pendek kata, yang bagus-bagus semua kita mahu. Itu belum kira pakej beli satu percuma dua. Mahu suami yang soleh, dapat pakej kacak dan kaya berganda-ganda. Kenapa kita tidak sibuk menjadi? Menjadi permata yang dicari-cari. Ya, kita memang selalu sibuk mencari dari menjadi.

[Jangan pernah jemu untuk berdoa. Jangan pernah jemu pinta yang terbaik. Jangan pernah jemu untuk berusaha. Penghargaan gambar di sini.]

Entri ini kena dekat batang hidung sendiri sebenarnya. Selalu juga diri sendiri terlepas pandang perkara sedemikian. Impian itu memang kita sendiri yang menentukan. Impian itu bukan setakat impian dan doa, tapi mesti disusuli dengan usaha. Ya, usaha. Sengaja saya membiarkan entri ini berhenti dengan tanda soal dan bukan noktah. Renung-renungkan. Tidak akan kita mahu menganga sahaja sampai duit jatuh ke riba? Tidak akan kita mahu duduk bertingkah sahaja sampai dicabut nyawa, kemudian senang-senang boleh masuk syurga? Tidak akan kita mahu menongkat dagu sahaja sampai datang 'putera kayangan' turun dari langit?


P/S : Impian dan harapan itu adalah mimpi dalam keadaan kita sedar - Aristotle.

4 comments:

Nazihah@Jiha said...

Salam alaik Nusrah =)

teringat hikayat angan2 mat jenin =)

hakikat impian semalam merupakn hakikat hari ini,andai dibajai dgn usaha dan perancangan yg bersungguh-sungguh =)

Stiap suatu perkara perlu didahului dgn 1 impian.Tak salah utk kita brimpian bsr krn andai tdk tercapai impian itu,sekurang2nya akan ada impian2 kecil tercapai dlm prjlnn kita utk mencapai impian yg besar itu =)

khalila ishak said...

Assalamau'alaikum. impian memang mcm2 kan. kalau boleh semua nak. sampai kadang2 x sedar mana satu kehendak, mana satu keperluan. Tapi kalau bab "putera kayangan", memang susah nak ckp. Huhu.. Cuma percaya dengan janji Allah.

nusrah said...

@Nazihah@Jiha

salam my dear jiha,
hikayat angan-angan mat jenin..heeee :)

agree, klu tak dpt sesuatu yg kita impi, Allah akan gantikan dgn pkara lain yg lebih bermakna sebenarnya. If Allah takes something away from you, it means he's emptying your hands to give you something better.

Love you fillah ;) ;)

nusrah said...

@k.h.a.l.i.l.a

Salam my deary sister ila,
Its ok kak, Allah knows who is the best for you. May Allah give the best man for you, that can guide you to Jannah and Allah's love.

xoxo ;) ;)